Perencatan pembentukan saluran darah dalam kanser serviks yang lanjut

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui adakah ubat-ubatan yang mensasarkan faktor pertumbuhan endotelial vaskular (VEGF), yang menghalang pembentukan saluran darah baru, boleh meningkatkan kelangsungan hidup pada wanita dengan kanser serviks yang telah merebak ke tempat yang jauh (metastasis) atau belum bertindak balas atau kembali (berulang) selepas rawatan awal. Ubat-ubatan ini termasuklah bevacizumab, cediranib, apatinib, pazopanib, anlotinib, dan nintedanib.

Mesej utama
Bevacizumab dan kemoterapi boleh meningkatkan kelangsungan hidup dan mungkin meningkatkan kejadian buruk yang spesifik dan serius, termasuk penembusan gastrointestinal melalui dinding usus, pembentukan darah beku (kejadian tromboemboli) pada saluran darah, hipertensi (peningkatan tekanan darah), dan pendarahan.

Cediranib atau apatinib dan kemoterapi, atau pazopanib sahaja, boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup. Pazopanib dan lapatinib boleh mengurangkan kelangsungan hidup.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami menemui empat ujian terkawal secara rawak (RCT) yang memenuhi kriteria kemasukan kami dan mendaftarkan 808 wanita.

Kami menemui satu kajian, yang melibatkan 452 wanita, yang menilai penggunaan bevacizumab dan kemoterapi berbanding kemoterapi sahaja. Kemasukan bevacizumab dapat meningkatkan kelangsungan hidup secara keseluruhan dan mungkin meningkatkan kejadian buruk yang tertentu dan serius.

Kajian kedua menganalisis 69 wanita yang dirawat dengan cediranib dan kemoterapi berbanding kemoterapi sahaja. Cediranib dapat memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup, dan tidak dapat dipastikan sama ada ia meningkatkan kejadian buruk yang tertentu atau serius.

Satu lagi kajian dengan 59 wanita melaporkan data mengenai penggunaan apatinib dan kemoterapi atau kemoradioterapi (kemoterapi serentak dan radioterapi) berbanding kemoterapi atau kemoradioterapi sahaja. Apatinib mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup, tetapi ia menunjukkan keberkesanan yang berpotensi untuk kelangsungan hidup bebas dari perkembangan kanser.

Kami mendapati satu kajian dengan 228 wanita yang membandingkan pazopanib dan lapatinib berbanding lapatinib sahaja, atau pazopanib berbanding lapatinib: pazopanib dan lapatinib dapat mengurangkan kelangsungan hidup dan mungkin meningkatkan kejadian hipertensi; pazopanib sahaja boleh memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup dan mungkin meningkatkan kejadian hipertensi.

Secara keseluruhan kualiti (kepastian) bukti adalah rendah, kerana setiap perbandingan hanya menyertakan satu kajian dan kebanyakan kajian adalah kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information