Sejauh manakah keberkesanan inisiatif yang bertujuan untuk mempercepatkan diagnosis tumor otak?

Mengapa soalan ini penting
Tumor otak adalah sekumpulan sel dalam otak yang berkembang dengan cara yang tidak normal dan tidak terkawal. Terdapat dua jenis tumor otak yang utama:

- Tumor otak bukan kanser (benigna, ketumbuhan tidak berbahaya): Iai tumbuh dengan perlahan dan tidak merebak ke seluruh badan.
- Tumor otak kanser (malignan): Ia tumbuh lebih cepat dan boleh merebak ke bahagian badan lain.

Tumor otak yang bermula di otak dikenali sebagai tumor primer. Jika mereka telah merebak ke otak dari tempat lain, ia dipanggil tumor sekunder.

Semua jenis tumor otak adalah ancaman kesihatan yang serius, kerana otak mengawal semua fungsi badan. Kedua-dua tumor otak benigna dan kanser boleh membawa maut. Walaupun ada masanya tidak membawa maut, ia boleh menjadi sangat melumpuhkan. Gejala-gejalanya termasuk:

- Sakit kepala
- Sawan epilepsi
- Loya yang berterusan (rasa tidak sihat), muntah, dan mengantuk
- Perubahan tingkah laku atau personaliti, masalah pemikiran, masalah ingatan
- Kelemahan, atau kelumpuhan yang terjadi pada satu sisi badan
- Masalah dengan pertuturan atau penglihatan

Ia adalah sukar untuk mendiagnosis tumor otak, kerana semua gejala boleh disalah anggap sebagai gejala untuk keadaan yang kurang serius. Ia mungkin mengambil masa sebelum punca sebenar mereka - tumor otak - dikenal pasti. Namun, diagnosis tumor otak yang seawal mungkin adalah penting, kerana semakin besar ketumbuhan tumor, semakin sukar untuk dirawat, dan semakin besar potensi untuk rawatan akan menyebabkan kerosakan kolateral.

Pelbagai inisiatif telah direka untuk mempercepatkan diagnosis tumor otak. Ini termasuk kempen untuk meningkatkan kesedaran doktor dan orang ramai tentang gejala yang ditimbulkannya, dan garis panduan profesional yang mempercepatkan rujukan untuk imbasan diagnostik atau penilaian pakar. Untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan inisiatif ini, pengulas menetapkan untuk melihat semula bukti penyelidikan. Pengulas juga ingin menyiasat kos inisiatif.

Bagaimana pengulas mencari bukti
Sepasukan penyelidik mencari kesusasteraan perubatan untuk kajian yang membandingkan keberkesanan inisiatif yang direka untuk mempercepatkan diagnosis tumor otak dengan amalan biasa atau inisiatif lain, dan menyertakan orang dari semua peringkat umur dengan tanda atau gejala yang mungkin mencadangkan tumor otak.

Apa yang pengulas temui
Pengulas menemui 115 kajian yang menyiasat diagnosis tumor otak, tetapi tiada kajian yang memenuhi semua kriteria kemasukan yang ditetapkan, dan mengecualikan kajian tersebut. Pengulas tidak menemui kajian dengan maklumat tentang kos inisiatif.

Apakah maksudnya
Pada masa ini, tiada bukti daripada kajian yang berkualiti baik untuk memaklumkan pesakit, profesional kesihatan atau perancang perkhidmatan tentang cara mengurangkan masa untuk mendiagnosis tumor otak. Juga tiada sebarang maklumat mengenai kos inisiatif. Ulasan ini mengetengahkan keperluan untuk penyelidikan dalam bidang ini.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kali terakhir pengulasi mencari bukti kajian adalah pada bulan Januari 2020. Ulasan ini meliputi penyelidikan sedia ada sehingga tarikh tersebut, tetapi tidak mempertimbangkan bukti yang mungkin telah dihasilkan sejak daripada itu.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information