Merawat blepharitis yang berpanjangan (kelopak mata bengkak dan gatal): seberapa baik antibiotik (ubat-ubatan yang membunuh bakteria) berfungsi jika diambil melalui mulut (oral)?

Mesej utama
- Kami tidak menemui bukti yang cukup untuk menunjukkan seberapa baik antibiotik diambil melalui mulut dapat merawat blepharitis yang berpanjangan.

- Satu antibiotik yang dikaji mungkin dapat meningkatkan beberapa aspek klinikal (simptom dan perkembangan penyakit), tetapi kami tidak pasti tentang manfaatnya dalam hal ini, serta ia mungkin akan menyebabkan jumlah kesan yang tidak diingini semakin meningkat.

- Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengetahui seberapa baik antibiotik yang diambil melalui mulut dapat merawat blepharitis yang berpanjangan.

Apa itu blepharitis?
Blepharitis ialah salah satu keadaan biasa yang mempengaruhi mata. Ia menyebabkan bengkak dan kemerahan di tepi kelopak mata, mengakibatkan rasa sakit, dan gatal atau pedih dalam mata. Penyebab blepharitis yang paling biasa adalah jangkitan oleh sejenis bakteria yang hidup di permukaan mata, atau keadaan kulit seperti dermatitis.

Bagaimanakah blepharitis dirawat?
Blepharitis biasanya dirawat dengan membersihkan kelopak mata dengan kerap, atau menggunakan krim atau titisan mata yang mengandungi antibiotik (sejenis ubat yang membunuh bakteria). Sekiranya cara tersebut tidak berjaya, maka pengambilan antibiotik melalui mulut (oral) sering dicuba. Walau bagaimanapun, tidak ada garis panduan mengenai jenis antibiotik yang harus diberikan, dos yang sepatutnya, ataupun jangka masa rawatan.

Apakah yang ingin kami kenal pasti?
Kami ingin mengetahui seberapa baik antibiotik diberikan melalui mulut dapat merawat blepharitis yang berpanjangan.

Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menguji antibiotik yang diberikan melalui mulut untuk merawat blepharitis yang berpanjangan.

Apa yang kami temui?
Kami menjumpai 2 kajian dengan 220 orang dewasa dengan blepharitis yang berpanjangan. Satu kajian dilakukan di USA dan berlangsung selama tiga bulan; Ia menguji antibiotik doxycycline berbanding dengan rawatan plasebo (rawatan ‘dummy’ yang tidak mengandungi ubat tetapi kelihatan sama dengan ubat yang diuji). Kajian lain dilakukan di Korea Selatan dan menguji kesan dos dosxycycline yang tinggi atau rendah berbanding dengan rawatan plasebo.

Satu kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal; kajian yang lain tidak melaporkan sumber pembiayaannya. Kajian-kajian tersebut melapaorkan hasil rawatan dengan cara yang berbeza. Oleh itu, ia menjadi tidak mungkin untuk menggabungkan hasil-hasil kajian untuk menganalisis bersama.

Apakah hasil utama ulasan ini?
Kami tidak pasti mengenai kesan doxycycline pada simptom-simptom seperti gatal, terbakar, dan mata berair, seperti yang dinilai oleh orang yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian tersebut.

Satu kajian melaporkan perubahan jumlah air mata yang dikeluarkan daripada mata yang dijangkit sebelum dan selepas rawatan sepanjang satu bulan. Dos doxycycline tinggi dan rendah mungkin dapat meningkatkan kemampuan mata untuk mengeluarkan air mata (bukti daripada 1 kajian dengan 93 orang dalam setiap kumpulan dos).

Satu kajian menilai kekeringan mata dengan menilai masa yang diperlukan untuk satu tempat kering muncul pada permukaan mata selepas berkelip (masa pemecahan filem air mata). Pengambilan doxycycline (dos tinggi atau rendah) untuk satu bulan mungkin dapat memperbaiki masalah kekeringan (bukti daripada 1 kajian dengan 93 orang dalam setiap kumpulan dos).

Pengambilan doxycycline untuk satu bulan mungkin akan mengakibatkan lebih banyak kesan yang tidak diingini daripada mengambil plasebo (bukti daripada 1 kajian pada 139 orang). Bilangan kesan yang tidak diingini dilaporkan lebih tinggi pada kumpulan doxycycline dos tinggi.

Tidak ada kajian yang melaporkan:

- berapa banyak bakteria yang terdapat di mata sebelum atau selepas rawatan;

- kesejahteraan (kualiti hidup); atau

- kos dan faedah rawatan yang diuji.

Apakah batasan bukti tersebut ?
Kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti-bukti tersebut kerana keterbatasan dalam cara kajian dilakukan, dan kerana hasil kajiannya yang sangat bervariasi serta tidak konsisten. Satu kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal, dimana ia mungkin mempengaruhi cara kajian direka, dilaksanakan dan dilaporkan. Penyelidikan lebih lanjut kemungkinan akan mengubah dan meningkatkan keyakinan kami terhadap hasil ini.

Adakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 29 Ogos 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information