Intervensi jenis apakah yang memberi manfaat kepada orang gelandangan untuk berhenti merokok?

Latar belakang

Orang gelandangan lebih cenderung untuk menggunakan tembakau, dan menghadapi banyak masalah yang menyukarkan mereka untuk berhenti. Masalah kesihatan disebabkan penggunaan tembakau adalah antara penyebab utama kematian dalam kalangan populasi ini, maka terdapat keperluan untuk mencari cara baru untuk mengurangkan penggunaan tembakau dalam orang gelandangan. Panduan penjagaan kesihatan menyatakan bahawa rawatan berhenti merokok perlu menyertakan beberapa bentuk kaunseling atau sokongan, ditambah ubat-ubat yang direka untuk membantu orang berhenti merokok. Walau bagaimanapun, rawatan ini sering tidak disediakan atau digunakan dalam kalangan orang gelandangan. Ulasan kami melihat kepada sama ada sistem-sistem yang direka untuk membantu orang dewasa gelandangan mendapatkan rawatan untuk berhenti merokok, dan rawatan yang direka untuk membantu orang dewasa gelandangan berhenti merokok menyebabkan lebih banyak penggunaan rawatan dan lebih banyak orang berhenti penggunaan tembakau. Kami juga melihat kepada sama ada rawatan untuk membantu orang dewasa gelandangan berhenti merokok mengubah penggunaan dadah lain dan kesihatan mental mereka.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 10 kajian melibatkan 1634 peserta. Salah satu kajian ini masih sedang berjalan, tetapi sembilan yang lain telah selesai. Semua peserta adalah perokok, berumur 18 tahun dan ke atas, dan kehilangan tempat tinggal. Kebanyakan peserta direkrut dari tempat-tempat dalam komuniti, seperti tempat berlindung gelandangan, tetapi ada juga yang direkrut dari klinik penjagaan kesihatan. Semua kajian menawarkan peserta beberapa bentuk sokongan kaunseling untuk berhenti merokok, dan lapan daripada kajian-kajian ini juga menawarkan ubat berhenti merokok. Rawatan-rawatan yang diuji dalam kajian yang disertakan adalah: e-rokok, pesanan teks sokongan, ganjaran untuk berhenti merokok, sokongan kaunseling yang lebih intensif, rawatan yang menumpukan cabaran gaya hidup yang lain serta merokok, dan terapi tingkah laku kognitif. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2020.

Keputusan utama

Maklumat tidak mencukupi untuk menentukan sama ada rawatan berhenti merokok yang ditujukan secara khusus kepada orang gelandangan menjadikan mereka lebih cenderung untuk berhenti merokok daripada rawatan standard untuk berhenti merokok. Bukti juga tidak mencukupi untuk menentukan sama ada rawatan-rawatan ini mempengaruhi kesihatan mental atau penggunaan dadah dalam orang gelandangan.

Kualiti bukti

Kami menilai semua maklumat yang disertakan dalam ulasan ini sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah. Ini kerana kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini adalah kecil, dan terdapat masalah dengan bagaimana beberapa kajian yang disertakan dijalankan. Ini bermakna adalah sukar untuk mengetahui sama ada intervensi-intervensi ini membantu orang gelandangan berhenti merokok. Penemuan-penemuan ulasan ini berkemungkinan berubah apabila kajian-kajian baru selesai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save