Apakah faedah dan risiko oleh petugas kesihatan yang menggunakan ubat kumur antimikrob atau semburan hidung untuk melindungi diri sendiri ketika merawat orang dengan COVID-19?

Mengapa soalan ini penting?

COVID-19 ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2. Kebanyakan orang yang dijangkiti COVID-19 mempunyai penyakit respiratori ringan hingga sederhana, dan sesetengah mungkin tidak bergejala (jangkitan asimptomatik). Mereka yang lain mungkin mengalami gejala yang teruk dan memerlukan rawatan pakar dan penjagaan intensif.

COVID-19 merebak dari individu ke individu terutamanya melalui titisan yang dihasilkan ketika orang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap. Seseorang juga boleh dijangkiti dengan menyentuh permukaan atau objek yang mempunyai titisan virus di atasnya, dan kemudian menyentuh mulut atau hidungnya sendiri.

Petugas kesihatan yang merawat penghidap COVID-19 berisiko untuk menjadi orang yang dijangkiti. Swapengambilan ubat kumur antimikrob (untuk membilas mulut) atau semburan hidung (disembur ke dalam hidung) mungkin dapat membantu petugas kesihatan untuk melindungi diri sendiri daripada jangkitan. Ubat kumur antimikrob dan semburan hidung adalah cecair yang membunuh atau menghentikan pertumbuhan mikro-organisma seperti virus atau bakteria.

Seperti mana-mana rawatan perubatan, ubat kumur antimikrob dan semburan hidung mempunyai potensi risiko serta faedah. Terdapat kemungkinan bahawa penggunaan ubat kumur atau semburan hidung boleh menyebabkan pelbagai kesan (buruk) yang tidak diingini, termasuk kerengsaan, reaksi alergi atau kehilangan deria bau. Ia juga boleh membunuh mikro-organisma dari mulut atau hidung yang berguna untuk melindungi tubuh daripada jangkitan.

Untuk menilai faedah dan risiko swapengambilan ubat kumur antimikrob dan semburan hidung bagi petugas kesihatan yang merawat pesakit dengan COVID-19, kami berhasrat untuk mengkaji bukti penyelidikan.

Bagaimana kami mencari bukti?

Pasukan penyelidik kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang membandingkan kesan sebarang ubat kumur antimikrob atau semburan hidung yang digunakan oleh petugas kesihatan berbanding ketiadaan rawatan, air atau larutan garam.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati tiada kajian yang telah lengkap untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini.

Kami mendapati terdapat tiga kajian yang sedang dijalankan yang bertujuan untuk melibatkan hampir 700 peserta. Kajian-kajian ini menyiasat kesan povidone iodin (sebagai ubat kumur dan semburan hidung), nitrik oksida (sebagai ubat kumur dan semburan hidung) dan semburan hidung GLS-1200 (walaupun kandungan semburan ini tidak jelas, dan mungkin tidak mempunyai agen antimikrob).

Dua dari kajian tersebut adalah kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang diletakkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Kajian jenis ini memberikan bukti yang paling kuat mengenai kesan rawatan. Kajian ketiga adalah kajian klinikal tanpa rawak.

Hanya satu kajian yang sedang dijalankan secara khusus menyatakan bahawa ia akan menyiasat kejadian buruk. Tidak jelas jika ianya akan merangkumi perubahan deria bau atau campuran mikro-organisma yang terdapat di mulut atau hidung, dan akibat dari perubahan ini.

Apakah maksudnya?

Setakat ini tiada bukti yang mengaitkan faedah dan risiko oleh petugas kesihatan yang menggunakan ubat kumur antimikrob atau semburan hidung untuk melindungi diri sendiri ketika merawat orang dengan COVID-19.

Dua kajian rawak terkawal dan satu kajian tidak rawak sedang dijalankan. Setelah kajian-kajian ini selesai, kami akan dapat menganalisa dan memasukkan penemuan mereka dalam versi ulasan ini yang dikemas kini.

Adalah penting untuk kajian masa depan mengumpulkan dan menganalisis maklumat mengenai kejadian buruk. Hanya satu dari kajian yang sedang dijalankan yang telah kami kenal pasti menyatakan secara spesifik bahawa mereka akan menyiasatnya. Sekiranya kajian masa depan menunjukkan kesan yang baik dari ubat kumur dan semburan hidung, ianya mungkin bukan kesan yang besar (sangat sedikit intervensi kesihatan yang mempunyai ukuran kesan yang besar dan dramatik). Kesan baik yang berpotensi kecil hanya akan dapat dipertimbangkan terhadap risiko jika sebarang kejadian buruk yang berlaku dilaporkan dalam kajian.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Carian bukti terakhir kami adalah pada 1 Jun 2020. Ulasan ini merangkumi penyelidikan sedia ada sehingga tarikh tersebut, tetapi tidak mempertimbangkan bukti yang mungkin dihasilkan sejak itu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save