Apakah faedah dan risiko rangsangan elektrik pada saraf tunjang dan ganglion akar dorsal untuk rawatan sakit kronik pada orang dewasa?

Mengapakah soalan ini penting

Kesakitan yang berterusan (kronik) adalah masalah biasa yang dialami oleh orang dari semua lapisan masyarakat. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai keadaan perubatan yang berbeza dan kadangkala tidak dapat dijelaskan, tetapi ia sering menyebabkan penderitaan, kesusahan dan ketidakupayaan dan boleh mengakibatkan kesan yang besar terhadap kualiti hidup seseorang.

Intervensi neuromodulasi tulang belakang yang diimplan (SNMD) melibatkan pemasangan wayar (elektrod) melalui pembedahan ke dalam ruang sekitar saraf atau saraf tunjang yang disambungkan kepada alat "penjana nadi" yang biasanya diimplan di bawah kulit pesakit. Ini memberikan rangsangan elektrik pada saraf atau saraf tunjang. Adalah difikirkan bahawa rangsangan ini mengganggu mesej bahaya yang dihantar ke saraf tunjang dan otak dengan matlamat untuk mengurangkan persepsi kesakitan. Setelah diimplan dengan peranti SNMD orang akan hidup dengan peranti yang diimplan, berpotensi secara kekal. Kami menyemak bukti untuk mengetahui sama ada intervensi ini berkesan untuk mengurangkan kesakitan, ketidakupayaan dan penggunaan ubat-ubatan, dalam meningkatkan kualiti hidup dan untuk mengetahui risiko dan jenis komplikasi yang mungkin disebabkan olehnya. Terdapat dua jenis SNMD yang luas: rangsangan saraf tunjang (SCS), di mana elektrod diletakkan berhampiran saraf tunjang dan rangsangan ganglion akar dorsal (DRGS) di mana elektrod diletakkan berhampiran akar saraf, di mana saraf bercabang dari saraf tunjang.

Bagaimanakah kami mengenalpasti dan menilai bukti

Pertamanya, kami mencari semua kajian yang berkaitan dalam penulisan perubatan. Kami kemudiannya membandingkan keputusan, dan merumuskan bukti daripada semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti. Kami pertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian. Berdasarkan pemeriksaan kami, kami menilai bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami temui

Kami menemui 15 kajian yang diterbitkan yang memasukkan 908 orang dengan kesakitan yang berterusan, disebabkan pelbagai sebab termasuk penyakit saraf, sakit belakang kronik, sakit leher kronik dan gejala kesakitan serantau yang kompleks. Semua kajian ini menilai SCS; tiada kajian menilai DRGS.

Lapan kajian (yang memasukkan 205 orang) membandingkan SCS dengan rangsangan palsu (plasebo), di mana elektrod telah diimplan, tetapi tiada rangsangan yang disampaikan. Enam kajian yang memasukkan 684 orang membandingkan SCS ditambah dengan pengurusan perubatan atau terapi fizikal dengan pengurusan perubatan atau terapi fizikal sahaja. Kami menilai bukti sebagai berkepastian rendah atau sangat rendah. Had dalam cara kajian dijalankan dan dilaporkan, jumlah bukti yang kami temui dan ketidakselarasan antara kajian dalam beberapa keadaan bermakna keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad.

Bukti menunjukkan bahawa.

Berbanding dengan menerima pengurusan perubatan atau terapi fizikal sahaja, orang yang dirawat dengan penambahan SCS mungkin mengalami kurang kesakitan dan kualiti hidup yang lebih tinggi selepas satu bulan atau enam bulan rangsangan. Terdapat bukti terhad untuk membuat kesimpulan dalam jangka panjang satu tahun atau lebih. Adalah tidak jelas sama ada SCS mengurangkan ketidakupayaan atau penggunaan ubat-ubatan.

Berbanding dengan rangsangan palsu (plasebo), SCS mungkin mengakibatkan pengurangan kecil dalam intensiti kesakitan dalam jangka pendek yang mungkin tidak penting secara klinikal, tetapi ini adalah tidak jelas pada masa ini. Tiada bukti pada titik susulan jangka sederhana atau panjang.

SCS boleh mengakibatkan komplikasi. Ini termasuk pergerakan atau kerosakan wayar elektrod, jangkitan luka dan keperluan prosedur pembedahan lanjutan untuk menyelesaikan isu dengan peranti yang diimplan. Kami juga menemui contoh komplikasi serius yang melibatkan satu kematian, kerosakan saraf, kelemahan otot yang berpanjangan, kecederaan paru-paru, jangkitan serius, tinggal di hospital berpanjangan dan alat rangsangan terkeluar dari kulit.

Bukti yang sangat terhad mengenai kos dan ekonomi SCS mencadangkan bahawa SCS meningkatkan kos penjagaan kesihatan. Adalah tidak jelas sama ada SCS adalah kos efektif.

Apakah maksudnya

SCS boleh mengurangkan intensiti kesakitan pada orang yang mengalami sakit kronik. Pada masa ini tidak jelas berapa banyak kesan ini disebabkan oleh SCS itu sendiri dan berapa banyak yang disebabkan oleh apa yang dipanggil kesan "plasebo", yang merupakan hasil daripada pengalaman menjalani prosedur dan jangkaan seseorang bahawa ianya akan membantu mereka. . Menerima SCS memang menimbulkan risiko komplikasi yang agak biasa dan komplikasi serius yang kurang biasa. Kami pada masa ini tidak pasti tahap ketepatan risiko ini.

Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini hingga September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information