Pembalut kompresi atau stoking berbanding tiada kompresi untuk merawat ulser vena kaki

Mesej utama

Berbanding tidak mengguna kompresi, terapi kompresi yang menggunakan pembalut atau stoking untuk merawat ulser vena kaki:

- mungkin menyembuhkan ulser vena kaki lebih cepat;

- mungkin meningkatkan bilangan orang yang mana ulser sembuh sepenuhnya selepas 12 bulan;

- mungkin mengurangkan sakit; dan

- mungkin meningkatkan beberapa aspek kualiti hidup.

Walau bagaimanapun, masih ada ketidakpastian sama ada terapi kompresi menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini, dan jika manfaat kesihatan menggunakan kompresi melebihi kosnya.

Apakah ulser kaki?

Ulser kaki adalah luka kulit terbuka di bahagian bawah kaki yang boleh terjadi berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Kebanyakan ulser kaki disebabkan oleh penyakit vena yang mempengaruhi peredaran darah di vena kaki. Ulser vena kaki boleh menyebabkan distres dan sakit bagi pesakit, dan boleh melibatkan kos yang tinggi kepada perkhidmatan kesihatan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Pilihan rawatan standard untuk ulser vena kaki selalunya melibatkan terapi kompresi. Ini melibatkan tekanan luaran di sekeliling kaki bawah untuk membantu aliran darah dari kaki ke jantung. Terapi kompresi menggunakan pembalut, stoking atau peranti lain.

Kami ingin tahu sama ada terapi kompresi melalui pembalut atau stoking berbanding tanpa kompresi:

- menyembuhkan ulser vena kaki;

- memberi sebarang kesan yang tidak diingini;

- meningkatkan kualiti hidup orang;

- memberi manfaat kesihatan yang melebihi kos (keberkesanan kos); dan

- mengurangkan sakit.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana rawatan atau penjagaan yang diterima adalah secara rawak). Jenis kajian begini memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan rawatan. Kami mencari kajian yang menilai kesan sebarang jenis pembalut kompresi atau stoking berbanding tiada kompresi dalam kalangan orang dengan ulser vena kaki di dalam sebarang persekitaran penjagaan. Kami membanding dan merumus keputusannya, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami temui 14 kajian (1391 orang, usia purata: 70.1 tahun) yang berlangsung selama purata 12 minggu. Orang dalam lapan daripada 14 kajian dirawat sebagai pesakit luar dan persekitaran komuniti. Orang dengan ulser vena kaki selama purata 22 bulan dan kebanyakan ulser berkeluasan antara 5 dan 20 sm 2.

Kajian-kajian mengguna tiga jenis terapi kompresi: pembalut regangan pendek, pembalut kompresi empat lapis dan but Unna (sejenis pembalut kompresi yang mengandungi zink oksida). Terapi-terapi ini dibanding dengan tiada kompresi dalam bentuk 'penjagaan biasa', rawatan farmakologi, pelbagai dresing dan pelbagai rawatan di mana hanya beberapa peserta menerima kompresi (tetapi ia bukanlah norma).

(1) Penyembuhan ulser vena kaki dan kesan yang tidak diingini

Berbanding dengan tanpa kompresi bukti menunjukkan bahawa:

- orang yang memakai pembalut kompresi atau stoking mungkin mengalami penyembuhan ulser sepenuhnya lebih cepat; dan

- lebih ramai orang yang dirawat menggunakan pembalut kompresi atau stoking cenderung mengalami penyembuhan ulser sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan.

Walau bagaimanapun, kami tidak temui bukti jelas jika menggunakan pembalut kompresi atau stoking menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

(2) Kesan lain

Bukti menunjukkan berbanding tidak menggunakan kompresi, penggunaan pembalut kompresi atau stoking:

- mungkin mengurangkan sakit lebih daripada tidak menggunakan kompresi; dan

- boleh memperbaik beberapa aspek kualiti hidup orang dalam tempoh 12 minggu hingga 12 bulan.

Walau bagaimanapun, kami tidak pasti jika penggunaan pembalut kompresi atau stoking menghasilkan manfaat kesihatan yang melebihi kosnya.

Apa yang membataskan keyakinan kami terhadap bukti?

Kebanyakan kajian adalah kecil (purata 51 orang) dan 10 dari 14 kajian mengguna kaedah yang boleh menimbulkan ralat dalam keputusan-keputusannya.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information