Pekatan kompleks prothrombin dalam rawatan pendarahan yang berlaku dengan pembedahan jantung

Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai bukti semasa sama ada pekatan kompleks prothrombin selamat digunakan untuk mencegah pendarahan selepas pembedahan jantung. Kami juga menilai keupayaannya untuk mengurangkan kematian dan komplikasi serius yang lain jika dibandingkan dengan terapi lain.

Latar belakang

Pendarahan berikutan pembedahan jantung yang kompleks boleh menjadi sukar untuk diuruskan. Laluan pembekuan darah adalah kompleks, dan apabila pesakit diletakkan pada mesin pintasan jantung, terdapat pengurangan komponen tertentu dalam darah. Faktor pembekuan boleh berkurangan dengan ketara bergantung pada tempoh pintasan. Plasma beku segar dan pekatan kompleks protrombin adalah satu-satunya kaedah yang diiktiraf untuk menggantikan faktor pembekuan ini. Plasma beku segar berada dalam beg isipadu 250 hingga 300 mL boleh meningkatkan jumlah isipadu darah tetapi boleh menyebabkan tekanan tambahan pada jantung. Pekatan kompleks prothrombin berada dalam serbuk yang dibentuk semula dan dihantar dalam jumlah yang lebih kecil. Produk ini berfungsi lebih cepat kerana faktornya pekat dan diberikan dengan cepat berbanding dengan penyerapan perlahan plasma beku segar cair. Faktor rekombinan VIIa (rFVIIa) adalah faktor pembekuan darah lain yang dibuat di makmal, tetapi bukan dari manusia. Ia digunakan apabila pendarahan sangat teruk sehingga tiada produk darah yang dapat memperbaikinya. Kami membandingkan keberkesanan pekatan kompleks prothrombin kepada rFVIIa.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 20 April 2021. Kami menyertakan 18 kajian dengan sejumlah 4993 peserta yang menjalani pembedahan jantung. Daripada 18 kajian ini, dua adalah kajian rintis rawak terkawal (RCT) dan 16 adalah kajian bukan rawak (NRS). Tiga belas daripada kajian NRS ini adalah pada orang dewasa dan tiga adalah pada kanak-kanak. Dua jenis pekatan kompleks protrombin yang digunakan ialah 3-faktor (mengandungi tiga faktor pembekuan) dan 4-faktor (mengandungi empat faktor pembekuan). Pekatan kompleks prothrombin ini dibandingkan dengan terapi standard dalam sebelas kajian dan rFVIIa dalam lima kajian, dengan baki dua kajian tidak mempunyai pembanding.

Produk pembekuan diberikan di bilik bedah dalam sembilan kajian, rawatan rapi dan bilik bedah dalam tiga kajian dan tidak diterangkan dalam enam kajian yang selebihnya. Kami mengecualikan sebarang kajian yang menggunakan produk pembekuan untuk membalikkan tindakan yang disebabkan oleh ubat penipisan darah yang telah diambil oleh pesakit.

Keputusan utama

Pekatan kompleks prothrombin berbanding terapi standard

Pekatan kompleks prothrombin mempunyai pengurangan keseluruhan dalam transfusi sel darah merah (RBC) (kedua-dua unit transfusi RBC dan kejadian transfusi RBC) jika dibandingkan dengan plasma beku segar. Terdapat kemungkinan tiada pengurangan dalam pengeluaran saluran dada (pendarahan) dalam RCT. Tiada perbezaan dalam hasil laporan pembekuan darah, kematian, tempoh rawatan rapi dan keperluan dialisis dalam kedua-dua RCT dan NRS. Semua RCT mempunyai kualiti bukti yang sederhana hingga rendah dan semua NRS mempunyai kualiti bukti yang sangat rendah hingga rendah.

Pekatan kompleks prothrombin berbanding rFVIIa

Pekatan kompleks prothrombin mempunyai pengurangan besar dalam pemindahan sel darah merah jika dibandingkan dengan rFVIIa. Kualiti bukti ini adalah sederhana. Untuk hasil selebihnya yang kami ulas, terdapat hanya dua kajian yang boleh dianalisis. Kajian-kajian ini mendapati bahawa tiada perbezaan dalam darah beku, kematian, pendarahan ke dalam saluran, tempoh rawatan rapi dan keperluan untuk dialisis. Kekurangan perbezaan ini mungkin disebabkan oleh kekurangan keupayaan akibat sedikit bilangan peserta untuk mencari hasil yang jarang ini. Kualiti bukti bagi hasil-hasil tersebut adalah sangat rendah.

Kualiti bukti

Semua RCT mempunyai risiko bias yang rendah, tetapi kualiti keseluruhan bukti digredkan sebagai sederhana untuk majoriti hasil, dan bukan tinggi disebabkan bilangan sampel yang rendah. Untuk hasil yang selebihnya, bukti digredkan sama rendah kerana terdapat hanya satu RCT yang menyumbang kepada hasil tersebut.

Kualiti bukti untuk NRS adalah rendah hingga sangat rendah. Banyak kajian retrospektif mempunyai kekeliruan yang ketara yang mungkin mempengaruhi hasil akhir.

Kesimpulan

Pekatan kompleks prothrombin boleh mengurangkan kadar pemindahan RBC (kedua-dua kuantiti pemindahan RBC dan kejadian pemindahan RBC) pada pesakit yang mengalami masalah pendarahan selepas pembedahan jantung apabila dibandingkan dengan penjagaan standard. Kami tidak mengenalpasti perbezaan dalam mana-mana hasil lain tetapi jumlah peserta dalam kajian mungkin tidak mencukupi untuk mengesan perbezaan hasil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information