Ketepatan penilaian telekesihatan untuk mendiagnos demesia dan gangguan kognitif ringan

Latar belakang

Demensia adalah penyakit di mana memori dan kemahiran berfikir lain merosot sehingga seseorang tidak lagi dapat mengurus aktiviti harian tanpa bantuan. Jika memori dan masalah berfikir adalah lebih ringan, di mana kehidupan berdikari tidak terjejas, keadaan ini dijelaskan sebagai gangguan kognitif ringan (MCI). Kedua-dua keadaan biasanya mempengaruhi orang tua. Penting bagi orang dengan demensia atau MCI mendapat diagnosis yang tepat pada masa dan tempat yang sesuai agar mereka dan keluarga dapat memahami masalah tersebut dan mengakses rawatan dan sokongan. Walau bagaimanapun, berjuta orang dengan demensia di seluruh dunia tidak pernah mendapat diagnosis. Terdapat banyak sebabnya, tetapi salah satunya ialah kurangnya perkhidmatan diagnostik yang dapat diakses, terutama bagi orang di luar bandar atau mereka yang sukar untuk membuat perjalanan. Semasa pandemik COVID-19, banyak perkhidmatan bersemuka ditutup. Telekesihatan - penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan jarak jauh mungkin merupakan cara untuk meningkatkan akses kepada penilaian pakar bagi mereka yang disyaki demensia yang tidak dapat datang ke klinik. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari peningkatan akses tidak semestinya mempengaruhi ketepatan diagnosis.

Soalan ulasan

Kami bertanya berapa tepat diagnosis telekesihatan demensia dan MCI berbanding diagnosis yang dibuat ketika pesakit menghadiri klinik secara tradisional untuk penilaian bersemuka.

Apakah yang kami lakukan

Kami mencari pangkalan data kajian perubatan hingga 4 November 2020 untuk kajian-kajian di mana orang mempunyai dua penilaian untuk disyaki demensia atau MCI: satu penilaian telekesihatan dan satu penilaian bersemuka konvensional. Kedua-dua penilaian dilakukan oleh pakar dan berlangsung dalam tempoh satu bulan antara satu sama lain. Untuk penilaian telekesihatan, semua hubungan antara pesakit dan pakar yang mendiagnos harus dilakukan dari jarak jauh, menggunakan ICT, tetapi beberapa maklumat yang diperlukan untuk membuat diagnosis dapat dikumpulkan oleh anggota pasukan kesihatan lain yang melihat pesakit secara langsung. . Kami kemudian menilai berapa dekat hasil penilaian telekesihatan yang dipersetujui dengan penilaian bersemuka.

Apa yang kami temui

Kami menyertakan tiga kajian (136 peserta) yang disyaki demensia. Satu kajian kecil (16 peserta) dilakukan di rumah pesara tentera di AS; dua kajian lain adalah dalam perkhidmatan komuniti di Australia. Mereka semua menggunakan sistem konferensi video untuk penilaian telekesihatan. Ketiga-tiga kajian bertujuan membuat diagnosis demensia tetapi hanya satu yang bertujuan untuk mendiagnosis MCI. Kualiti kajian pada umumnya adalah baik. Dalam dua kajian, jururawat yang bertemu pesakit memain peranan besar dalam mengumpul maklumat yang digunakan dalam kedua-dua penilaian, yang bias kepada kajian-kajian ke arah persetujuan rapat di antara penilaian.

Kajian-kajian mendapati penilaian telekesihatan yang betul mengenal pasti 80% hingga 100% orang yang didiagnos dengan demensia pada penilaian bersemuka dan juga mengenal pasti 80% hingga 100% orang yang tiada demensia.

Hanya satu kajian (100 peserta) cuba mendiagnosis MCI. Dalam kajian ini, 71% peserta dengan MCI dan 73% peserta yang tiada MCI dikenal pasti dengan betul menggunakan penilaian telekesihatan.

Penilaian telekesihatan dalam kajian ini mengenal pasti dengan betul 97% peserta dengan MCI atau demensia, tetapi hanya mengenal pasti dengan betul 22% daripada mereka yang tidak mempunyai kedua-dua penyakit, walau bagaimanapun, keputusan ini adalah sangat tidak pasti kerana bilangan orang yang sangat kecil dalam kategori ini.

Penting untuk diperhatikan diagnosis demensia dan MCI yang dibuat oleh dua pakar yang melihat pesakit secara bersemuka tidak akan menunjukkan persetujuan 100%. Oleh itu, persetujuan yang sempurna antara penilaian telekesihatan dan bersemuka tidak dapat dijangka.

Kesimpulan kami

Dari bukti yang kami dapat, penilaian telekesihatan untuk mendiagnos demensia dilihat mempunyai tahap ketepatan yang baik berbanding penilaian bersemuka, walaupun sebilangan kecil kajian dan peserta serta perbezaan antara kajian-kajian yang disertakan bermaksud terdapat banyak ketidakpastian tentang keputusan ini. Telekesihatan dilihat agak kurang tepat untuk mendiagnos MCI daripada mendiagnos demensia. Persetujuan antara dua penilaian bersemuka juga tidak sempurna dan kami tidak boleh menyatakan perbezaan pendapat antara diagnosis telekesihatan dan bersemuka adalah lebih lazim.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nor Amirah Mohd Shukor. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information