Apakah rawatan terbaik untuk patah tulang pinggul pada orang tua?

Mengapakah persoalan ini penting?

Patah tulang pinggul adalah patah di bahagian atas tulang paha. Kami memasukkan orang yang mengalami patah di bahagian bawah sendi lesung. Jenis patah tulang pinggul ini biasa berlaku pada orang tua yang tulangnya mungkin rapuh kerana keadaan yang dikenali sebagai osteoporosis. Patah tulang pinggul sering berlaku selepas terjatuh dari posisi berdiri atau duduk. Patah tulang pinggul boleh dirawat dengan cara yang berbeza dan kami tidak tahu sama ada sesetengah rawatan lebih baik daripada yang lain.

Apakah rawatannya?

- Menggantikan pinggul yang patah dengan tiruan. Ini boleh dilakukan menggunakan penggantian pinggul separa (hemiarthroplasty), yang menggantikan hanya bahagian bola pada sendi, dan boleh menjadi unipolar (sendi tiruan tunggal) atau bipolar yang mempunyai sambungan tambahan dalam penggantian pinggul separa. Penggantian pinggul sepenuhnya (total hip arthroplasty) menggantikan semua sendi pinggul, termasuk soket, dan biasanya hanya mempunyai satu sendi tiruan untuk sendi lesung (artikulasi tunggal) atau kadang-kadang dua (dwi-mobiliti). Semua jenis sendi tiruan boleh dipasang dengan atau tanpa simen.

- Menggunakan implan logam untuk membaiki bahagian tulang yang patah. Pin atau skru boleh dimasukkan ke dalam kedua-dua bahagian tulang yang patah, atau pakar bedah boleh menggunakan 'plat bersudut tetap' yang terletak di tepi luar tulang yang patah dan dilekatkan pada tulang dengan skru atau pin.

- Rawatan tanpa pembedahan, biasanya memerlukan tempoh rehat di atas katil di mana kaki berada pada kedudukan yang tetap menggunakan cengkaman dengan pemberat.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan satu atau lebih jenis rawatan patah tulang pinggul. Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan rawatan yang berbeza ini. Kami menggabungkan penemuan daripada kajian, dan menghasilkan satu 'rangkaian' (yang digunakan apabila penyelidik membandingkan semua rawatan yang sedia ada dalam satu analisis yang dipanggil 'rangkaian meta-analisis') untuk melihat sama ada kami dapat mengetahui sama ada sesetengah rawatan lebih baik daripada yang lain.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 119 kajian yang melibatkan 17,653 peserta yang melibatkan 17,669 patah tulang pinggul. Purata umur peserta kajian adalah antara 60 hingga 87 tahun; 73% adalah wanita, yang lazim yang mengalami patah tulang pinggul seperti ini. Kami memsukkan 75 kajian daripada carian kajian dalam 'rangkaian' kami.

Kami mendapati bahawa reka bentuk moden penggantian pinggul separa (hemiarthroplasty) unipolar tetap dengan simen tulang, atau beberapa implan logam (plat dan pin bersudut tetap) mempunyai peluang terbesar untuk mengurangkan jumlah kematian dalam tempoh 12 bulan selepas kecederaan. Berbanding dengan orang yang menjalani jenis rawatan ini, lebih ramai orang yang dirawat dengan reka bentuk moden penggantian pinggul separa (hemiarthroplasty) bipolar yang tidak bersimen atau dengan penggantian pinggul sepenuhnya (artikulasi tunggal) meninggal dunia.

Kami tidak menemui seberapa banyak kajian untuk dimasukkan ke dalam 'rangkaian' kami bagi kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, dan tiada satu pun daripada rawatan yang membuat peningkatan bermakna kepada kualiti hidup.

Kami juga mendapati bahawa orang yang dirawat dengan mana-mana penggantian pinggul kurang berkemungkinan memerlukan pembedahan tambahan pada pinggul mereka yang patah berbanding orang yang dirawat dengan implan logam atau dirawat tanpa pembedahan. Antara semua reka bentuk penggantian pinggul, kurang orang yang memerlukan pembedahan tambahan selepas rawatan dengan reka bentuk moden penggantian pinggul separa (hemiarthroplasty) unipolar yang bersimen, tetapi tidak terdapat perbezaan besar dalam penemuan dalam kesemua jenis rawatan penggantian pinggul.

Secara keseluruhan, reka bentuk moden penggantian pinggul yang bersimen cenderung menghasilkan hasil yang lebih baik dan mungkin pendekatan yang lebih berjaya daripada cuba membaiki tulang yang patah. Penggantian pinggul sepenuhnya (artikulasi tunggal) mungkin telah meningkatkan risiko kematian berbanding dengan reka bentuk moden penggantian pinggul yang bersimen, tanpa membawa kepada perbezaan penting dalam kualiti hidup. Namun, kami tidak pasti tentang penemuan ini. Penggantian pinggul sepenuhnya (artikulasi tunggal) mungkin merupakan rawatan yang sesuai untuk sesetengah orang yang mengalami patah tulang ini, tetapi kami belum mengkaji ini dalam ulasan ini.

Adakah kami yakin dengan apa yang kami temui?

Kesan sebenar rawatan-rawatan ini mungkin sangat berbeza dengan apa yang kami temui dalam ulasan ini. Banyak kajian dalam ulasan ini diterbitkan sebelum piawaian pelaporan umum untuk penyelidikan diperbaiki, maka, kami tidak dapat memastikan sama ada kajian ini dijalankan dengan baik atau tidak. Kadangkala, jenis patah tulang adalah berbeza (terutamanya antara peserta yang dirawat dengan implan logam dan yang dirawat dengan penggantian pinggul), dan ini mungkin telah menjejaskan keputusan dalam 'rangkaian'. Kami juga mendapati bahawa keputusan termasuk risiko manfaat dan kemudaratan yang berpotensi, dan ini selalunya kerana peserta kajian tidak mencukupi untuk mencari keputusan yang tepat.

Seberapa kemas kinikah ulasan ini?

Kami menjalankan carian kami pada Julai 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information