Terapi untuk merawat kesakitan dalam kolitis ulseratif

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada rawatan untuk individu dengan kolitis ulseratif (UC) boleh memperbaiki kesakitan.

Kami menganalisis data daripada lima kajian untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang mana-mana rawatan ini untuk menguruskan sakit dalam UC berikutan kepastian bukti yang sangat rendah.

Adalah tidak jelas sama ada mana-mana terapi yang dipertimbangkan adalah lebih baik antara satu sama lain, tetapi bukti adalah terhad disebabkan bilangan kajian dan peserta kajian yang rendah, isu disebabkan kurang kepastian berkaitan pelaporan kajian.

Apa yang dikaji dalam ulasan?

Individu dengan kolitis ulseratif biasanya mengalami kesakitan, sama ada penyakit mereka aktif atau tidak aktif.

Beberapa jenis terapi telah digunakan untuk mengurangkan kesakitan dalam kolitis ulseratif, termasuk diet, terapi psikologi, ubat-ubatan, terapi senaman dan terapi otak.

Buat masa ini tiada kesepakatan dalam kalangan ahli perubatan tentang terapi yang lebih baik.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mencari kajian rawak terkawal (RCT; kajian klinikal yang melibatkan peserta dimasukkan secara rawak dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan mana-mana rawatan antara satu sama lain atau dengan rawatan plasebo/dummy. Kami menemui lima RCT yang melibatkan 360 peserta.

1) Penulis melaporkan kelegaan daripada kesakitan dalam kajian yang melibatkan latihan relaksasi berbanding kajian tanpa latihan relaksasi, tetapi kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang apakah ia benar-benar berlaku kerana kepastian bukti yang sangat rendah.

2) Adalah tidak jelas jika terdapat sebarang perbezaan antara terapi yang dikaji dalam menguruskan kesakitan.

3) Adalah tidak jelas sama ada mana-mana terapi boleh mengakibatkan perbezaan dalam kesan buruk (minor atau serius) apabila dibandingkan dengan terapi yang lain.

Kesimpulan

Kami mempunyai bukti berkepastian sangat rendah untuk semua intervensi yang dikaji dalam ulasan ini tentang sama ada mana-mana terapi tersebut boleh memperbaiki kesakitan dalam individu dengan kolitis ulseratif. Kami tidak yakin bahawa kaedah tersebut dapat memperbaiki kesakitan dalam kolitis ulseratif.

Tiada kesimpulan yang dapat dibuat disebabkan kekurangan bukti, dan isu kualiti dalam kajian yang ditemui. Penyelidikan lanjut adalah diperlukan, yang menangani isu kepastian yang kami ketengahkan.

Sejauh mana ulasan ini dikemas kini?

Ulasan ini dikemas kini sehingga April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information