Apakah faedah dan risiko rawatan bukan pembedahan dan pembedahan untuk neuroma Morton (sakit di kaki depan semasa berjalan)?

Mesej utama

• Faedah dan risiko rawatan bukan pembedahan dan pembedahan untuk neuroma Morton (pembesaran saraf di kaki yang menyebabkan kesakitan semasa berjalan) masih ragu.

• Kajian yang direka dengan baik diperlukan untuk menentukan faedah dan risiko rawatan untuk neuroma Morton.

Apakah itu neuroma Morton?

Neuroma Morton terbentuk apabila saraf di bebola kaki (bahagian depan tapak kaki, iaitu kawasan yang bersambung dengan jari kaki) membesar dan menyebabkan kesakitan. Penyebab penyakit ini tidak diketahui. Gejala-gejalanya termasuk:

• rasa kesakitan membakar atau nyeri tajam di bahagian tapak kaki depan dan jari kaki;

• berasa seolah-olah anda sedang berjalan di atas kerikil atau bongkah.

Ini boleh menjejaskan kebolehan berjalan kaki, dan seterusnya menjejaskan kesejahteraan umum orang ramai.

Bagaimanakah neuroma Morton dirawat?

Rawatan bukan pembedahan termasuk:

• penggunaan sisipan kasut (ortosis kaki);

• penggerakan tulang dan jaringan tisu lembut di bahagian depan kaki (terapi penggerakan);

• terapi gelombang kejutan;

• terapi suntikan kortikosteroid berserta ubat bius setempat (CS+LA) ke dalam bahagian saraf yang bengkak (neuroma).

Rawatan pembedahan (yang melibatkan sayatan di kaki) termasuk:

• penyingkiran neuroma (neurektomi);

• pelepasbebasan saraf daripada tisu di sekelilingnya (neurolisis bedah).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui rawatan yang lebih baik daripada plasebo (rawatan 'dummy' atau palsu, yang kelihatan atau dirasakan sama dengan rawatan yang sedang diuji), atau lebih baik daripada rawatan lain untuk:

• kesakitan;

• kebolehfungsian (aktiviti yang berkaitan dengan berjalan kaki);

• kesejahteraan; dan

• kepuasan.

Kami juga ingin mengetahui sebarang kesan buruk yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat rawatan bukan pembedahan dan pembedahan berbanding dengan plasebo atau rawatan lain pada orang dengan neuroma Morton. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami, terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti perkaedahan dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 6 kajian yang melibatkan 373 orang dengan neuroma Morton. Tempoh kajian berlangsung dari 4 minggu (1 kajian) sehingga lebih daripada 12 bulan (3 kajian), dan kajian-kajian itu telah dijalankan di Eropah (3), UK (2) dan Asia (1).

Pembiayaan daripada sumber kerajaan atau universiti dilaporkan untuk 2 kajian.

Keputusan

Rawatan bukan pembedahan

Pada 3 bulan hingga 12 bulan pasca rawatan, suntikan kortikosteroid yang digabungsertakan ubat bius setempat (CS+LA) jika dibandingkan dengan suntikan bius setempat semata-mata (LA sahaja):

• boleh memberi sedikit perbezaan atau tidak kepada kesakitan (2 kajian, 157 orang peserta);

• boleh memberikan sedikit ataupun tiada perbezaan dari segi tahap kebolehfungsian (2 kajian, 157 orang peserta);

• mungkin memberi sedikit ataupun tiada perbezaan dari segi kesejahteraan hidup (1 kajian, 122 orang peserta);

• boleh menyebabkan sedikit pembaikan atau tiada perbezaan dari segi kepuasan (1 kajian, 35 orang peserta).

Kesan yang tidak diingini adalah sedikit dalam kumpulan CS+LA dan termasuk pengurangan ketebalan pad lemak kaki dan kehilangan warna kulit. Tiada kesan yang tidak diingini dalam kumpulan rawatan LA.

Pada 3 bulan hingga 12 bulan pasca rawatan, suntikan CS+LA berpandukan ultrasound dibandingkan dengan suntikan CA+LA bukan berpandukan ultrasound:

• mungkin mengurangkan tahap kesakitan (2 kajian, 116 orang peserta);

• mungkin meningkatkan tahap kebolehfungsian (2 kajian, 116 orang peserta);

• boleh memperbaik kepuasan peserta, (2 kajian, 114 orang peserta).

Kajian ini tidak mengukur tahap kesejahteraan.

Terdapat sedikit ataupun tiada perbezaan antara rawatan-rawatan untuk kesan yang tidak diingini, yang sedikit dan termasuk pengurangan ketebalan pad lemak kaki dan kehilangan warna kulit.

Rawatan pembedahan

Satu kajian membandingkan penyingkiran neuroma melalui pembedahan melalui bahagian atas kaki (neurektomi dorsal) dengan penyingkiran melalui sayatan di bahagian telapak kaki (neurektomi telapak).

Pada titik masa 12 bulan atau lebih, didapati neurektomi dorsal:

• boleh menyebabkan sedikit pembaikan atau tiada perbezaan ketara dari segi tahap kepuasan (1 kajian, 73 orang peserta);

• boleh menyebabkan sedikit ataupun tiada perbezaan ketara dari segi kesan sampingan serius (1 kajian, 75 orang peserta).

Kajian ini melaporkan kesakitan dan kebolehfungsian menggunakan kaedah yang kita tidak dapat amalkan, dan tidak mengukur tahap kesejahteraan.

Kesan yang tidak diingini berlaku dalam 11 daripada 75 orang dan termasuk:

• dalam kumpulan telapak kaki: parut yang menyakitkan, serta tindak balas badan asing;

• kumpulan dorsal: jangkitan, luka terbuka semula, darah beku dalam urat kaki dan pembedahani semula plantar akibat kesakitan.

Kajian-kajian yang menyiasat ortosis kaki (sisipan kasut), mobilisasi kaki depan dan neurolisis pembedahan tidak memenuhi kriteria saringan kami untuk dirangkumi dalam analisis ini.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai tahap keyakinan sederhana sehingga sedikit terhadap bukti ini kerana beberapa kajian bersaiz kecil, dan tidak ada bilangan kajian yang mencukupi untuk memastikan tentang keputusan hasil kami, terutamanya kesan yang tidak diingini. Kami tidak yakin tentang ketepatan skala kepuasan yang digunakan oleh kajian-kajian itu. Ada kemungkinan bahawa penilai dalam beberapa kajian itu telahpun mengetahui jenis rawatan yang sedang mereka nilai. Sesetengah kajian menggunakan bilangan suntikan CS+LA yang berbeza, dan hal ini boleh menjejaskan keputusan. Penyelidikan lanjut boleh mengubah keputusan kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh. Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information