Sistem pemantauan glukosa berterusan untuk memantau fibrosis sista yang berkaitan dengan diabetes

Soalan ulasan

Adakah penggunaan sistem pemantauan glukosa berterusan (continuous glucose monitoring systems, CGMS) membantu orang dengan diabetes berkaitan fibrosis sista (cystic fibrosis-related diabetes, CFRD) menguruskan keadaan mereka dengan lebih baik?

Latar belakang

FIbrosis sista (cystic fibrosis, CF) ialah keadaan genetik yang memendekkan hayat. Ramai orang dengan CF juga mengalami CFRD, di mana glukosa darah mereka, atau jumlah gula dalam darah mereka, boleh meningkat kepada paras berbahaya. Orang dengan CFRD nampaknya mengalami jangkitan dada yang lebih kerap dan jangka hayat yang lebih pendek daripada orang dengan CF yang tidak mempunyai diabetes.

CFRD boleh diuruskan dengan injeksi insulin untuk membantu mengekalkan gula darah dalam julat normal. Untuk melakukan ini dengan selamat, orang dengan CFRD perlu memeriksa paras gula darah secara rutin untuk memastikan mereka mendapat jumlah insulin yang betul. Mereka biasanya melakukan ini dengan menusuk jari mereka dan mengukur titisan darah pada satu mesin. CGMS ialah peranti yang boleh dipakai oleh seseorang dan yang menganggarkan paras gula darah dengan teliti tanpa memerlukan ujian tusukan pin yang kerap. Ia adalah teknologi yang agak baru dan kami masih tidak tahu bagaimana ia mempengaruhi pemantauan dan pengurusan CFRD.

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan CGMS ada lebih baik atau lebih teruk daripada kaedah lain, seperti menggunakan kaedah ‘tusukan jari’ tradisional, untuk memantau paras darah gula pada orang dengan CFRD. Hasil utama yang ingin kami lihat ialah kualiti hidup, sebarang masalah yang mungkin disebabkan oleh CGMS dan jumlah masa gula darah seseorang kekal dalam julat normal. Kami memutuskan bahawa hasil ini adalah yang paling penting selepas bertanya kepada orang dengan CFRD dan keluarga mereka perkara yang paling penting untuk mereka.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 23 September 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami tidak menjumpai sebarang kajian yang berkaitan untuk disertakan dalam ulasan ini, tetapi kami menemui dua Kajian kajian yang mungkin boleh kami sertakan dalam kemas kini ulasan ini apabila kami mempunyai maklumat lanjut tentangnya dan kedua-dua kajian telah lengkap.

Keputusan utama

Apabila kami menjalankan carian kami, kami tidak menjumpai sebarang kajian yang sepadan dengan kriteria inklusif kami. Ini bermakna kami tidak boleh mengulas tentang cara CGMS mempengaruhi hasil yang kami tetapkan untuk disiasat kerana tiada bukti untuk kami lihat. Kami menjumpai satu kajian berterusan pada orang dengan CFRD yang berada di hospital untuk keturukan penyakit paru-paru (gejala dada yang membara). Kajian ini membandingkan kesan pemberian ini melalui pam insulin dan pemantauan gula darah menggunakan CGMS untuk memberikan suntikan insulin harian (atau jika peserta sudah menggunakan pam insulin sebelum dimasukkan ke hospital, mereka meneruskannya kaedah ini) serta memantau aras gula darah menggunakan kaedah ‘tusukan jari’. Orang yang menggunakan kaedah tusukan jari akan memakai CGMS palsu supaya doktor yang mendapatkan hasil tidak akan mengetahui kumpulan mana mereka berada. Kajian itu masih dijalani, kami tidak boleh memasukkannya dalam ulasan ini, tetapi kami mungkin boleh memasukkannya dalam versi masa hadapan ulasan ini.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan mengenai topik ini untuk membantu mengisi jurang dalam bukti yang telah kami kenal pasti dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information