Antiemetik profilaksis untuk orang dewasa yang menerima opioid intravena dalam tetapan penjagaan akut

Mesej utama

Metoclopramide tidak mengurangkan risiko muntah, loya, atau keperluan untuk ubat penyelamat apabila diberikan sebelum opioid intravena di jabatan kecemasan.

Dari segi keterukan loya, metoclopramide tidak membantu pesakit lebih daripada plasebo (rawatan palsu).

Apakah emesis yang disebabkan oleh opioid?

Pakar perubatan sering memberi pesakit opioid untuk kesakitan di jabatan kecemasan, tetapi lebih satu pertiga mengalami kesan-kesan sampingan loya dan muntah (emesis). Sesetengah pakar mencadangkan bahawa mengambil antiemetik sebelum menerima opioid (iaitu, sebagai profilaksis) boleh mencegah gejala-gejala ini daripada berlaku. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingannya sendiri, jadi adalah penting untuk memahami sama ada ia berkesan dan selamat sebelum menggunakannya secara rutin.

Apa yang kami ingin ketahui?

Ulasan ini melihat sama ada pengambilan antiemetik (ubat untuk merawat atau mencegah loya dan muntah) sebelum menerima opioid intravena mengurangkan risiko mengalami loya dan muntah sebagai kesan sampingan.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang melibatkan orang dewasa (berumur 16 tahun atau lebih) yang menerima antiemetik profilaksis berbanding dengan plasebo atau penjagaan standard sebelum menerima opioid intravena.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian dengan sejumlah 527 pesakit. Semua kajian menggunakan metoclopramide sebagai antiemetik. Berbanding dengan plasebo, metoclopramide tidak mengurangkan risiko muntah, loya, atau keperluan untuk antiemetik di kemudian hari. Tiada perbezaan dalam kesan sampingan antara mereka yang menerima antiemetik dan mereka yang tidak.

Apakah batasan bukti?

Kajian menyiasat satu ubat (metoclopramide) sahaja dan tidak melaporkan semua maklumat yang kami minati. Intervensi mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dari segi mengalami loya atau muntah.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 17 Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information