Bimbingan keputusan untuk orang yang membuat keputusan penjagaan kesihatan

Latar belakang

Terdapat keperluan untuk lebih melibatkan orang yang membuat keputusan penjagaan kesihatan tentang rawatan (cth pembedahan) atau saringan (cth ujian untuk mengetahui sama ada terdapat masalah kesihatan). Keputusan berkualiti dibuat apabila orang ramai mengetahui bukti terbaik yang tersedia tentang pilihan dan boleh berkongsi perkara yang penting dengan penyedia penjagaan kesihatan mereka.

Bimbingan keputusan menyokong orang ramai untuk bersedia bagi membuat keputusan kesihatan. Ia disediakan oleh penyedia penjagaan kesihatan yang dilatih atau menggunakan protokol untuk bimbingan keputusan (cth jururawat, doktor, ahli farmasi, pekerja sosial, pekerja sokongan kesihatan seperti petugas kesihatan rakan sebaya).

Kami ingin mengetahui sama ada bimbingan keputusan membantu orang ramai membuat persediaan untuk membuat keputusan penjagaan kesihatan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami adalah sepasukan rakan kongsi pesakit, penyedia penjagaan kesihatan, guru dan penyelidik daripada tujuh negara.

Kami mencari kajian yang menguji bimbingan keputusan dengan orang (dewasa dan kanak-kanak) untuk menyediakan mereka untuk membuat keputusan penjagaan kesihatan tentang rawatan atau saringan untuk diri mereka sendiri atau ahli keluarga.

Kami menyertakan kajian sekiranya orang yang menerima bimbingan keputusan dimasukkan secara rawak ke dalam kumpulan kajian (cth menggunakan komputer untuk menentukan siapa yang menyertai kumpulan mana). Kajian di mana orang ramai disertakan secara rawak ke dalam kumpulan adalah cara terbaik untuk membandingkan penemuan antara kumpulan dan memberikan hasil yang boleh dipercayai apabila kami melihat kesan intervensi seperti bimbingan keputusan.

Strategi carian

Untuk menemui kajian, kami mencari lapan bank data atas talian. Kami bertanya kepada pakar dan pengarang kajian tentang bimbingan keputusan. Kami menyertakan kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2021.

Apakah yang kami temui

Kami menemui 28 kajian tentang bimbingan keputusan yang digunakan bersendirian atau sekali dengan maklumat pesakit yang berkualiti tinggi berdasarkan penyelidikan (dikenali 'maklumat berasaskan bukti'). Terdapat sejumlah 5509 orang dewasa dalam 28 kajian. Tiada kajian yang menyertakan kanak-kanak, dan hanya satu kajian menyertakan orang (ibu bapa) yang membuat keputusan untuk orang lain. Kajian itu menguji bimbingan keputusan dengan pelbagai keputusan penjagaan kesihatan seperti keputusan rawatan berkaitan kanser, menopaus, atau penyakit mental; keputusan saringan kanser, dan ujian genetik.

Beberapa kajian melihat bimbingan keputusan dengan, atau dibandingkan dengan, maklumat khusus penyakit atau maklumat berasaskan bukti seperti alat bantuan keputusan pesakit (buku kecil, video, alat atas talian yang: membuat keputusan yang jelas, menyediakan pilihan dan kebaikan dan keburukan, dan membantu orang ramai memahami perkara penting bagi mereka).

Apakah yang ditunjukkan oleh bukti?

Orang yang menerima bimbingan keputusan berbanding dengan maklumat berasaskan bukti sahaja:

- mungkin mempunyai sedikit atau tiada perubahan dalam pengetahuan (406 pesakit, 3 kajian);

- mungkin mempunyai sedikit atau tiada perubahan dalam kebimbangan (242 pesakit, 1 kajian).

Orang yang menerima bimbingan keputusan serta maklumat berasaskan bukti berbanding dengan penjagaan biasa:

- mungkin mempunyai peningkatan pengetahuan (1073 pesakit, 5 kajian)

Keyakinan kami terhadap keputusan

Kami mempunyai keyakinan yang rendah bahawa bimbingan keputusan beserta maklumat berasaskan bukti meningkatkan pengetahuan orang ramai berbanding penjagaan biasa. Kami mempunyai keyakinan yang rendah bahawa bimbingan keputusan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada pengetahuan dan kebimbangan berbanding dengan maklumat berasaskan bukti. Kami kurang yakin tentang penemuan kami yang lain, kerana kepastian bukti adalah sangat rendah dan terdapat hasil penting yang tidak dilaporkan oleh kajian yang disertakan. Banyak kajian mempunyai sedikit orang yang mengambil bahagian dan ini bermakna keputusan ulasan ini mungkin berubah dengan lebih banyak kajian.

Apakah maksudnya

Bimbingan keputusan mungkin meningkatkan pengetahuan orang ramai untuk membantu mereka untuk bersedia membuat keputusan penjagaan kesihatan apabila digunakan dengan maklumat berasaskan bukti. Ulasan ini tidak mengesan sebarang kesan buruk dengan penggunaan bimbingan keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information