Apakah faedah dan risiko prosedur pembedahan yang berbeza untuk gejala nystagmus bayi (gangguan mata yang terjadi sejurus selepas kelahiran)?

Mengapakah soalan ini penting?
Gejala nystagmus bayi (INS) adalah gangguan mata yang menyebabkan pergerakan mata luar kawalan dari sisi ke sisi, atas dan bawah, atau dalam bulatan. INS biasanya terjadi sejurus selepas kelahiran, dan berterusan sepanjang hayat. Ia sering dikaitkan dengan masalah penglihatan, seperti:
- rabun dekat (apabila orang dapat melihat objek jauh dengan jelas, tetapi objek berhampiran kelihatan kabur);
- atau rabun jauh (apabila orang dapat melihat objek berhampiran dengan jelas, tetapi objek yang jauh kelihatan kabur).

Tidak ada penawar untuk INS pada masa ini. Walau bagaimanapun, adalah mungkin untuk mengurangkan pergerakan mata dan meningkatkan penglihatan orang. Salah satu pilihan utama adalah pembedahan mata, yang melibatkan pembedahan pada otot yang mengawal pergerakan mata. Beberapa prosedur pembedahan yang berbeza boleh digunakan: beberapa prosedur melibatkan melepaskan dan memasang kembali otot mata, sementara yang lain memerlukan pembuangan otot-otot ini sepenuhnya.

Adalah tidak jelas sama ada beberapa prosedur pembedahan untuk INS mempunyai lebih banyak faedah atau risiko daripada yang lain. Untuk mengetahui prosedur pembedahan mana yang paling baik, kami mengulas bukti dari kajian penyelidikan. Kami sangat berminat sama ada prosedur pembedahan yang berbeza dapat meningkatkan penglihatan dan kualiti hidup orang dengan INS. Kami juga ingin mengetahui tentang sebarang kesan buruk (tidak diingini).

Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Pertama, kami mencari kajian rawak terkawal, di mana orang dibahagikan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan. Ini menyebabkan kemungkinan kecil bahawa perbezaan antara kesan rawatan sebenar disebabkan oleh perbezaan pada orang yang menerimanya (dan bukan kerana rawatan itu sendiri, itulah yang ingin kami ketahui).

Kami kemudian membandingkan hasilnya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan ukuran kajian, dan ketekalan penemuan merentasi kajian.

Apakah yang kami temui?
Kami menemui satu kajian, yang dibuat di India, yang melibatkan seramai 10 orang dengan INS yang disusuli selama enam bulan selepas pembedahan. Penulis kajian tidak melaporkan sebarang maklumat mengenai:
- umur dan jantina orang yang mengambil bahagian di dalamnya;
- atau sumber dana untuk kajian ini.

Kajian ini membandingkan dua prosedur pembedahan yang berbeza:
- satu prosedur di mana dua otot rektus mendatar (otot mata yang mengawal pergerakan mata dari sisi ke sisi) dipindahkan dari kedudukan asalnya ke kedudukan yang lebih jauh di belakang bola mata; dan
- prosedur lain di mana empat otot rektus mendatar dilepaskan dan diletakkan semula, pada kedudukan asalnya.
Prosedur dilakukan di kedua-dua mata.

Kajian membandingkan kesan rawatan terhadap:
- kejelasan penglihatan enam bulan selepas pembedahan;
- intensiti pergerakan mata enam bulan selepas pembedahan;
- kejadian buruk enam bulan selepas pembedahan; dan
- kualiti hidup.

Kajian ini tidak menyiasat kesan rawatan terhadap:
- postur kepala;
- jumlah masa ketika mata tidak bergerak; atau
- masa yang diperlukan untuk mengenali objek.

Kami kurang yakin dengan bukti dari kajian yang kami temui, kerana:
- berdasarkan jumlah orang yang sangat sedikit; dan
- pesakit dan penyelidik dalam kajian itu mengetahui jenis pembedahan yang diterima oleh setiap pesakit. Pengetahuan ini mungkin mempengaruhi hasil kajian.

Oleh itu, kami tidak dapat menentukan sama ada dua prosedur yang diteliti dalam kajian ini mempunyai faedah dan risiko yang berbeza.

Apakah maksudnya?
Tidak ada bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada beberapa prosedur pembedahan adalah lebih baik daripada yang lain untuk INS. Kami memerlukan penyelidik untuk menjalankan kajian rawak terkawal pada masa depan, supaya kami dapat membandingkan prosedur yang berbeza. Ini akan membantu doktor, dan penghidap INS, untuk membuat keputusan rawatan berdasarkan bukti dari penyelidikan.

Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini hingga Julai 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save