Posisi yang diamalkan oleh si ibu pada fasa akhir kehamilan untuk memperbaik posisi bayi

Mesej utama

Kami tidak dapat menemui bukti untuk membimbing amalan yang berkaitan dengan posisi-posisi badan yang terbaik diamalkan si ibu pada fasa lewat kehamilan untuk mengubah posisi bayi.

Apakah isunya?

Posisi bayi yang sesuai semasa proses bersalin dan kelahiran adalah apabila kepala bayi dilenturkan dengan memadai sambil menghala ke bawah, dan bahagian belakang kepala menghadap ke hadapan (occipito-anterior). Jika bahagian belakang kepala bayi menghadap ke belakang atau ke sisi, hal ini akan menyukarkan proses bersalin. Pelbagai posisi yang diamalkan oleh si ibu, seperti posisi menopang tangan-lutut atau berbaring di sisi badan tertentu, telah dianggap sebagai cara yang mungkin dapat menggalakkan pemutaran bayi ke posisi hadapan. Ulasan ini menilai pengamalan posisi sedemikian pada fasa lewat kehamilan, serta membuat perbandingan dengan posisi alternatif atau cara tidak menggunakan apa-apa posisi tertentu.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pengamalan posisi tertentu oleh si ibu dapat mempengaruhi pemutaran bayi ke arah posisi yang lebih baik, kerana hal ini akan memberikan wanita kaedah mudah yang berpotensi memperbaik hasil proses bersalin . Sebaliknya, bukti bahawa posisi ini tidak membantu akan membolehkan wanita mengelak daripada melabur masa dan usaha secara tidak perlu.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari literatur untuk kajian menilai keberkesanan pelbagai postur yang diguna pakai oleh ibu pada lewat kehamilan untuk memperbaiki kedudukan bayi dan hasil kelahiran. Kami telah menilai kualiti penyelidikan, dan jika perlu, cuba menghubungi pengarang kajian untuk memperoleh penjelasan tentang kaedah yang digunakan.

Apakah yang telah kami temui?

Kami mengenal pasti dua kajian yang mungkin layak untuk ulasan kami. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat menghubungi pengarang utama untuk menyelesaikan pertanyaan tentang cara wanita diperuntukkan kepada kumpulan yang berbeza, mungkin kerana percubaan telah dijalankan lama dahulu (1983 dan 2004). Terdapat maklumat yang tidak mencukupi dalam dua laporan kajian untuk menaksir kualiti perkaedahan, dan maklumat lanjut diperlukan.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada pengamalan posisi tertentu pada fasa lewat kehamilan oleh si ibu dapat menggalakkan putaran bayi dari posisi belakang kepala yang menghala belakang atau menghala sisi ke posisi menghala hadapan. Lebih banyak penyelidikan diperlukan, terutamanya memfokuskan pada posisi yang diamalkan pada lewat kehamilan dan berulang sehingga proses bersalin.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak memasukkan kajian dalam ulasan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 24 Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information