Pencegahan demensia dan kemerosotan kognitif dengan menggunakan intervensi berbilang domain

Soalan ulasan

Bolehkah kemerosotan kognitif dan demensia dicegah dengan intervensi yang menyasarkan dua atau lebih faktor risiko untuk demensia?

Latar belakang

Demensia ialah keadaan di mana ingatan dan lain kemahiran berfikir (dikenali sebagai kognisi, atau fungsi kognitif) merosot sehingga menjejaskan keupayaan seseorang berdikari sepenuhnya dalam aktiviti harian mereka. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai masalah otak yang berbeza, kebanyakannya menjadi semakin biasa selepas berusia. Walaupun risiko demensia meningkat untuk semua orang apabila mereka semakin tua, bukan semua orang mempunyai risiko yang sama. Beberapa faktor risiko yang menyebabkan demensia lebih berkemungkinan telah dikenal pasti. Ini termasuk tekanan darah tinggi pada usia pertengahan, kencing manis, merokok, minum banyak alkohol dan kekurangan senaman. Sekiranya faktor risiko ini ditangani, maka ia mungkin mencegah kemerosotan kognitif dan demensia, atau sekurang-kurangnya menangguhkan permulaannya. Disebabkan demensia ialah keadaan yang kompleks dan terdapat banyak faktor risiko, ia mungkin tidak begitu berkesan untuk menyasarkan hanya satu faktor risiko. Dalam ulasan ini, kami berminat dengan intervensi yang menyasarkan untuk mengubah suai sekurang-kurangnya dua faktor risiko; ini dikenali sebagai intervensi berbilang domain.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari sehingga 28 April 2021, kajian di mana orang tanpa demensia dibahagikan secara rawak kepada intervensi berbilang domain atau penjagaan kesihatan biasa (contohnya nasihat kesihatan am) dan kumpulan-kumpulan itu kemudiannya dibandingkan dengan mengira bilangan orang yang mengalami demensia atau dengan mengukur fungsi kognitif. Kami telah menjumpai sembilan kajian dengan jumlah 18,452 peserta. Purata umur peserta ialah 68 tahun. Kajian-kajian ini berbeza dari beberapa cara penting, termasuk faktor risiko yang mereka cuba mengubah suai, tempoh intervensi berlangsung (dari 1 tahun sehingga 10 tahun), dan ujian yang digunakan untuk mengukur fungsi kognitif. Semua kajian berlaku di negara berpendapatan tinggi atau sederhana di mana penjagaan kesihatan biasa mungkin berada pada tahap yang baik.

Keputusan utama

Hanya dua kajian mengira bilangan orang yang mengalami demensia. Orang dewasa yang lebih tua yang menerima intervensi berbilang domain tidak lebih atau kurang berkemungkinan mengalami demensia berbanding mereka yang menerima penjagaan biasa. Intervensi berbilang domain mungkin meningkatkan fungsi kognitif sedikit apabila ini diukur dengan ujian yang panjang dan terperinci, walaupun kami tidak menemui sebarang kesan dalam kajian yang mengukur fungsi kognitif dengan ujian saringan pendek (Peperiksaan Keadaan Mental Mini, MMSE). Kajian-kajian yang menemui manfaat kebanyakannya menawarkan latihan kognitif dalam intervensi berbilang domain, yang menjadikan beberapa kesan mungkin disebabkan oleh orang yang semakin cekap dalam melakukan ujian kognitif, bukannya disebabkan oleh peningkatan sebenar dalam fungsi kognitif yang terserlah dalam kehidupan seharian. Kesannya juga lebih ketara dalam kalangan peserta yang mempunyai peningkatan risiko genetik untuk demensia (orang yang mempunyai gen ApoE4). Tiada kajian yang melaporkan kesan berbahaya daripada intervensi.

Kami mendapati kebanyakan kajian telah dijalankan dengan baik. Secara keseluruhan, kepastian tentang bukti adalah sederhana sehingga tinggi, ini bermaksud kami adalah sederhana hingga sangat yakin dengan keputusan kami.

Kesimpulan

Kami tidak menemui bukti bahawa intervensi berbilang domain boleh mencegah demensia, tetapi ia mungkin mempunyai kesan bermanfaat yang kecil pada fungsi kognitif dalam orang yang lebih tua. Terdapat banyak perbezaan antara intervensi dan kami tidak boleh mengatakan apa-apa tentang sama ada menyasarkan faktor risiko tertentu atau gabungan faktor risiko mungkin mendapat kesan yang lebih besar, atau tentang berapa lama intervensi mungkin perlu bertahan. Masih banyak lagi yang boleh dipelajari daripada penyelidikan lanjut dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric), Disunting oleh Chan MW (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information