Supplemen herba ginkgo biloba untuk tinnitus

Apakah itu tinnitus?

Tinnitus adalah gejala di mana orang mempunyai persepsi bunyi tanpa ada sumber luaran. Ia sering digambarkan sebagai bunyi berdering, berdesir, berdengung atau air mengalir kuat. Ia adalah perkara biasa, yang menjejaskan antara 5% dan 43% daripada populasi umum, dan kelazimannya meningkat dengan usia. Bagi sesetengah orang, tinnitus adalah berterusan dan menyusahkan, dan ia boleh menyebabkan masalah tidur (insomnia), kesukaran menumpukan perhatian, kesukaran dalam komunikasi dan interaksi sosial, dan kebimbangan dan kemurungan. Pengurusan boleh merangkumi pendidikan dan nasihat, terapi rileksasi, terapi latihan semula tinnitus (TRT), terapi tingkah laku kognitif (CBT), penjana bunyi atau alat bantuan pendengaran, dan terapi dadah. Supplemen herba Ginkgo biloba juga telah digunakan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada Ginkgo biloba boleh mengurangkan keterukkan tinnitus dan sama ada ia mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini atau berbahaya.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat Ginkgo biloba berbanding plasebo (rawatan 'dummy'), tiada rawatan atau pendidikan/maklumat sahaja pada orang dewasa dan kanak-kanak dengan tinnitus. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti cara kajian dijalankan dan bilangan orang yang terlibat.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 12 kajian (dengan jumlah 1915 orang yang melibatkan diri). Sebelas kajian membandingkan kesan Ginkgo biloba dengan plasebo. Satu kajian membandingkan kesan Ginkgo biloba yang digabungkan dengan alat bantuan pendengaran kepada alat bantuan pendengaran sahaja.

Keputusan utama

Apabila kami menggabungkan hasil dua kajian yang mengukur keterukan tinnitus dengan cara yang sama kami mendapati bahawa Ginkgo biloba mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan berbanding plasebo, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti. Kami melihat empat kajian yang merekodkan sebarang kesan berbahaya yang serius, yang semuanya tidak melaporkan, justeru Ginkgo mungkin tidak menghasilkan sebarang perbezaan risiko berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, kajian yang disertakan tidak melihat kesan berpotensi berbahaya Ginkgo biloba apabila digunakan bersama ubat lain. Mungkin tidak ada perbezaan antara Ginkgo biloba dan plasebo dalam kesan pada kekuatan bunyi tinnitus, tetapi ini adalah sangat tidak pasti. Kami juga mendapati bahawa mungkin tidak terdapat sebarang perbezaan dalam hasil lain (kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan kesan kecil yang tidak diingini seperti gangguan gastrousus, sakit kepala dan tindak balas alahan). Tiada bukti yang menunjukkan bahawa Ginkgo biloba mempunyai kesan pada tinnitus jika dibandingkan dengan plasebo.

Kami melihat kajian yang membandingkan Ginkgo biloba yang digabungkan dengan alat bantuan pendengaran dengan alat bantuan pendengaran sahaja. Ia menilai perbezaan dalam perubahan dalam keterukan tinnitus dan kenyaringan menggunakan skala pada tiga bulan. Kajian ini tidak melaporkan sebarang hasil lain yang kami minati. Ini adalah satu kajian yang sangat kecil (22 orang) dan buktinya adalah sangat tidak pasti. Kami tidak dapat membuat kesimpulan yang bermakna daripada dapatan kajian ini.

Apakah batasan bukti?

Walaupun kami menemui 12 kajian, separuh daripada mereka tidak melaporkan hasil yang kami minati. Kami tidak dapat menggabungkan keputusan daripada baki kajian yang tinggal. Kami tidak yakin dengan bukti untuk kesan ke atas keparahan tinnitus Ginkgo biloba berbanding plasebo. Ini kerana sesetengah orang tercicir daripada satu kajian, hanya orang yang berumur lebih dari 60 tahun disertakan, kajian tersebut kecil dan terlalu sedikit kajian melaporkan hasil penting ini. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti tentang kesan berbahaya yang serius kerana tiada yang dilaporkan dalam kedua-dua kumpulan dan kajian mungkin mempunyai beberapa masalah dalam cara dilaksanakan. Untuk kekuatan bunyi tinnitus kami tidak yakin dengan bukti kerana kajian yang mengukur ini adalah sangat kecil, sesetengah orang tercicir dan kajian ini sahaja yang melaporkan hasil penting ini. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti untuk kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan kesan kecil yang tidak diingini kerana kajian tersebut kecil dan mungkin mempunyai masalah dengan cara dilaksanakan.

Kami tidak yakin dengan bukti untuk kesan Ginkgo dalam kombinasi dengan alat bantuan pendengaran kerana bilangan peserta dalam kajian itu sangat kecil.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information