Pembedahan berpandukan imej untuk tumor otak

Latar belakang

Pembedahan mempunyai peranan penting dalam pengurusan banyak jenis tumor otak. Membuang sebanyak mungkin tumor adalah sangat penting, kerana dalam beberapa jenis tumor otak, ini dapat membantu orang hidup lebih lama dan merasa lebih baik. Namun, membuang tumor otak mungkin sukar kerana tumor itu kelihatan seperti tisu otak yang normal atau berada berhampiran tisu otak yang diperlukan untuk fungsi normal. Kaedah baru untuk melihat tumor semasa pembedahan (disebut pengimejan) telah dikembangkan untuk membantu pakar bedah mengenal pasti dengan lebih baik tumor daripada tisu otak normal.

Soalan-soalan

Adakah pembedahan berpandukan imej lebih berkesan untuk membuang tumor otak daripada pembedahan tanpa berpandukan imej?

Adakah satu teknologi atau alat berpandukan imej lebih baik daripada yang lain?

Ciri-ciri kajian

Strategi pencarian pengulas adalah terkini pada Mei 2020. Pengulas menjumpai empat kajian melihat tiga alat yang berbeza untuk membantu meningkatkan jumlah tumor yang dibuang. Tumor yang dikaji adalah glioma. Intervensi pengimejan yang digunakan semasa pembedahan merangkumi:

- pengimejan resonans magnetik semasa pembedahan untuk menilai jumlah tumor yang tinggal;
- pewarna pendarfluor untuk menandakan tumor (asid 5-aminolevulinik);
- pengimejan sebelum pembedahan untuk memetakan lokasi tumor, yang kemudian digunakan pada masa pembedahan untuk memandu pembedahan (navigasi neuron); atau
- pengimejan ultrabunyi semasa pembedahan untuk menilai jumlah tumor yang tinggal.

Semua kajian menggunakan kaedah yang dikompromi, yang bermaskud kesimpulannya adalah berat sebelah. Beberapa kajian dibiayai oleh pengeluar teknologi berpandukan gambar yang sedang dinilai. Pengulas berhasrat untuk menggunakan bentuk analisis yang disebut meta-analisis rangkaian (yang dapat menggabungkan perbandingan intervensi walaupun tidak dibandingkan secara langsung dalam kajian) untuk membandingkan setiap intervensi ini dan mengenal pasti teknologi tunggal yang terbaik.

Keputusan utama

Pengulas menemui bukti kepastian rendah hingga sangat rendah bahawa pembedahan berpandukan gambar boleh mengakibatkan lebih banyak tumor dibuang melalui pembedahan pada sebilangan orang. Kesan neurologi jangka pendek dan panjang tidak dapat dipastikan. Pengulas tidak memiliki data untuk menentukan sama ada salah satu teknologi yang dinilai mempengaruhi keseluruhan kelangsungan hidup, masa sehingga perkembangan penyakit, atau kualiti hidup. Terdapat bukti kepastian yang sangat rendah untuk navigasi neuron pada semua hasil dalam satu kajian yang sangat kecil, dan pengulas mengenal pasti tiada ujian untuk berpandu ultrabunyi. Pengulas tidak dapat melakukan meta-analisis rangkaian untuk membandingkan intervensi pengimejan. Dari segi kos, berbanding dengan pembedahan biasa, penggunaan pembedahan berpandukan imej mempunyai kesan yang tidak menentu pada kos dan asid 5-aminolevulinik lebih mahal daripada pembedahan konvensional.

Kualiti bukti

Bukti penggunaan teknologi pengimejan intraoperatif dalam membuang tumor otak adalah sedikit dan mempunyai kepastian rendah hingga sangat rendah. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk menilai tiga persoalan utama:

- Adakah membuang lebih banyak tumor lebih baik untuk pesakit dalam jangka masa panjang?

- Apakah risiko menyebabkan pesakit mengalami gejala yang lebih teruk dengan membuang lebih banyak tumor?
- Bagaimana reseksi mempengaruhi kualiti hidup pesakit?

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information