Pendekatan untuk membantu penghidap COPD yang mempunyai satu atau lebih keadaan jangka panjang

Apakah COPD dan komorbiditi?

COPD merupakan keadaan biasa yang terutamanya disebabkan oleh merokok dan boleh mengakibatkan masalah pernafasan jangka panjang. Gejala-gejala termasuk sesak nafas, dan batuk dengan pengeluaran kahak disebabkan kerosakan saluran udara dan paru-paru. Individu dengan COPD mungkin mempunyai satu atau lebih keadaan jangka panjang (komorbiditi) seperti penyakit jantung, hipertensi, diabetes, asma dan kanser paru-paru yang boleh menyebabkan kesihatan yang teruk. Individu yang hidup dengan dua atau lebih komorbiditi juga dikenali sebagai hidup dengan pelbagai morbiditi.

Mengapa kami melakukan ulasan ini?

Oleh kerana ramai orang yang menghidap COPD hidup dengan pelbagai morbiditi, secara semula jadinya peserta kajian klinikal akan mempunyai pelbagai morbiditi. Namun, keputusan kajian tersebut biasanya tidak dilaporkan mengikut pecahan pelbagai morbiditi. Orang dengan komorbiditi mungkin perlu menyesuaikan intervensi untuk mengambil kira komorbiditi mereka — contohnya melakukan senaman dalam air dan bukannya di darat supaya badan mereka disokong dengan lebih baik. Dari segi sejarah, Ulasan Cochrane Airways tidak mengambil kira komorbiditi orang, dan ulasan ini ialah langkah pertama untuk menangani perkara ini. Kami memutuskan untuk menyelesaikan satu ulasan yang berpusat pada orang dengan COPD dan komorbiditi berikutan perjumpaan dengan kumpulan pesakit COPD kami, yang menunjukkan kebimbangan terhadap komorbiditi. Selepas beberapa pertimbangan, kami memutuskan untuk memasukkan dua jenis kajian berikut.

1. Sebarang intervensi tunggal untuk COPD yang disampaikan kepada orang dengan COPD disesuaikan atau menyasarkan komorbiditi mereka berbanding penjagaan rutin atau intervensi lain.

2. Sebarang intervensi yang bertujuan mengubah pengurusan orang dengan COPD dan komorbiditi, yang mungkin mudah (misalnya menjadualkan klinik COPD dan jantung pada hari yang sama) atau yang lebih kompleks (misalnya merancang pakej rawatan baru untuk pengurusan individu dengan COPD merentasi perkhidmatan kesihatan tempatan), berbanding dengan rawatan rutin.

Kami ingin mengetahui rawatan mana yang meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan eksaserbasi untuk orang yang hidup dengan COPD dan satu atau lebih komorbiditi.

Kami juga ingin mengetahui bagaimana perasaan orang dengan COPD, penjaga dan profesional kesihatan mengenai rawatan tersebut.

Apakah maklumat yang kami temui?

Kami menjalankan carian untuk kajian-kajian dalam Januari 2021. Kami menemui tujuh kajian rawak terkawal (RCTs) yang layak memasukkan 1197 peserta, dan satu kajian kualitatif yang merupakan sebahagian daripada salah satu kajian rawak dan memberikan maklumat mengenai pendapat dan pengalaman orang ramai menggunakan peralatan telekesihatan. Peserta yang dimasukkan dalam kajian berumur antara 64 dan 72 tahun, dan tahap keterukan COPD mereka adalah daripada ringan hingga sangat teruk. Kajian-kajian sama ada memasukkan orang dengan COPD dan komorbiditi tertentu seperti penyakit kardiovaskular atau kanser paru-paru, atau ia memasukkan orang dengan COPD dan satu atau lebih keadaan lain dalam apa jua bentuk.

Keputusan dan kesimpulan

Tiada bukti yang mencukupi tentang orang dengan COPD dan komorbiditi lain untuk membuat kesimpulan yang kukuh tentang intervensi disasarkan pada COPD yang disesuaikan untuk komorbiditi. Bukti yang ada menunjukkan perkara berikut:

- Kualiti hidup seperti yang diukur oleh jumlah markah Soal Selidik Pernafasan St George (SGRQ) mungkin bertambah baik dengan pemulihan paru-paru yang disesuaikan berbanding penjagaan biasa (perhatikan terdapat asas bukti yang kukuh untuk pemulihan paru-paru dalam individu dengan COPD).

- Pemulihan pulmonari berkemungkinan memperbaiki kualiti hidup seperti yang diukur oleh markah ujian penilaian COPD (CAT) berbanding penjagaan biasa pada 52 minggu dan dengan intervensi telekesihatan pelbagai komponen.

- Bukti tentang kesan pengoptimuman farmakoterapi atau intervensi telepemantauan pada peningkatan CAT berbanding penjagaan biasa adalah tidak pasti.

- Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang mengalami eksaserbasi, atau purata eksaserbasi dengan pengurusan kes berbanding penjagaan biasa.

- Untuk hasil sekunder, jarak yang dilalui oleh peserta dalam enam minit mungkin bertambah baik dengan pemulihan pulmonari, senaman berasaskan air atau intervensi pelbagai komponen. Intervensi pelbagai komponen mungkin menyebabkan kurang orang yang dimasukkan ke hospital, walaupun mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam intervensi telepemantauan.

- Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara intervensi dan penjagaan biasa untuk kematian dalam beberapa kajian.

- Satu kajian membandingkan senaman berasaskan air dengan senaman berasaskan darat. Kami tidak menemui bukti mengenai kualiti hidup atau eksaserbasi. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara senaman berasaskan air dan darat pada jarak yang dilalui oleh peserta dalam enam minit.

- Satu kajian kualitatif meneroka persepsi dan pengalaman orang dengan COPD dan keadaan jangka panjang, dan penyelidik dan profesional kesihatan yang terlibat dalam RCT peralatan telepemantauan. Beberapa tema telah dikenal pasti, termasuk status kesihatan, kepercayaan dan kebimbangan, kebolehpercayaan peralatan, keberkesanan kendiri, persepsi kemudahan penggunaan, faktor yang mempengaruhi kebergunaan dan persepsi kebergunaan, sikap dan niat, pengurusan diri dan perubahan dalam penggunaan penjagaan kesihatan.

Kajian yang lebih besar dengan lebih ramai orang dengan COPD dan komorbiditi boleh membantu untuk mengetahui sama ada pendekatan bersasar boleh memperbaiki kesihatan.

Kepastian maklumat

Secara keseluruhannya terdapat sangat sedikit kajian dan kebanyakannya adalah kecil. Ini bermaksud keputusan adalah berdasarkan sedikit maklumat. Kajian dengan intervensi berbeza dan orang yang berbeza atau lebih ramai mungkin memberikan keputusan yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information