Pencegahan klot darah dalam kalangan dewasa yang didiagnosis dengan leukemia limfoblastik akut dan dirawat dengan kemoterapi berasaskan asparaginase

Apakah matlamat ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui sama ada ubat-ubatan pencegahan klot darah sedia ada seimbang manfaat dan mudaratnya dalam kalangan dewasa dengan sub-jenis kanser darah yang disebut leukemia limfoblastik akut (ALL) yang dirawat dengan kemoterapi yang mengandungi asparaginase.

Mesej utama

Kami tidak pasti sama ada produk darah seperti antitrombin pekat untuk pencegahan klot darah dalam kalangan dewasa dengan ALL yang dirawat dengan kemoterapi berasaskan asparaginase dikaitkan dengan bahaya yang sukar diterima seperti kematian. Keyakinan kami terhadap kajian-kajian yang dikenal pasti adalah terhad kerana reka bentuk kajian yang tidak rawak dengan kurang peserta dan tiada kawalan untuk faktor-faktor yang boleh mempengaruhi hasil.

Mudarat pencegahan klot darah lain seperti heparin dengan berat molekul rendah tidak dapat dinilai, kerana kematian dan perdarahan tidak dilaporkan. Kami tidak melihat manfaat seperti pengurangan risiko klot darah, memandangkan kualiti bukti yang rendah (tiada kajian rawak). Kami memerlukan kajian rawak berkualiti tinggi, kerana pelaksanaan kajian demikian meminimumkan faktor-faktor risiko yang mempengaruhi hasil.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

ALL adalah sub-jenis kanser darah yang timbul akibat transformasi malignan sel darah putih tidak matang yang berasal dari limfoid. Dalam 20 tahun kebelakangan, sejarah survival rendah dalam kalangan dewasa dengan penyakit ini telah bertambah baik, terutamanya kerana pengenalan rawatan anti-leukaemia lebih intensif yang diilhamkan dari penggunaannya dalam kalangan kanak-kanak dengan ALL. Salah satu keistimewaan rawatan ini adalah penggunaan intensif agen anti-leukaemia yang disebut asparaginase. Walau bagaimanapun, tiada yang datang tanpa harga. Usia yang lebih tua dan rawatan asparaginase meningkatkan risiko klot darah, yang menyekat saluran darah (terutama di vena) dan mengubah aliran darah normal atau memecahkan klot ke dalam vena lain yang terletak di organ penting, mengakibatkan masalah kesihatan yang serius. Tambahan pula, doktor cenderung untuk menghentikan rawatan asparaginase, jika berlaku klot darah - berpotensi membahayakan survival dalam kalangan mereka ini.

Kami tidak tahu sama ada jenis pencegahan klot darah sedia ada melindungi dari klot dan tidak menyebabkan perdarahan dan kematian dalam kalangan dewasa dengan penyakit ini. Ubat-ubatan tersebut termasuk heparin, antagonis vitamin K, pentasakarida sintetik, perencat trombin langsung, antikoagulan oral langsung, atau produk darah untuk penggantian antitrombin (kurang pengeluaran dalam tubuh protein anti-klot darah ini semasa asparaginase), dan pencegahan mekanikal seperti stoking elastik.

Oleh itu, kami melihat semua penyelidikan sedia ada dalam kalangan dewasa dengan ALL yang dirawat dengan kemoterapi yang mengandungi asparaginase yang menerima pencegahan klot darah berbanding plasebo atau tanpa pencegahan. Kami melihat hasil berikut: klot darah vena simptomatik kali pertama, kematian semua sebab, perdarahan major, kematian berkait dengan klot darah, klot darah vena asimptomatik, perdarahan bukan major yang relevan secara klinikal, penurunan jumlah platelet darah yang disebabkan oleh heparin, dan kualiti hidup.

Apakah keputusan-keputusan ulasan ini?

Kami mendapati 23 kajian, di mana kami memasukkan dua kajian dalam analisis utama untuk membantu menjawab soalan dan sembilan kajian dalam analisis tambahan untuk membantu menerangkan limitasi bukti. Selebih 12 kajian tidak dapat disertakan kerana hasil yang tidak lengkap atau risiko bias kritikal, kerana orang dalam kumpulan kawalan bukan merupakan kawalan 'sebenar'.

Kedua-dua kajian dari analisis utama dilakukan di UK/Kanada dan membandingkan pekatan antitrombin dengan tanpa antitombin dan heparin berat molekul rendah dengan heparin bukan berat molekul rendah bagi orang dengan ALL. Kami tidak pasti sama ada pekatan antitrombin dalam kalangan dewasa dengan ALL yang dirawat dengan kemoterapi berasaskan asparaginase memperbaik/ mengurangkan kematian semua sebab/berkaitan klot darah, kerana keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah (satu kajian, 40 orang dewasa). Mudarat yang berkait dengan penggunaan heparin berat molekul rendah tidak dapat dinilai, kerana kematian semua sebab/berkait klot darah, perdarahan major/klinikal penting, atau penurunan platelet akibat heparin tidak dilaporkan. Tiada kajian yang melihat kualiti hidup.

Tiada kajian yang menilai jenis-jenis pencegahan lain. Kami tidak melihat manfaat seperti pengurangan risiko klot darah, memandangkan bukti kepastian yang rendah.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Para penulis ulasan mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 02 Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save