Apakah faedah dan risiko penghidap COVID-19 menggunakan ubat kumur antimikrob atau semburan hidung untuk memulihkan kesihatan mereka dan melindungi petugas kesihatan yang merawat mereka?

Mengapakah soalan ini penting?

COVID-19 ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2. Kebanyakan orang yang dijangkiti COVID-19 mempunyai penyakit respiratori ringan hingga sederhana, dan sesetengah mungkin tidak bergejala (jangkitan asimptomatik). Mereka yang lain mungkin mengalami gejala yang teruk dan memerlukan rawatan pakar dan penjagaan intensif.

COVID-19 merebak dari individu ke individu terutamanya melalui titisan yang dihasilkan ketika orang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap. Seseorang juga boleh dijangkiti dengan menyentuh permukaan atau objek yang mempunyai titisan virus di atasnya, dan kemudian menyentuh mulut atau hidungnya sendiri.

Memberi ubat kumur antimikrob (untuk membilas mulut) atau semburan hidung (disembur ke dalam hidung) kepada orang dijangkiti COVID-19 mungkin dapat membantu mereka melawan jangkitan dan mencegah daripada menjangkiti petugas kesihatan yang merawat mereka. Ubat kumur antimikrob dan semburan hidung adalah cecair yang membunuh atau menghentikan pertumbuhan mikro-organisma seperti virus atau bakteria.

Seperti mana-mana rawatan perubatan, ubat kumur antimikrob dan semburan hidung mempunyai potensi risiko serta faedah. Terdapat kemungkinan bahawa penggunaan ubat kumur atau semburan hidung boleh menyebabkan pelbagai kesan (buruk) yang tidak diingini, termasuk kerengsaan, reaksi alergi atau kehilangan deria bau. Ia juga boleh membunuh mikro-organisma dari mulut atau hidung yang berguna untuk melindungi tubuh daripada jangkitan.

Apa yang ingin kami lakukan?

Untuk menilai faedah dan risiko bagi pesakit dan petugas kesihatan dengan pemberian ubat kumur antimikrob dan semburan hidung kepada pesakit COVID-19, kami berhasrat untuk mengkaji bukti penyelidikan. Khususnya, kami ingin menyiasat kesan penggunaan ubat kumur antimikrob dan semburan hidung pesakit pada:

- kematian pesakit dan keperluan penjagaan kesihatan - termasuk keperluan untuk dimasukkan ke hospital, sokongan pernafasan buatan, dialisis atau hemofiltrasi (rawatan yang diperlukan ketika buah pinggang tidak berfungsi dengan baik);

- jangkitan baru COVID-19 kepada petugas kesihatan;

- kesan buruk yang penting seperti kehilangan deria bau;

- perubahan pada beban virus COVID-19 pesakit (jumlah virus dalam darah orang yang dijangkiti); dan

- beban virus pada titisan yang dihasilkan oleh pesakit.

Bagaimana kami mencari bukti?

Pasukan penyelidik kami mencari literatur perubatan untuk kajian yang membandingkan kesan ubat kumur antimikrob atau semburan hidung yang diberikan kepada pesakit COVID-19 berbanding tiada rawatan, air atau larutan garam.

Apa yang kami temui?

Kami tidak menjumpai kajian lengkap untuk dimasukkan dalam ulasan ini.

Kami menjumpai 16 kajian yang sedang dijalankan melibatkan hampir 1250 peserta. Kajian-kajian ini menyiasat pelbagai jenis ubat kumur dan semburan hidung.

Empat belas dari kajian tersebut adalah kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang diletakkan secara rawak dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Kajian jenis ini memberikan bukti yang paling kuat mengenai kesan rawatan.

Apakah maksudnya?

Buat masa ini tiada bukti berkaitan faedah dan risiko bagi pesakit COVID-19 menggunakan ubat kumur antimikrob atau semburan hidung.

Enam belas kajian rawak terkawal sedang dijalankan. Setelah kajian-kajian ini selesai, kami akan dapat menganalisa dan memasukkan penemuan mereka dalam versi ulasan yang dikemas kini.

Adalah penting untuk kajian masa depan mengumpul dan menganalisis maklumat mengenai kejadian buruk. Beberapa kajian yang sedang dijalankan yang telah kami kenal pasti menyatakan secara spesifik bahawa mereka akan menyiasatnya. Sekiranya kajian masa depan menunjukkan kesan yang baik daripada ubat kumur dan semburan hidung, ia mungkin bukan kesan yang besar (sangat sedikit intervensi kesihatan yang mempunyai ukuran kesan yang besar dan dramatik). Kesan baik yang berpotensi kecil hanya akan dapat dipertimbangkan risikonya jika sebarang kejadian buruk yang berlaku dilaporkan dalam kajian.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Carian bukti terakhir kami adalah pada 1 Jun 2020. Ulasan ini merangkumi penyelidikan yang tersedia sehingga tarikh itu, tetapi tidak mempertimbangkan bukti yang mungkin dihasilkan setelah itu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save