Apakah faedah dan risiko kepingan gel silikon dalam rawatan parut keloid?

Mesej utama

Kami tidak pasti sama ada kepingan gel silikon menambahbaik rupa parut lebih daripada:

- tanpa rawatan;

- rawatan dengan pembalut seakan kepingan gel silikon yang tidak mengandungi silikon;

- suntikan triamcinolone acetonide (sejenis ubatan) terus ke dalam lesi atau di bawah kulit.

Kami tidak pasti tentang kesan kepingan gel silikon terhadap rasa sakit berbanding dengan tanpa rawatan.

Kami tidak tahu sama ada kepingan gel silikon mempunyai kesan terhadap rasa sakit berbanding dengan kepingan gel bukan silikon atau suntikan intralesi triamcinolone acetonide.

Apakah parut keloid?

Parut ialah kesan yang ditinggalkan pada kulit selepas luka atau kecederaan setelah sembuh. Adakalanya, parut boleh wujud secara abnormal dengan membentuk parut keloid yang timbul dan kelihatan hodoh. Hal ini boleh menjejaskan aspek fizikal dan emosi seseorang individu. Parut keloid biasanya berlaku selepas kecederaan ringan dan boleh berkembang pada kulit di sekeliling kawasan luka asal. Parut keloid ini sukar dirawat dan boleh berlaku kepada kedua-dua jantina pada sebarang tahap umur.

Bagaimanakah parut keloid dirawat?

Kepingan gel silikon ialah suatu pembalut luka yang lembut dan fleksibel yang mengandungi sejenis silikon yang elastik. Ia mempunyai tekstur yang lembut dan bergetah serta mudah melekat pada kulit. Kepingan gel silikon ini dianggap sebagai satu pilihan yang optimum dalam rawatan parut keloid. Ia boleh digunakan ke atas kulit yang sedang sembuh bagi membantu melembutkan dan meratakan parut keloid.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Dalam ulasan Cochrane ini, kami ingin mengetahui faedah dan risiko merawat parut keloid dengan menggunakan kepingan gel silikon.

Apa yang kami buat?

Kami membuat carian terhadap kajian-kajian yang menyelidik penggunaan kepingan gel silikon dalam merawat parut keloid. Kami membuat carian terhadap percubaan rawak terkawal sahaja, yakni rawatan yang diterima setiap orang dipilih secara rawak. Kajian-kajian ini memberi bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan suatu rawatan.

Apa yang kami dapati?

Kami menjumpai dua kajian dengan jumlah 36 orang peserta (85 parut) (33 orang peserta (76 parut) yang telah melengkapkan kajian). Para peserta ini mempunyai parut keloid yang disebabkan oleh pembedahan, jangkitan luka atau trauma. Kajian tersebut membandingkan kesan kepingan gel silikon dengan:

- tanpa rawatan;

- rawatan dengan pembalut seakan gel silikon yang tidak mengandungi silikon;

- suntikan triamcinolone acetonide (sejenis ubatan) terus ke dalam lesi atau di bawah kulit.

Satu kajian telah dijalankan di Brazil dan satu lagi kajian telah dijalankan di Singapura. Kedua-dua kajian berlangsung untuk jangka masa yang berbeza: tiga bulan dan empat bulan setengah.

Kedua-dua kajian melaporkan tentang penilaian terhadap keadaan parut oleh pakar penjagaan kesihatan tetapi tiada data yang dilaporkan dapat diambilkira untuk ulasan ini. Tiada kajian melaporkan keputusan yang dapat digunapakai untuk penilaian kendiri oleh seseorang individu terhadap parut mereka selepas rawatan. Kedua-dua kajian turut melaporkan tentang penilaian terhadap rasa sakit namun tiada data yang dilaporkan dapat digunapakai untuk ulasan ini.

Tiada kajian yang melaporkan keputusan yang dapat digunapakai untuk aspek kesejahteraan seseorang individu (kualiti hidup); sama ada orang ramai meneruskan rawatan (kepatuhan); sama ada rawatan tersebut mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini; atau sama rawatan tersebut kos-efektif (manfaat rawatan melebihi sebarang kos tambahan).

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada kepingan gel silikon menambahbaik rupa parut lebih daripada: tiada rawatan; rawatan dengan kepingan gel bukan silikon; atau suntikan intralesi triamsinolon asetonida.

Kami tidak pasti tentang kesan kepingan gel silikon terhadap rasa sakit berbanding dengan tanpa rawatan. Kami tidak tahu sama ada kepingan gel silikon mempunyai kesan terhadap rasa sakit berbanding dengan kepingan gel bukan silikon atau suntikan intralesi triamcinolone acetonide.

Kesimpulan

Kami tidak pasti sama ada penggunaan kepingan gel silikon berbanding dengan tanpa rawatan, rawatan dengan kepingan gel bukan silikon atau suntikan intralesi triamcinolone acetonide memberikan sebarang perbezaan dalam rawatan parut keloid.

Apakah batasan bukti tersebut ?

Kami tidak yakin dengan bukti yang ada kerana ia datang daripada beberapa kajian dengan bilangan peserta yang kecil dan laporan keputusan yang tidak memberangsangkan, maka kami tidak pasti sejauh mana keputusan-keputusan ini boleh dipercayai. Kesimpulan kami berkemungkinan berubah sekiranya terdapat keputusan lain daripada kajian selanjutnya.

Sejauh manakah bukti ini dikemaskini?

Ulasan ini merangkumi semua bukti yang telah diterbitkan sehingga 15 Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information