Sejauh manakah dresing hidrogel berkesan untuk membantu luka tapak penderma sembuh selepas graf kulit separa?

Mesej utama

- Kami tidak tahu sama ada dresing hidrogel (yang direka bentuk bagi mengekalkan kelembapan luka) adalah lebih baik daripada dresing lain untuk membantu luka tapak penderma sembuh selepas graf kulit separa (kulit diambil daripada bahagian anggota badan yang lain).

- Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan dresing hidrogel dengan krim, salap, atau larutan lain yang disapu terus pada luka.

- Lebih banyak kajian dengan reka bentuk yang lebih baik diperlukan bagi menjawab soalan ini.

Apakah itu luka tapak penderma dan graf kulit separa?

Luka tapak penderma berpunca daripada pembuangan sebahagian kulit daripada bahagian anggota yang sihat dan tidak terjejas, dan memindahkan kawasan kulit yang rosak atau hilang bagi membantu menyembuhkan. Luka ini adalah hasil daripada prosedur pembedahan standard yang dipanggil graf kulit. Graf kulit separa ialah lapisan kulit nipis yang dicukur daripada kawasan seperti paha dan punggung, yang kebiasaanya sembuh dengan baik dalam masa dua minggu.

Dresing yang manakah digunakan pada luka tapak penderma?

Dresing untuk menutup luka tapak penderma adalah berbeza-beza dari segi cara berfungsi, kos dan kemudahan penggunaannya. Dresing hidrogel diperbuat daripada bahan semula jadi atau bahan sintetik yang membolehkan oksigen dan nutrien melaluinya. Dresing ini menyediakan persekitaran yang lembap untuk penyembuhan, yang mungkin menghalang dresing daripada melekat pada luka, yang menyebabkan kerosakan selanjutnya. Dresing ini tidak perlu ditukar dengan kerap berbanding pembalut lain dan selalunya digunakan pada luka yang lambat sembuh atau yang memerlukan kelembapan yang banyak bagi menggalakkan penyembuhan, seperti luka melecur. Terdapat banyak jenis dresing lain termasuk kasa parafin, dresing penyerap, hidrokoloid, dan dresing yang dicelup dengan antimikrobial.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada dresing hidrogel berkesan membantu menyembuhkan luka tapak penderma selepas graf kulit separa. Kami amat berminat untuk menyiasat kesan pelbagai jenis dresing pada luka tapak penderma daripada graf kulit separa.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan dresing hidrogel dengan pengubatan lain untuk menyembuhkan luka tapak penderma selepas graf kulit separa. Kami menganalisis keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti gabungan berdasarkan saiz dan kualiti kajian yang dimasukkan.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menjumpai dua kajian dengan 162 peserta.

- Satu kajian dengan 101 peserta telah dijalankan di unit luka melecur kanak-kanak dan membandingkan antara dresing hidrogel (jaring kasa yang bersalut dengan hidrogel) dengan dresing alginat (berasaskan alga atau rumpai laut) atau Cuticerin (kasa asetat licin yang dicelup dengan salap kalis air.).

- Kajian kedua, dengan 61 peserta, berlangsung di tiga jabatan pembedahan dan membandingkan dresing hidrogel yang mengandungi antiseptik (octenidine - untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan) dengan dresing tanpa octenidine.

Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan dresing hidrogel dengan rawatan yang digunakan secara langsung pada luka (seperti krim atau salap).

Peserta yang terlibat dalam kajian ini dipilih secara rawak untuk menerima rawatan dengan dresing hidrogel atau dresing lain.

Keputusan utama

Dresing hidrogel berbanding jenis dresing lain

Dresing hidrogel boleh meningkatkan masa bagi penyembuhan luka kira-kira 1.7 hari berbanding dengan alginat (1 kajian melibatkan 69 peserta) atau dresing Cuticerin (1 kajian melibatkan 68 peserta). Kami tidak pasti tentang keputusan untuk dresing hidrogel berbanding dengan dresing lain untuk kesakitan di tapak penderma dan komplikasi luka, termasuk parut dan kegatalan. Kajian tidak melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan atau jangkitan luka dan tidak melaporkan sebarang kesan yang tidak diingini daripada dresing.

Dresing hidrogel berasaskan octenidine berbanding dresing hidrogel tanpa octenidine

Kami tidak pasti tentang kesan dresing hidrogel berasaskan octenidine berbanding dresing hidrogel tanpa octenidine untuk masa untuk penyembuhan luka, jangkitan luka dan kesan yang tidak diingini. Kajian tidak melaporkan kesakitan tapak penderma, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, atau komplikasi luka.

Batasan bukti

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan hasil keputusan kami. Kajian-kajian tersebut tidak berkualiti dan tidak memberikan data tentang semua perkara yang kami minati.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 20 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Dr. Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information