Alat pendarfluor untuk mengesan karies gigi

Mengapakah penting untuk meningkatkan pengesanan karies gigi (kerosakan gigi)?

Doktor gigi sering menyasarkan untuk mengenal pasti kerosakan gigi yang telah melanjut ke tahap yang memerlukan tampalan. Sekiranya doktor gigi dapat menjumpai kerosakan gigi apabila ia hanya menjejaskan lapisan luar gigi maka adalah mungkin untuk menghentikan kerosakan dari merebak lebih lanjut dan mencegah keperluan untuk tampalan. Adalah juga penting untuk mengelakkan keputusan positif palsu, apabila rawatan diberikan apabila karies tidak ada.

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui seberapa tepat alat pendarfluor (alat tidak invasif yang menyinari permukaan gigi) untuk mengesan dan mendiagnosis kerosakan gigi awal sebagai sebahagian daripada ‘pemeriksaan’ gigi untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang menjumpai doktor gigi am mereka. Para penyelidik menyertakan 133 kajian untuk menjawab soalan ini.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Terdapat tiga jenis alat pendarfluor yang menggunakan pelbagai jenis cahaya yang kami kumpulkan sebagai pendarfluor merah, biru, dan hijau. Setiap alat memantulkan lebih kurang cahaya bergantung pada jumlah kerosakan gigi, dan ini diukur oleh alat untuk memberikan skor yang menunjukkan sama ada terdapat kerosakan gigi dan berapa teruk kerosakan itu. Kami mengkaji kerosakan pada permukaan oklusal (permukaan menggigit di belakang gigi), permukaan proksimal (permukaan gigi yang bersebelahan), dan permukaan rata.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini menyertakan 133 kajian yang relevan tetapi 55 daripadanya tidak memberikan data dalam format yang boleh kami gunakan untuk analisis, maka 79 kajian dengan jumlah 21,283 gigi disertakan dalam analisis. Beberapa kajian melaporkan lebih daripada satu jenis alat pendarfluor, ini memberi kami 114 set data. Keputusan kajian-kajian ini menunjukkan bahawa, secara teori, jika alat pendarfluor digunakan oleh doktor gigi untuk pemeriksaan gigi rutin dalam kumpulan 1000 tempat atau permukaan gigi, 574 (57%) daripadanya mempunyai kerosakan gigi awal:

• dianggarkan 494 akan mendapat keputusan alat pendarfluor menunjukkan kerosakan gigi, dan daripada jumlah ini, 95 (19%) tidak akan mempunyai kerosakan gigi (positif palsu - diagnosis salah);
• dari 506 tempat atau permukaan gigi dengan keputusan menunjukkan kerosakan gigi tidak ada, 171 (34%) akan mempunyai kerosakan gigi awal (negatif palsu - diagnosis salah).

Sila lihat oralhealth.cochrane.org/fluorescence-devices-results.

Kami tidak menemui bukti bahawa alat-alat yang menggunakan cahaya jenis berbeza (pendarfluor merah, biru, atau hijau) berbeza dalam ketepatannya.

Bolehkah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini dipercayai?

Kami hanya menyertakan kajian yang menilai gigi yang sihat atau mereka yang dianggap mempunyai kerosakan gigi awal. Ini kerana gigi dengan kerosakan gigi dalam akan lebih mudah dikesan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah dengan bagaimana kajian-kajian itu dijalankan. Ini mungkin menyebabkan alat berasaskan pendarfluor kelihatan lebih tepat daripada yang sebenarnya. Kami menilai kepastian tentang bukti sebagai rendah kerana cara kajian memilih peserta mereka, jumlah kajian yang besar yang dijalankan dalam persekitaran makmal terhadap gigi yang diekstrak, dan variasi keputusan yang dilaporkan.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasikan?

Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini dijalankan di Brazil, Eropah, Asia Tengah, Asia, Amerika Utara, dan Australia. Sebilangan besar kajian menggunakan gigi yang diekstrak. Yang lain dijalankan di hospital pergigian, klinik pergigian am, atau sekolah. Kajian-kajian adalah dari tahun-tahun 1998 dan 2019.

Apakah implikasi ulasan ini?

Disebabkan variasi prestasi yang besar yang tidak dapat dijelaskan dengan mudah tafsiran keputusan adalah sukar. Bilangan kes yang terlepas atau salah diagnosis sebagai bukti karies adalah agak tinggi. Maklumat penting tertinggal dalam banyak kajian yang disertakan. Sebarang kajian masa depan perlu dijalankan dalam persekitaran klinikal, dan melihat kepada potensi alat pendarfluor untuk digunakan bersama alat-alat lain.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Para penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga 30 Mei 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save