Strategi untuk mengoptimumkan pemberian kortikosteroid sebelum bersalin kepada wanita yang dijangka bersalin pramatang.

Apakah isunya?

Kehamilan biasanya berjangka antara 37 dan 40 minggu. Sekiranya kelahiran berlaku lebih awal daripada itu, dan bayi dilahirkan pramatang, bayi tersebut mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah pernafasan serta komplikasi lain. Terdapat juga risiko bahawa bayi pramatang akan meninggal, terutamanya jikalau ia dilahirkan di fasiliti yang tidak dilengkapi dengan unit rawatan rapi bagi bayi baru lahir. Ibu-ibu yang mempunyai tanda-tanda untuk bersalin pramatang ataupun dirancang menjalani kelahiran pramatang secara elektif biasanya akan menerima suntikan steroid yang boleh membantu paru-paru bayi menjadi matang serta mencegah masalah pernafasan yang teruk sebaik sahaja bayi dilahirkan.

Kenapa ini penting?

Di negara-negara berpendapatan tinggi dan di hospital yang dilengkapi kemudahan fasiliti intensif, pemberian steroid kepada ibu yang berisiko untuk kelahiran pramtang adalah rawatan umum. Oleh sebab ini tidak selalu berlaku di negara-negara yang berpendapatan rendah, di mana kelahiran pramatang adalah lebih kerap berbanding negara-negara lain, terdapat usaha dari seluruh dunia untuk meningkatkan penggunaan steroid dalam keadaan sedemikian. Namun demikian, disebabkan kekurangan perawatan sokongan untuk bayi yang baru dilahir dan penilaian yang tepat mengenai jangka masa kehamilan dalam situasi ini, faedah dan kemudaratan daripada peningkatan penggunaan steroid berbanding dengan penjagaan yang biasa ditawarkan perlu dinilai.

Apakah bukti yang ditemui?

Kami mencari bukti pada bulan September 2019 dan mengenal pasti tiga kajian yang memenuhi kriteria kami. Ketiga-tiga kajian menilai intervensi yang bertujuan untuk mempromosikan penggunaan steroid untuk ibu yang berisiko untuk bersalin pramatang. Kami tidak menemui sebarang kajian yang bertujuan untuk menyekat penggunaan steroid. Dua kajian dijalankan dalam persekitaran hospital di negara yang berpendapatan tinggi, sementara satu kajian dijalankan di lokasi yang mempunyai kekurangan sumber iaitu enam negara yang berpendapatan rendah dan sederhana. Dua kajian mendapati bahawa intervensi tersebut menyebabkan peningkatan dalam penggunaan steroid, manakala satu kajian tidak menemui perbezaan dalam penggunaan steroid. Satu kajian besar dalam persekitaran yang mepunyai sumber yang rendah mendapati bahawa dalam kalangan wanita yang melahirkan bayi pramatang, lebih banyak wanita dalam kumpulan intervensi (45%) menerima steroid berbanding wanita dalam kumpulan kawalan (10%) (bukti kepastian rendah). Walau bagaimanapun, dalam kumpulan wanita yang tidak melahirkan bayi pramatang, lebih banyak wanita dalam kumpulan intervensi (10%) berbanding kumpulan kawalan (1%) menerima steroid walaupun mereka tidak memerlukannya (bukti kepastian rendah).

Hanya satu kajian besar yang dilakukan dalam persekitaran sumber rendah yang menilai hasil yang penting. Kajian ini mendapati bahawa kematian perinatal (kematian bayi sebelum kelahiran atau dalam tujuh hari pertama kehidupan), kelahiran mati (kematian bayi sebelum kelahiran), dan kematian neonatal (kematian bayi pada 28 hari pertama kehidupan) mungkin berlaku lebih kerap dalam kalangan semua bayi (bukan hanya bayi yang dilahirkan sebelum waktunya) apabila penggunaan steroid dipromosikan secara aktif berbanding dengan penjagaan biasa (bukti kepastian sederhana). Kajian ini juga mendapati bahawa jangkitan kepada ibu mungkin lebih sering berlaku ketika strategi untuk meningkatkan penggunaan steroid dipratikkan. Namun demikian, mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan antara kumpulan untuk risiko kematian ibu (bukti kepastian rendah).

Apakah maksudnya?

Dalam persekitaran dengan sumber rendah, strategi untuk mempromosikan penggunaan steroid secara aktif pada ibu yang berisiko melahirkan sebelum waktunya boleh membahayakan bayi dan ibu mereka pada peringkat populasi. Pembuat dasar perlu meneliti faedah-faedah serta risiko-risko yang mungkin berlaku ketika mempertimbangkan untuk meningkatkan intervensi ini dalam persekitaran sumber rendah. Terdapat keperluan untuk melakukan lebih banyak penyelidikan mengenai keberkesanan usaha untuk meningkatkan penggunaan steroid dalam ibu-ibu yang berisiko bersalin pramatang di negara-negara yang mepunyai sumber yang rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Joo Howe Ong. Disunting oleh Tan May Loong (RCSi & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save