Ubat dan produk semula jadi untuk rawatan bagi orang dewasa yang mencederakan diri sendiri

Kami telah mengkaji literatur antarabangsa mengenai kajian rawatan farmakologi (ubat) dan produk semula jadi (suplemen makanan) di lapangan. Sebanyak tujuh percubaan yang memenuhi kriteria kemasukan kami dikenal pasti. Hanya terdapat sedikit bukti kesan baik sama ada terhadap rawatan farmakologi atau produk semula jadi. Walau bagaimanapun, hanya beberapa kajian sahaja dilakukan dan bilangan tersebut adalah kecil, yang bermaksud bahawa kemungkinan kesan baik dari beberapa terapi tidak dapat ditolak begitu sahaja.

Mengapa ulasan ini penting?

Kelakuan mencederakan diri sendiri ‘self harm’ (SH), termasuk meracuni diri sendiri /mengambil ubat secara berlebihan dan mencederakan diri sendiri, merupakan masalah utama di kebanyakan negara dan ada mempunyai hubungan yang kuat dengan risiko membunuh diri. Oleh itu, rawatan berkesan untuk pesakit SH adalah sangat penting untuk ditemukan. Walaupun terdapat peningkatan penggunaan intervensi psikososial untuk SH pada orang dewasa (yang menjadi fokus pada tinjauan yang lain), rawatan ubat-ubatan sering digunakan di dalam perawatan klinikal. Oleh yang demikian, adalah penting untuk menilai bukti berkenaan keberkesanannya.

Siapakah yang akan berminat dalam ulasan ini?

Para pentadbir hospital (contohnya. penyedia perkhidmatan), pegawai polisi kesihatan dan pembayar pihak ketiga (contohnya. syarikat insurans kesihatan), doktor yang terlibat merawat pesakit SH, pesakit itu sendiri, dan saudara mereka.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Kajian ini adalah kemas kini ulasan Cochrane sebelumnya pada tahun 2015, yang mendapati sedikit sahaja bukti kesan berfaedah dari rawatan ubat kepada pesakit SH yang berulang. Kemas kini ini bertujuan untuk menilai dengan lebih lanjut bukti keberkesanan rawatan ubat dan produk semula jadi keatas pesakit SH dengan hasil keputusan yang lebih meluas.

Kajian mana yang dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Bagi diambil kira dalam ulasan ini, kajian-kajian mestilah kajian rawak terkawal dengan rawatan ubat-ubatan untuk orang dewasa yang baru melakukan SH.

Apakah bukti yang didapati daripada ulasan ini?

Tidak ada bukti yang jelas mengenai keberkesanan antidepresan, antipsikotik, penstabil mood, atau produk semula jadi dapat mencegah pengulangan SH.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Kami mengesyorkan ujian ubat-ubatan yang lebih lanjut dilakukan untuk pesakit SH, mungkin bersama dengan rawatan psikologi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save