Ubat anti-radang untuk sakit pinggang akut

Soalan ulasan

Kami mengkaji kesan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID), seperti diclofenac, ibuprofen, dan naproxen, bagi rawatan sakit pinggang akut. Sakit pinggang yang akut ditakrifkan sebagai sakit di bahagian belakang, di bawah rusuk dan di atas punggung, dalam masa kurang daripada 12 minggu. Kami membandingkan NSAID dengan plasebo, parasetamol, NSAID lain, ubat-ubatan lain, dan rawatan bukan ubat.

Latar belakang

Sakit pinggang akut kerap dialami oleh orang dewasa, dan menyebabkan kesakitan dan ketidakupayaan. Doktor sering memberikan NSAID sebagai rawatan sakit pinggang akut. Terdapat pelbagai jenis NSAID, yang boleh dibeli di kedai dan juga didapati sebagai ubat preskripsi.

Ciri-ciri kajian

Kami mengkaji ujian terkawal secara rawak yang diterbitkan atau didaftarkan sebelum 7 Januari 2020. Kami telah meneliti 32 ujian yang melibatkan 5356 peserta. Peserta ujian berumur diantara 16 hingga 78 tahun dan mengalami sakit pinggang akut. Tempoh kajian adalah daripada satu hari hingga enam bulan. Kajian-kajian ini dilakukan di beberapa negara yang berbeza. Lebih daripada separuh daripada kajian ini dilakukan di Eropah dan Amerika Utara.

Keputusan Utama

NSAID lebih berkesan sedikit daripada plasebo untuk mengurangkan kesakitan pada tiga minggu pertama. Secara purata, keterukkan sakit menurun sebanyak 7.3 mata pada skala 100 mata. Ini bermakna terdapat sedikit perbezaan antara kedua rawatan tersebut, tetapi ianya tidak relevan dari segi klinikal. Pesakit yang menerima NSAID juga mendapat skor 2.0 mata lebih baik pada skala ketidakupayaan 24 mata berbanding mereka yang menerima plasebo. Kemungkinan manafaat yang nyata agak sukar berdasarkan keputusan-keputusan di atas. Terdapat jumlah kesan sampingan yang serupa antara pesakit yang menerima NSAID dan pesakit yang menerima plasebo. Walau bagaimanapun, jenis kajian yang kami teliti tidak dirancang untuk mencari kesan sampingan. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam membuat kesimpulan berdasarkan keputusan ini.

Kami juga membandingkan dua jenis NSAID yang berbeza; NSAID bukan selektif berbanding perencat COX-2. Kami mendapati tiada perbezaan kesan yang jelas. Terdapat juga sejumlah kesan sampingan yang dilaporkan melibatkan sistem pencernaan, seperti sakit perut, mual, cirit-birit, atau gejala-gejala perut yang lain.

Kualiti bukti

Terdapat kualiti bukti yang sederhana menunjukkan bahawa NSAID lebih berkesan sedikit berbanding plasebo untuk mengurangkan kesakitan jangka pendek, dan bukti berkualiti tinggi bahawa NSAID lebih berkesan sedikit daripada plasebo untuk mengurangkan ketidakupayaan akibat sakit pinggang akut. Magnitud kesan ini sangat kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information