Rawatan thrombosis vena dalam di bawah lutut

Latar belakang

Thromboembolisme vena (VTE) adalah satu keadaan di mana darah beku terbentuk dalam vena, secara kebiasaannya di vena dalam pada kaki atau pelvis. Ini dikenali sebagai thrombosis vena dalam, atau DVT. Darah beku boleh pecah dan merebak dalam saluran darah, terutamanya ke arteri pulmonari. Keadaan ini dikenali sebagai embolisme pulmonari, atau PE. Istilah VTE merangkumi kedua-dua DVT dan PE.

DVT distal (juga dikenali sebagai DVT distal terpencil, DVT betis atau DVT bawah lutut) berlaku apabila gumpalan darah terbentuk di dalam vena kaki (di bawah lutut). Keluasan darah beku di vena proksimal (di atas lutut) dan penghijrahan darah beku ke paru-paru (PE) adalah komplikasi yang paling biasa diamali. Rawatan terbaik untuk distal DVT tidak jelas. DVT distal samada boleh dirawat dengan antikoagulasi (ubat untuk membantu mencegah pembekuan darah), dengan atau tanpa penggunaan stoking mampatan, atau tanpa pemberian ubat, dan pemantauan dengan ultrasound berulang untuk melihat jika pembekuan berkembang, yang memerlukan antikoagulan. Kesan sampingan utama ubat antikoagulasi adalah peningkatan risiko pendarahan.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami mengenal pasti lapan ujian terkawal secara rawak (kajian klinikal di mana peserta diagihkan secara rawak ke dalam satu dari dua atau lebih kumpulan rawatan) yang melaporkan 1239 peserta. Dari lima kajian, peserta telah diagih secara rawak kepada antikoagulasi selama tiga bulan berbanding dengan tanpa antikoagulasi. Tiga kajian membandingkan rawatan antikoagulasi untuk jangka masa yang berbeza.

Ulasan kami menunjukkan bahawa bagi peserta dengan DVT distal dibandingkan dengan tanpa antikoagulasi atau plasebo (rawatan berpura-pura), antikoagulasi mengurangkan risiko berulang VTE. Keputusan yang serupa dihasil untuk pengulangan DVT, sementara tidak ada kesan yang jelas terhadap risiko PE. Manfaat ini dilihat dengan mengorbankan peningkatan pendarahan yang bukan utama (relevan secara klinikal), tetapi bukan pendarahan besar.

Perbandingan secara langsung jangka masa rawatan mendapati antikoagulasi selama tiga bulan atau lebih adalah unggul daripada kursus yang lebih pendek yang berlangsung hingga enam minggu. Ini menunjukkan penurunan risiko berulang VTE dan DVT tanpa perbezaan jelas bagi pendarahan utama dan pendarahan bukan utama (relevan secara klinikal).

Kebolehpercayaan bukti

Untuk perbandingan antikoagulasi dengan tanpa antikoagulasi atau plasebo, kebolehpercayaan bukti adalah tinggi untuk VTE berulang, DVT, dan pendarahan bukan utama (relevan secara klinikal), dan rendah untuk PE dan pendarahan utama. Untuk perbandingan antikoagulasi selama tiga bulan atau lebih berbanding enam minggu, kebolehpercayaan bukti adalah tinggi untuk VTE berulang dan DVT; dan rendah untuk PE, pendarahan utama dan pendarahan bukan utama (relevan secara klinikal). Kebolehpercayaan bukti diturunkan kerana variasi (atau ketidaktepatan) hasilnya kerana sebilangan kecil kejadian.

Kesimpulan

Ulasan kami mendapati manfaat bagi orang yang mengalami DVT distal yang dirawat dengan terapi antikoagulasi. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan yang jelas bagi kejadian pendarahan utama, walaupun terdapat peningkatan pendarahan bukan utama (relevan secara klinikal) jika dibandingkan dengan tiada rawatan atau plasebo. Sebilangan kecil peserta dalam analisa meta dan kekuatan bukti ini menunjukkan lebih banyak penyelidikan mengenai rawatan DVT distal diperlukan. Ujian terkawal secara rawak yang membandingkan rawatan yang berbeza dan tempoh rawatan yang berbeza dengan plasebo atau terapi mampatan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information