Program keibubapaan untuk ibu bapa yang mengalami skizofrenia atau penyakit mental serius yang berkaitan

Soalan ulasan

Sejauh manakah keberkesanan program keibubapaan untuk penghidap skizofrenia atau penyakit mental serius yang berkaitan?

Latar belakang

Sekitar satu pertiga daripada penghidap skizofrenia adalah ibu bapa. Program keibubapaan bertujuan untuk menyediakan sokongan dan latihan kepada ibu bapa untuk membantu menguruskan tingkah laku anak mereka. Program keibubapaan yang disasarkan untuk kumpulan ini boleh memberi kesan positif kepada ibu bapa dan anak-anak mereka. Ulasan ini bertujuan untuk mengumpulkan bukti semasa untuk program keibubapaan bagi penghidap skizofrenia atau penyakit mental yang berkaitan untuk memahami sama ada sokongan tersebut berkesan dalam meningkatkan kemahiran keibubapaan atau interaksi ibu bapa-anak.

Carian

Kami menjalankan carian elektronik pada Mac 2020 dan Februari 2021 untuk kajian rawak terkawal program keibubapaan yang ditujukan kepada penghidap skizofrenia atau penyakit mental serius yang berkaitan. Kami menemui 36 kajian dan menyemaknya untuk melihat jika kajian ini berkaitan dengan penyelidikan kami.

Bukti tersedia

Satu kajian memenuhi keperluan ulasan tetapi tidak menyediakan data yang boleh digunakan. Oleh itu, tiada bukti kukuh yang mencukupi untuk mengetahui apa-apa tentang keberkesanan program keibubapaan untuk penghidap skizofrenia atau penyakit mental yang berkaitan.

Kesimpulan

Tiada bukti yang mencukupi untuk membuat cadangan tentang program keibubapaan untuk penghidap skizofrenia atau penyakit mental serius yang berkaitan. Penyelidikan masa depan harus menjalankan kajian yang teliti untuk menguji keberkesanan program keibubapaan yang telah dirancang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amirul Iman Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information