Intervensi mekanikal dan pembedahan untuk merawat wanita dengan pendarahan serius selepas bersalin

Ulasan ini mempertimbangkan bukti dari kajian rawak terkawal mengenai penggunaan intervensi mekanikal dan pembedahan untuk menghentikan pendarahan serius selepas bersalin. Ulasan Cochrane yang lain mempertimbangkan penggunaan ubat yang mendorong pembekuan darah atau pengecutan rahim.

Apakah isunya?

Pendarahan postpartum primer (PPH) berlaku apabila seorang ibu mengalami pendarahan faraj yang berlebihan dalam tempoh 24 jam dari bersalin (biasanya > 500 mL atau > 1000 mL). Penyebab PPH primer yang paling lazim adalah kegagalan rahim untuk mengecut selepas kelahiran, dan penjagaan biasa adalah berdasarkan penggunaan ubat untuk mengembalikan keadaan ini. Penyebab yang lain termasuk plasenta yang tertinggal, kekoyakan faraj atau serviks, dan kegagalan darah untuk membeku. Kaedah pembedahan dan mekanikal mengaplikasikan tekanan langsung pada saluran darah untuk mengurangkan aliran darah dalam rahim. Tekanan boleh diaplikasikan dari dalam rahim dengan mengembangkan belon di dalam rahim. Sebagai alternatif, tekanan boleh diaplikasikan pada permukaan luar rahim. Ini boleh jadi secara langsung (menggunakan tangan), atau melewati jahitan melalui dinding hadapan dan belakang rahim untuk memampatkan dinding rahim bersama-sama. Aliran darah juga boleh dihentikan dengan mengikat atau menyumbat saluran darah yang membekalkan rahim.

Mengapakah ini penting?

PPH ialah penyebab umum bagi kematian dan penyakit maternal di seluruh dunia. Hampir 300,000 wanita hamil mati setiap tahun di seluruh dunia dengan kira-kira 25% daripada kematian itu disebabkan pendarahan. Ia juga boleh menyebabkan seorang ibu mengalami masalah perubatan dan psikologi jangka panjang yang signifikan.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti (Julai 2019) dan menyertakan sembilan kajian rawak terkawal yang kecil (944 wanita). Kajian-kajian tersebut dijalankan di hospital di Pakistan, Turki, Thailand, Mesir (empat kajian) dan Arab Saudi, dan kemudahan kesihatan di Benin dan Mali. Keseluruhannya, kajian-kajian tersebut sangat berbeza, dengan pelbagai intervensi dibandingkan. Jumlah wanita yang kecil dalam setiap kajian, sedikit atau tiada peristiwa, kekurangan data mengenai hasil yang penting, dan variasi yang meluas dalam keputusan bermakna sedikit penemuan jelas yang diperoleh. Adalah mustahil untuk mengumpulkan keputusan daripada kajian-kajian tersebut. Penilaian kepastian kami untuk kajian-kajian tersebut antara rendah ke sangat rendah, dengan kebanyakannya dinilaikan sebagai berkepastian sangat rendah. Ini bermakna kami tidak yakin mengenai keputusan tersebut.

Dua kajian (356 wanita) membandingkan tekanan dalaman menggunakan belon bukan komersial (kondom dipenuhi air dan belon ‘parti’ yang disterilkan dan dipenuhi udara) dan penjagaan normal. Kateter kondom mungkin menyebabkan peningkatan kehilangan darah, tetapi tiada kesan penting yang lain dilihat dalam kajian-kajian tersebut. Kajian ketiga mendapati kateter kondom mungkin mengurangkan demam postpartum berbanding dengan pembungkusan rahim dengan kain kasa, tetapi tiada kesan yang lain.

Tiga kajian menggunakan belon yang diperoleh secara komersial (Bakri). Ini dibandingkan dengan tekanan luaran dengan jahitan dalam satu kajian (13 wanita) dan didapati belon Bakri mungkin mengurangkan kehilangan darah tetapi tiada kesan yang lain dilihat. Kajian lain (66 wanita) membandingkan belon Bakri dengan sistem kondom dan menemui sedikit atau tiada perbezaan di antara kumpulan. Kajian ketiga (50 wanita) mengkaji adakah penggunaan jahitan untuk menambat hujung atas belon kepada bahagian atas rahim mempunyai sebarang manfaat, tetapi menemui sedikit atau tiada kesan.

Satu kajian (64 wanita) membandingkan tekanan luaran rahim dengan penjagaan normal tetapi tiada penemuan yang jelas. Kajian lain melibatkan 160 wanita membandingkan jahitan mampatan piawai dengan versi yang diubah suai yang mana rahim bukan sahaja dimampatkan, tetapi saluran darah utama yang membekalkan rahim diikat. Keputusan menunjukkan bahawa jahitan yang diubah suai mungkin mengurangkan kehilangan darah dan risiko histerektomi.

Satu kajian (23 wanita) membandingkan penggunaan pengimejan untuk menyekat saluran darah ke rahim (embolisasi arteri rahim) dengan teknik pembedahan untuk memutuskan bekalan darah dan memampatkan rahim tetapi menemui sedikit atau tiada kesan.

Apakah maksudnya?

Kami tidak menemui bukti berkualiti tinggi yang mencukupi untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan intervensi mekanikal dan pembedahan untuk merawat PPH primer. Kajian rawak berkualiti tinggi adalah sangat diperlukan untuk menguji beberapa penemuan dari ulasan ini. Kami menggesa penulis-penulis kajian yang baru untuk menggunakan hasil teras PPH yang piawai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information