Ujian berasaskan cahaya untuk pengesanan dan diagnosis kerosakan awal gigi

Mengapakah penting untuk menambah baik pengesanan karies gigi (kerosakan gigi)?

Doktor gigi sering mengenal pasti kerosakan gigi yang teruk yang memerlukan tampalan. Sekiranya doktor gigi dapat menemui kerosakan gigi apabila ia hanya mempengaruhi lapisan luar gigi (enamel), maka ia berkemungkinan untuk menghentikan kerosakan itu merebak lebih jauh dan mencegah keperluan tampalan. Dalam masa yang sama, penting untuk mengelakkan hasil positif palsu, apabila rawatan diberikan ketika karies tidak ada.

Apakah matlamat ulasan ini?

Kajian Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui ketepatan pelbagai jenis ujian yang menggunakan cahaya untuk mengesan kerosakan gigi awal pada pesakit yang mengunjungi doktor gigi mereka secara berkala. Penyelidik di Cochrane memasukkan 23 kajian yang diterbitkan antara 1988 hingga 2019 untuk menjawab persoalan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami memasukkan ujian yang menggunakan tiga jenis alat peranti yang berasaskan cahaya: tomografi koheren optik (OCT), inframerah dekat (NIR), dan teknologi optik fiber (FOTI / DIFOTI). Kesemua alatan ini bergantung pada penyinaran pelbagai jenis cahaya pada gigi yang dapat meningkatkan kemampuan doktor gigi untuk mengenal pasti kerosakan gigi.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kajian ini merangkumi 23 kajian yang melibatkan sebanyak 16,702 permukaan gigi. Hasil kajian menunjukkan bahawa jika alat pencahayaan digunakan oleh doktor gigi untuk pemeriksaan gigi secara rutin pada 1000 permukaan gigi, didapati 570 (57%) mengalami kerosakan gigi awal:

• jika dianggarkan 484 gigi didapati mengalami kerosakan jika menggunakan salah satu kaedah pengesanan pencahayaan, daripada jumlah tersebut sebanyak 56 gigi (12%) tidak mengalami kerosakan gigi sebenarnya (positif palsu - diagnosis salah);
• dan dianggarkan daripada 516 permukaan gigi di mana alat menunjukkan bahawa kerosakan gigi tidak ada, tetapi 142 (28%) permukaan gigi sebenarnya mempunyai kerosakan gigi awal (palsu negatif - diagnosis salah).

Sila lihat oralhealth.cochrane.org/transillumination-and-optical-coherence-tomography-detection-and-diagnosis-enamel-caries-results.

Dalam contoh ini, alat pencahayaan menghasilkan peratusan hasil negatif-palsu yang agak tinggi, di mana pesakit tidak akan mendapat rawatan untuk kerosakan gigi awal, misalnya, ubat gigi fluorida tinggi atau nasihat dan panduan kesihatan mulut dari doktor gigi, sebagaimana yang sepatutnya. Dari data yang dikumpulkan ini, daripada tiga jenis peranti pencahayaan, peranti OCT nampaknya lebih sensitif (menghasilkan hasil negatif-palsu yang lebih sedikit) berbanding teknologi NIR dan optik fiber.

Sejauh manakah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini boleh dipercayai?

Kami hanya menyertakan kajian yang menilai gigi yang sihat ataupun gigi yang dianggap mengalami kerosakan gigi awal, kerana gigi dengan kerosakan gigi yang teruk lebih mudah untuk dikenali. Terdapat beberapa kekurangan pada kaedah kajian-kajian ini dilakukan, dan ini mungkin mengakibatkan alat pencahayaan tampak lebih tepat daripada yang sebenarnya, meningkatkan jumlah klasifikasi yang betul (segi empat hijau dalam rajah). Banyak kajian menilai prestasi alat-alat ini pada gigi yang telah diekstraksi, yang sangat berbeza dengan ketika alat tersebut digunakan di dalam mulut seseorang, di mana permukaan gigi sukar dilihat dengan jelas dan gigi munkin mepunyai kesan warna atau mempunyai penutup plak.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasi?

Kajian yang termasuk dalam kajian ini dilakukan di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Brazil, China, Malaysia, dan Australia. Sebilangan kajian besar diselesaikan di hospital pergigian, klinik pergigian am, ataupun di sekolah.

Apakah implikasi ulasan ini?

Tomografi koheren optik (OCT) menunjukkan potensi sebagai alat untuk mengesan karies awal / enamel tetapi penyelidikan dan pengembangan yang lebih berkualiti tinggi diperlukan kerana ianya tidak tersedia buat masa ini bagi pengamal pergigian am. Analisis menunjukkan bahawa OCT lebih unggul daripada teknologi NIR dan optik fiber.

Sejauh manakah ulasan ini telah dikemaskinikan?

Pengarang kajian mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan hingga 15 Februari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information