Intervensi kondisioning berdasarkan senaman pra-pembedahan (prehabilitasi) di kalangan orang dewasa yang menjalani pembedahan kaki untuk penyakit arteri periferal

Latar belakang

Penyakit arteri periferal kaki (PAD) adalah sejenis penyakit kardiovaskular di mana saluran darah yang membawa darah ke kaki menjadi keras and sempit. Keadaan yang paling teruk (iskemia anggota badan kritikal (CLI)), mengakibatkan gejala kesakitan ketika berehat, luka yang tidak sembuh dan ulserasi, gangren atau kedua-duanya. PAD mempengaruhi lebih daripada 200 juta orang di seluruh dunia dan lebih kurang 3% hingga 5% orang berusia 40 tahun keatas mengalami PAD. Jumlah ini meningkat kepada 18% di kalangan orang yang berumur 70 tahun keatas. Dikalangan orang yang menunjukkan gejala PAD, antara 5% dan 10% akan mengalami CLI dalam jangka masa lima tahun. Bagi mereka yang tidak mempunyai gejala PAD, 7% akan mengalami gejala kekejangan pada kaki ketika berjalan dan diantara pesakit ini, 21% akan mengalami CLI dalam masa lima tahun. Pilihan rawatan termasuk menggunakan balon atau stent (alat yang dipasang di arteri) untuk membuka dan membiarkan darah mengalir (angioplasti), mengambil urat dari kaki atau lengan yang bertentangan dan melampirkannya ke arteri di atas dan di bawah arteri yang tersekat (bypass), atau penyingkiran anggota badan (amputasi), ketika nyawa pesakit berisiko disebabkan oleh jangkitan. Orang yang mengalami CLI mempunyai risiko kematian yang tinggi dan kesihatan yang semakin teruk.

Walaupun terdapat kemajuan di bidang teknologi pembedahan, anestesia, dan rawatan semasa dan selepas pembedahan, sebilangan pesakit mengalami pemulihan yang kurang baik selepas pembedahan. Kondisioning pra-pembedahan (prehabilitasi) dilakukan sebelum pembedahan dan termasuk senaman dengan campur tangan pemakanan atau psikologi atau kedua-duanya. Senaman terdiri daripada latihan aerobik, seperti berjalan, berlari atau berenang (secara ideal tiga hingga lima kali seminggu) dan latihan untuk membina otot dan kekuatan, menggunakan alat berat atau band rintangan (secara ideal dua kali seminggu). Intervensi pemakanan merangkumi makan atau minum suplemen protein setiap hari, selepas latihan atau semasa makan, untuk meningkatkan kesan latihan. Intervensi psikologi mungkin merangkumi latihan pernafasan, meditasi, mindfulness, teknik coping atau terapi tingkah laku kognitif, dengan tujuan untuk mengurangkan kegelisahan menjalani pembedahan.

Kondisioning pra-pembedahan telah menjadi popular bagi pembedahan usus dan bagi pesakit tua yang menjalani operasi. Ia digunakan sebagai alat untuk memperbaiki keadaan pesakit sebagai cara untuk mengurangkan komplikasi semasa dan selepas pembedahan. Orang yang mengalami PAD mengalami kesukaran untuk berjalan dan melakukan aktiviti kehidupan seharian. Akibatnya mereka sering tidak sihat. Oleh itu, mereka mempunyai potensi untuk meningkatkan pemulihan mereka semasa dan selepas pembedahan melalui kondisioning pra-pembedahan. Namun, oleh kerana kondisioning pra-pembedahan memerlukan komitmen yang besar dari hospital dan pesakit, adalah penting untuk mengetahui bagaimana kondisioning pra-pembedahan dibandingkan dengan amalan biasa (penilaian pra operasi, termasuk ujian darah dan air kencing dan maklumat mengenai operasi) untuk mengurangkan jumlah kematian atau komplikasi selepas pembedahan , atau kedua-duanya.

Ciri-ciri kajian dn keputusan utama

Kami melakukan tinjauan literatur (hingga 25 September 2019) untuk menentukan sama ada prehabilitasi dikaitkan dengan penurunan komplikasi dan kematian selepas pembedahan. Kami tidak menemui kajian rawak terkawal untuk topik ini.

Kepastian bukti

Kami tidak menemui sebarang kajian untuk menjawab objektif kami; maka kami tidak dapat menilai kualiti bukti.

Kesimpulan

Kami tidak menemui bukti untuk menentukan sama ada kondisioning pra-pembedahan lebih baik daripada rawatan biasa untuk mengurangkan jumlah kematian atau komplikasi selepas pembedahan. Walaupun percubaan kondisioning pra-pembedahan sukar dilakukan untuk orang yang mempunyai penyakit arteri perifer anggota bawah, percubaan terkawal secara rawak diperlukan untuk memberikan bukti kukuh mengenai topik ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan mengenai penterjemahan ini, sila hubungi rcsiucd.edu.my

Tools
Information