Rawatan kortikosteroid untuk selulitis periorbital dan orbital

Apakah matlamat ulasan ini?
Kami mahu tahu adakah ubat jenis steroid berguna dalam merawat jangkitan serius di kawasan sekitar mata yang dikenali sebagai selulitis periorbital dan orbital. Jangkitan ini boleh menyebabkan komplikasi seperti buta, jangkitan di otak, atau kematian. Kami juga ingin melihat sama ada rawatan steroid ini mempunyai kesan yang sama ataupun berbeza pada kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa.

Mesej utama
Kami tidak tahu sama ada rawatan steroid berguna dalam merawat selulitis periorbital dan orbital. Kami hanya menjumpai satu kajian kecil yang meninjau topik ini, tinjauan ini menunjukkan bahawa mungkin ada manfaat untuk menggunakan steroid dan antibiotik bersama-sama bagi masalah kesihatan di atas. Walau bagaimanapun, kajian yang lebih besar dan berkualiti tinggi diperlukan untuk memahami topik ini dengan lebih baik.

Apakah yang dikaji didalam tinjauan ini?
Selulitis periorbital dan orbital adalah jangkitan di kawasan sekitar mata yang mempunyai potensi yang serius pada penglihatan. Jangkitan seperti ini pada kebiasaanya akan dirawat di hospital, kerana berkemungkinan boleh menyebabkan komplikasi yang serius. Salah satu faktor penyumbang kepada terjadinya komplikasi ini ialah kerana terdapat ruang yang terhad pada struktur tulang yang mengelilingi mata. Apabila ruang-ruang ini membengkak akibat daripada jangkitan, tekanan di dalam ruang tersebut akan meningkat, keadaan ini boleh merosakkan mata. Steroid adalah ubat yang dapat mengurangkan pembengkakan, tetapi dalam masa yang sama mengurangkan kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan. Tidak ada garis panduan yang jelas sama ada rawatan steroid ini digunakan ataupun tidak, untuk merawat selulitis periorbital dan orbital, dan terdapat banyak variasi bagaimana keadaan ini dirawat di kalangan doktor pada masa ini. Ulasan kami menggunakan kaedah standard untuk mengenal pasti kajian yang menetapkan pesakit menerima steroid ataupun rawatan lain menggunakan kaedah rawak, dan kemudian membandingkan hasil keputusan yang diperolehi.

Apakah keputusan utama kajian ini?
Kami mendapati satu kajian yang membandingkan penggunaan antibiotik sahaja ataupun antibiotik dan steroid bagi merawat selulitis periorbital dan orbital. Kajian iini melibatkan 21 orang, 7 orang menerima antibiotik sahaja dan 14 orang menerima antibiotik dan steroid. Kajian ini melibatkan mereka yang berumur 10 tahun ke atas, tetapi tidak mengkaji apakah terdapat perbezaan dari segi tindak balas terhadap steroid di antara kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa. Kajian mendapati bahawa mereka yang menerima steroid dan antibiotik sebagai rawatan, jangka masa penggunaan antibiotik adalah kurang dan gejala lebih cepat bertambah baik berbanding kumpulan yang menerima antibiotik sahaja. Tidak ada perbezaan antara jangka masa rawatan di hospital di antara mereka yang menerima steroid dan antibiotik berbanding mereka yang menerima antibiotik sahaja. Walau bagaimanapun, kerana hanya ada satu kajian kecil mengenai topik ini, sukar untuk mengetahui apakah semua pesakit dengan selulitis periorbital dan orbital harus diberi steroid dengan antibiotik; lebih banyak penyelidikan diperlukan sebelum sebarang cadangan rasmi dapat dibuat.

Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?
Kami mencari kajian yang diterbitkan hingga 2 Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information