Meningkatkan hasil orang yang menghidapi kanser otak primer dan penjaga mereka menggunakan intervensi paliatif awal


Mengapa soalan ini penting

Kanser otak boleh memberikan kesan yang ketara pada orang ramai dan penjaga mereka. Kanser otak boleh menjejaskan fungsi fizikal, neurokognitif dan sosial seseorang, yang seterusnya boleh menjejaskan seluruh keluarga, terutamanya penjaga tidak formal, yang sering menerima sokongan yang tidak mencukupi. Terdapat bukti dalam kanser lain bahawa menyediakan akses kepada sokongan paliatif pada peringkat awal penyakit seseorang boleh membantu meningkatkan kualiti hidup mereka dan penjaga mereka. Walau bagaimanapun, belum disahkan bahawa ini merupakan kes yang sama bagi orang yang mempunyai kanser otak.

Objektif-objektif

Matlamat kami adalah untuk menilai kajian-kajian yang melibatkan intervensi penjagaan paliatif awal, termasuk rujukan kepada perkhidmatan kepakaran penjagaan paliatif berbanding penjagaan biasa, untuk meningkatkan hasil orang dewasa yang didiagnosis dengan kanser otak primer dan penjaga mereka.

Bagaimana kami mencari bukti

Kami mencari pangkalan data kesusasteraan perubatan elektronik untuk kajian yang merangkumi pelbagai jenis ujian perubatan yang berbeza, iaitu yang diterbitkan dan sedang dilaksanakan. Kami mencari senarai rujukan untuk penerbitan penting dan mencari pengarang utama bagi penyelidikan dalam bidang tersebut. Kami menyertakan orang dewasa yang disahkan menghidapi kanser otak primer dan penjaga tidak formal seperti saudara mara.

Apa yang kami temui

Kami tidak menemui sebarang kajian yang menyiasat impak pasukan perkhidmatan kepakaran penjagaan paliatif terhadap hasil untuk pesakit atau penjaga mereka. Kami memasukkan satu kajian yang berfokus kepada satu bidang gejala - iaitu kognisi - dalam sekumpulan pesakit di mana kira-kira separuh daripada mereka mempunyai kanser gred tinggi. Kajian tersebut memasukkan pesakit secara rawak ke dalam kumpulan yang menerima intervensi pemulihan kognitif berstruktur dan satu lagi kumpulan yang menerima rawatan pemulihan biasa iaitu ubat-ubatan dan fisioterapi. Pemulihan kognitif terdiri daripada latihan berasaskan komputer yang diselia, yang berlangsung selama 45 minit pada satu masa, empat kali seminggu, dalam tempoh empat minggu. Tiada perbezaan penting antara kedua-dua kumpulan selain daripada beberapa peningkatan dalam perhatian visual dan ingatan lisan pada mereka yang menerima intervensi pemulihan kognitif. Walau bagaimanapun, kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah, dan kami tidak menjumpai sebarang bukti dalam kajian ini atau kajian lain mengenai sebarang aspek penjagaan paliatif yang lain.

Ini bermakna

Penyelidikan yang dijalankan mengenai intervensi penjagaan paliatif awal yang menyokong orang yang mempunyai kanser otak primer, dan penjaga mereka tidak mencukupi. Penyelidikan yang mengkaji pendekatan yang diselaraskan untuk keseluruhan peruntukan penjagaan paliatif, dan intervensi yang memfokuskan pada aspek paliatif khusus dalam populasi ini diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information