Apakah rawatan yang mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah pada orang dewasa yang telah patah pinggul?

Mesej utama

- Pengunaan ubat yang dipanggil asid tranexamic sebelum, semasa, atau selepas pembedahan untuk patah pinggul mungkin mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah.

- Rawatan dengan zat besi mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan untuk keperluan pemindahan darah selepas pesakit patah pinggul.

Apakah keadaannya?

Patah pinggul (patah di bahagian atas tulang kaki) adalah perkara biasa bagi orang dewasa yang tua yang mana tulang mereka mungkin lemah akibat keadaan yang dipanggil osteoporosis. Individu boleh kehilangan sejumlah besar darah akibat kecederaan ini, dan mereka juga akan kehilangan darah semasa memperbaiki tulang dalam pembedahan. Kebanyakan orang tua juga mengalami anemia, dengan kurang sel darah merah untuk membantu membawa oksigen ke seluruh badan. Biasanya individu perlu diberi pemindahan darah (didermakan daripada orang lain) sebagai sebahagian daripada rawatan mereka. Terdapat beberapa risiko tentang ini, seperti jangkitan, tinggal lebih lama di hospital, atau menjadi keliru selepas pembedahan.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang rawatan yang boleh mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah. Kami berminat terhadap sebarang ubat, atau kaedah lain yang boleh mengurangkan kehilangan darah tambahan. Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan ini meningkatkan kualiti hidup individu selepas pembedahan, atau menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari ulasan sistematik bagi rawatan untuk mengurangkan kehilangan darah pada orang yang patah pinggul. Ulasan ini mengumpulkan semua bukti yang tersedia untuk rawatan dari kajian yang diterbitkan dan menganalisis keputusannya. Dalam gambaran keseluruhan ini, kami meringkaskan hasil ulasan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti yang mereka laporkan. Kami mendasarkan pertimbangan kami tentang keyakinan kami pada faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui 17 ulasan tentang asid tranexamic dan sembilan ulasan tentang zat besi, yang memasukkan 36 kajian dengan 3923 peserta. Ulasan ini memasukkan banyak kajian yang sama; kami merumuskan bukti daripada tiga ulasan yang memberikan maklumat yang paling relevan.

Untuk asid tranexamic, satu ulasan memasukkan 24 kajian dengan 2148 orang dengan pinggul patah, dan satu lagi memasukkan 10 kajian dengan 1123 orang. Dalam kajian ini, pesakit diberi asid tranexamic sebelum, semasa, atau selepas pembedahan (atau pada ketiga-tiga masa); ia diberikan sama ada terus ke dalam vena seseorang, atau digunakan pada luka terbuka.

Untuk zat besi, satu ulasan memasukkan dua kajian dengan 403 orang. Rawatan itu diberikan terus ke dalam vena sama ada sebelum pembedahan, atau sebelum dan selepas pembedahan.

Kami tidak menemui ulasan untuk sebarang jenis rawatan lain.

Keputusan utama

Berbanding dengan tiada rawatan (atau rawatan 'dummy' yang tidak mengandungi ubat), asid tranexamic:

- mungkin mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah. Bagi setiap 1000 orang yang mengalami patah tulang pinggul, 257 orang mungkin memerlukan pemindahan darah selepas menerima asid tranexamic, berbanding 451 orang yang tidak menerimanya;

- mungkin mengurangkan jumlah pemindahan darah yang diberikan kepada individu;

- mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan pada bilangan individu yang mempunyai kesan sampingan daripada rawatan (seperti pembekuan darah yang terbentuk di vena dalam), atau bilangan individu yang mati dalam masa sebulan selepas mengalami patah pinggul.

Berbanding dengan tiada rawatan (atau rawatan 'dummy'), zat besi mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan pada:

- bilangan individu yang perlu menjalani pemindahan darah;

- jumlah darah yang dipindahkan, kekeliruan selepas pembedahan, jangkitan, atau kematian dalam tempoh satu bulan.

Kami tidak pasti sama ada menerima zat besi akan menjejaskan kualiti hidup individu berkaitan kesihatan pada empat bulan selepas pembedahan.

Tiada ulasan melaporkan sama ada rawatan ini menjejaskan keupayaan individu untuk menjalani aktiviti harian empat bulan selepas pembedahan. Tiada ulasan tentang asid tranexamic melaporkan maklumat tentang kekeliruan atau kualiti hidup berkaitan kesihatan.

Apakah batasan bukti?

Kami hanya sederhana yakin dengan bukti bahawa asid tranexamic mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah. Kajian yang memberikan keputusan dalam ulasan pilihan kami mungkin tidak mewakili semua bukti, dan ini mungkin telah membesar-besarkan faedah rawatan ini. Untuk hasil lain, beberapa kajian adalah terlalu kecil, melaporkan perbezaan yang luas dalam keputusan mereka, dan kami tidak dapat memastikan jika semua kajian direka dengan baik untuk memberikan keputusan yang boleh dipercayai.

Kami kurang yakin terhadap penemuan kami untuk zat besi, kerana kajian tersebut terlalu kecil untuk menghasilkan keputusan yang boleh dipercayai.

Terdapat beberapa kelemahan dalam cara semua ulasan membuat kesimpulan akhir mereka, bermakna ia mungkin tidak dijalankan mengikut piawaian yang paling tinggi. Walau bagaimanapun, keputusan dalam setiap ulasan adalah serupa, dan ini bermakna kami lebih yakin bahawa keputusan mereka dikumpulkan dengan tepat daripada laporan kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Gambaran keseluruhan ini adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information