Soalan ulasan
Adakah medium kultur yang mengandungi faktor pertumbuhan GM-CSF (faktor perangsang koloni makrofaj granulosit) meningkatkan peluang kehamilan dan bayi dilahirkan hidup, dan mengurangkan risiko keguguran, kehamilan kembar dua atau tiga, kelahiran pramatang, kecacatan kelahiran, masalah genetik pada bayi, dan kelahiran mati?
Latar belakang
Pembiakan berbantu termasuk proses yang mana telur wanita dan sperma lelaki digabungkan untuk mencapai persenyawaan di luar badan. Embrio diletakkan dalam larutan yang dipanggil medium kultur untuk menyokong pembesaran embrio sehingga ia boleh diletakkan ke dalam rahim wanita. Medium kultur ditambah dengan GM-CSF tersedia secara meluas di klinik dan sering ditawarkan sebagai ‘tambahan’ kepada kitaran persenyawaan in vitro (IVF) dalam usaha untuk meningkatkan kadar kejayaan rawatan. Menggunakan medium kultur ditambah GM-CSF boleh menjadikan IVF lebih mahal.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2019. Kami memperoleh data dari tiga kajian rawak terkawal (sejenis kajian yang mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) melibatkan 1532 wanita yang kurang subur yang menjalani IVF atau suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI), sejenis IVF khusus yang mana sperma disuntik ke dalam telur. Kami membandingkan medium kultur ditambah GM-CSF berbanding medium kultur tidak ditambah dengan GM-CSF untuk mereka yang menjalani pembiakan berbantu.
Apakah yang ulasan ini temui
Bukti berkualiti rendah menunjukkan kami tidak pasti sama ada medium kultur yang mengandungi GM-CSF memberi sebarang perbezaan kepada kadar kelahiran hidup apabila dibandingkan dengan menggunakan medium kultur yang tidak mengandungi GM-CSF. Ini menunjukkan bahawa jika kadar kelahiran hidup dikaitkan dengan medium kultur yang tidak mengandungi GM-CSF ialah 22%, kadar dengan penggunaan medium kultur yang mengandungi GM-CSF adalah antara 21% dan 30%. Bukti berkualiti rendah juga menunjukkan kami tidak pasti sama ada medium kultur yang mengandungi GM-CSF memberi sebarang perbezaan kepada keguguran apabila dibandingkan dengan menggunakan medium kultur yang tidak mengandungi GM-CSF. Ini menunjukkan bahawa jika kadar keguguran berkaitan dengan medium kultur yang tidak mengandungi GM-CSF ialah 4%, kadar dengan penggunaan medium kultur yang mengandungi GM-CSF adalah antara 2% dan 5%. Bukti berkualiti rendah untuk kehamilan, kecacatan kelahiran, dan masalah genetik pada bayi, dan bukti berkualiti sangat rendah untuk kehamilan kembar dua atau tiga, dan kelahiran pramatang, menunjukkan bahawa kami tidak pasti sama ada medium kultur yang mengandungi GM-CSF memberi sebarang perbezaan kepada hasil-hasil ini apabila dibandingkan dengan medium kultur yang tidak mengandungi GM-CSF. Dua kajian melihat kepada kelahiran mati, tetapi kerana tiada kelahiran mati berlaku dalam kedua-dua kajian tersebut, kami tidak dapat menganalisis hasil ini.
Kesimpulan keseluruhan
Disebabkan bukti yang berkualiti sangat rendah dan rendah, kami tidak dapat memastikan sama ada GM-CSF lebih kurang berkesan atau berbahaya berbanding medium kultur yang tidak ditambah dengan GM-CSF. Adalah penting maklumat bebas mengenai bukti yang tersedia dapat diakses untuk mereka yang mempertimbangkan menggunakan medium kultur yang ditambah GM-CSF. Sementara itu, lebih banyak kajian yang besar adalah diperlukan untuk meningkatkan kepastian kesimpulan kami.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.