Adakah kuarantin mengawal coronavirus (COVID 2019) secara bersendirian atau gabungan dengan langkah kesihatan awam yang lain?

Latarbelakang

Penyakit voronavirus (COVID-2019) disebabkan oleh virus baru yang telah merebak dengan cepat ke seluruh dunia. COVID-19 merebak dengan mudah antara orang yang berada dalam jarak yang rapat, atau melalui batuk dan bersin. Pesakit-pesakit yang dijangkiti kebanyakannya mengalami gejala ringan, seperti selesema tetapi ada yang sakit parah dan juga meninggal dunia.

Tiada rawatan atau vaksin yang berkesan (ubat yang menghalang jangkitan penyakit tertentu) untuk COVID-19, jadi cara lain untuk melambat (mengawal) perebakan penyakit adalah perlu. Salah satu cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengawal penyakit adalah kuarantin. Ini bermakna memisahkan orang yang sihat daripada orang lain yang sihat, dengan sebab mereka berkemungkinan dijangkiti virus (tanpa gejala) dan dapat menyebarkannya. Cadangan lain yang serupa termasuk pengasingan (seperti kuarantin, tetapi untuk yang mempunyai gejala COVID-19) dan penjarakan sosial (di mana orang tanpa gejala menyimpan jarak fizikal antara satu sama lain).

Apa yang kita ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada dan berapa keberkesanan kuarantin untuk memberhentikan penyebaran COVID-19 dan jika langkah ini dapat mengurangkan kadar kematian. Kami ingin mengetahui jika langkah ini lebih berkesan apabila digabungkan dengan langkah lain seperti penutupan sekolah. Kami juga ingin tahu kosnya.

Ciri-ciri kajian

COVID-19 merebak dengan pantas, jadi kami perlu menjawab soalan ini secepat mungkin. Ini bermakna kami telah memendekkan beberapa langkah proses semakan biasa Cochrane. Walau bagaimanapun, kami yakin bahawa perubahan ini tidak menjejaskan kesimpulan keseluruhan kami.

Kami mencari kajian yang menilai kesan daripada apa-apa jenis kuarantin, di mana-mana sahaja, mengenai penyebaran dan keterukan COVID-19. Kami juga mencari kajian yang menilai kuarantin apabila digabungkan dengan langkah lain, seperti pengasingan, penjarakan sosial, penutupan sekolah dan kebersihan tangan. COVID-19 adalah penyakit baru, jadi, untuk mencari bukti sebanyak mungkin, kita juga mencari kajian mengenai virus yang serupa, seperti SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) dan MERS (Sindrom Pernafasan Timur Tengah).

Kajian mengukur bilangan kes COVID-19, SARS atau MERS, berapa pesakit yang dijangkiti, seberapa cepat virus itu tersebar, berapa ramai orang yang meninggal dunia, dan kos kuarantin.

Keputusan utama

Kami melibatkan 29 kajian. Sepuluh kajian tertumpu pada COVID-19, 15 mengenai SARS, dua pada SARS ditambah dengan virus lain, dan dua lagi pada MERS. Kebanyakan kajian menggabungkan data sedia ada untuk mencipta model (simulasi) untuk meramal bagaimana peristiwa boleh berlaku dari semasa ke semasa, bagi situasi yang berlainan (dipanggil kajian pemodelan). Penyelidikan COVID-19 mengkaji wabak di China, UK, Korea Selatan, dan di kapal persiaran Diamond Princess. Empat kajian melihat kembali kesan kuarantin pada 178,122 orang yang terlibat dalam wabak SARS dan MERS (dipanggil 'kohort'). Kajian baki memodelkan SARS dan wabak MERS.

Kajian pemodelan mendapati bahawa langkah kuarantin simulasi mengurangkan bilangan penyakit dan bilangan kematian. Dengan kuarantin, anggaran menunjukkan pengurangan minimum dalam bilangan orang dengan penyakit 44%, dan penurunan maksimum 81%. Begitu juga, dengan kuarantin, anggaran bilangan kematian menunjukkan penurunan minimum 31%, dan penurunan maksimum 63%. Menggabungkan kuarantin dengan langkah-langkah lain, seperti penutupan sekolah atau penjarakan sosial, adalah lebih berkesan dalam mengurangkan penyebaran COVID-19 berbanding langkah kuarantin sahaja. Kajian SARS dan MERS bersetuju dengan kajian COVID-19.

Dua kajian pemodelan SARS menaksir kos. Mereka mendapati bahawa kos lebih rendah apabila langkah kuarantin bermula lebih awal.

Kita tidak boleh benar-benar yakin tentang bukti yang kita dapati atas beberapa sebab. Kajian COVID-19 berasaskan model mereka pada data terhad dan membuat andaian yang berbeza tentang virus (e.g. berapa cepat penyakit ini akan menyebar). Kajian-kajian lain menyiasat SARS dan MERS oleh sebab itu kita tidak dapat menganggap hasilnya sama untuk COVID-19.

Kesimpulan

Walaupun bukti terhad, semua kajian mendapati kuarantin adalah langkah penting dalam mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti dan bilangan kematian. Keputusan menunjukkan bahawa kuarantin adalah paling berkesan, dan kosnya rendah, apabila dimulakan lebih awal. Menggabungkan kuarantin dengan langkah pencegahan dan kawalan yang lain mempunyai kesan yang lebih besar daripada kuarantin sahaja.

Ulasan ini meliputi semua kajian yang diterbitkan sehingga 12 Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save