Metformin untuk induksi ovulasi dalam wanita dengan satu diagnosis sindrom polisistik ovari dan kurang subur

Soalan ulasan

Penyelidik mengulas bukti mengenai keberkesanan dan keselamatan metformin berbanding dengan ejen induksi ovulasi lain, untuk menggalakkan ovulasi dalam wanita dengan sindrom polisistik ovari (PCOS). Tumpuan adalah kadar kelahiran hidup, kesan sampingan gastrousus dan hasil tambahan reproduktif.

Latar belakang

Wanita dengan PCOS sering mengalami haid jarang-jarang atau tiada langsung kerana mereka tidak mengovulasi (melepaskan telur), yang boleh menyebabkan ketidaksuburan. Mereka juga mungkin mengalami masalah seperti obesiti dan diabetes. Tahap insulin yang tinggi, iaitu satu hormon yang membolehkan badan menggunakan gula untuk tenaga, boleh menjadi punca PCOS dan tahapnya secara umum adalah lebih tinggi dalam kalangan wanita obes. Metformin membantu badan menggunakan insulin dengan lebih berkesan dan membaiki ovulasi dalam kalangan wanita dengan PCOS. Walau bagaimanapun, metformin boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, cirit-birit atau sembelit (kesan sampingan gastrousus).

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian dalam kalangan wanita dengan PCOS yang membandingkan metformin sahaja atau dengan CC, letrozole atau LOD, terhadap CC, letrozole, LOD, plasebo (rawatan sham) atau tanpa rawatan. Ulasan ini mengemaskini ulasan versi terdahulu. Kami memasukkan 41 ujian terkawal rawak (di mana wanita secara rawak diperuntukkan kepada satu rawatan) dengan 4552 wanita. 13 kajian adalah baru untuk kemas kini ini. Kami menggabungkan hasil daripada kajian-kajian dan menilai kualiti kajian untuk menghakimi keyakinan kami dengan keputusan mereka. Bukti ini adalah terkini sehingga Disember 2018.

Keputusan-keputusan utama

Metformin berbanding plasebo/tanpa rawatan

Metformin mungkin meningkatkan peluang mempunyai kelahiran hidup berbanding dengan tanpa rawatan atau plasebo, walau bagaimanapun wanita yang mengambil metformin mungkin mengalami kesan sampingan gastrousus yang lebih. Dengan plasebo, kadar kelahiran hidup adalah 19%, dan ia akan berada di antara 19% dan 37% dengan metformin. Risiko kesan sampingan gastrousus adalah 10% dengan plasebo, tetapi lebih tinggi dengan metformin, antara 22% dan 40%. Wanita yang mengambil metformin mungkin lebih cenderung untuk hamil dan mungkin lebih cenderung untuk ovulasi. Kami tidak pasti tentang kesan metformin berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan terhadap keguguran.

Metformin dengan CC berbanding CC sahaja

Kami tidak pasti jika metformin dengan CC membaiki kadar kelahiran hidup berbanding dengan CC sahaja, tetapi kesan sampingan gastrousus mungkin lebih biasa. Kadar kelahiran hidup dengan CC sahaja adalah 24% yang mungkin berubah antara 23% hingga 34% dengan gabungan metformin dan CC. Dengan CC sahaja, risiko kesan sampingan gastrousus adalah 9%, yang meningkat antara 21% hingga 37% dengan gabungan metformin dan CC. Walau bagaimanapun, kadar kehamilan mungkin diperbaiki dengan metformin dan CC. Kadar ovulasi boleh diperbaiki dengan metformin dan CC. Tidak ada bukti jelas tentang kesan terhadap keguguran.

Metformin berbanding CC

Kami menggabungkan semua kajian dan mendapati bahawa kualiti bukti adalah sangat rendah, keputusan yang tidak konsisten, dan kami tidak boleh yakin untuk membuat kesimpulan. Wanita obes mempunyai kadar kelahiran yang lebih rendah dengan metformin, manakala wanita tidak obes menunjukkan manfaat yang mungkin dari metformin. Kadar kelahiran hidup oleh wanita tidak obes dengan CC adalah 26%, yang boleh meningkat antara 26% dan 50% dengan metformin. Walau bagaimanapun, dalam wanita obes, kadar kelahiran hidup adalah 22% yang boleh berkurang antara 5% hingga 13% dengan metformin. Sama juga, dalam kalangan wanita obes yang mengambil metformin mungkin ada kadar yang lebih rendah untuk kehamilan klinikal dan ovulasi manakala, wanita tidak obes yang mengambil metformin mungkin mempunyai lebih kehamilan; tiada perbezaan yang jelas dalam kadar ovulasi. Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam kadar keguguran antara wanita yang mengambil metformin atau CC. Tiada kajian yang melaporkan kesan sampingan gastrousus.
Ia adalah berkemungkinan bahawa indeks jisim badan wanita (ukuran berat badan yang sihat berdasarkan ketinggian dan berat badan) memberi kesan kepada rawatan yang perlu diambil, walaupun penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengesahkan hal ini. Peningkatan yang terhad dalam hasil seperti diabetes dengan metformin menyerlahkan kepentingan penurunan berat badan dan penyesuaian gaya hidup, terutamanya dalam wanita berlebihan berat badan dengan PCOS.

Kualiti bukti kajian

Kualiti bukti berkisar dari sangat rendah hingga sederhana. Masalah utama adalah kaedah kajian adalah lemah atau tidak jelas, atau tidak melaporkan semua keputusan mereka (risiko bias), atau tidak tepat dan tidak konsisten.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information