Mesej utama
• Orang yang menerima pemindahan buah pinggang kerana kegagalan buah pinggang (keadaan di mana buah pinggang tidak lagi berfungsi dengan cukup baik untuk memastikan seseorang itu hidup) berisiko jangkitan. Ini kerana mereka perlu mengambil ubat yang kuat untuk melemahkan sistem imun badan (immunosupresan) bagi mengelak tubuh mereka melawan (menolak) buah pinggang baru tersebut. Ini menjadikan mereka berrisiko mendapat jangkitan, yang boleh mempengaruhi cara buah pinggang baharu berfungsi. Virus (virus BK) dengan gejala yang serupa dengan selesema biasa sering menjangkit di awal kehidupan dan kekal tidak aktif di dalam badan. Apabila sistem imun badan lemah, virus ini sekali lagi boleh menjadi aktif.
• Saringan intensif untuk jangkitan virus BK dalam darah atau kencing dan pengurangan awal dos imunosupresan mencegah kehilangan buah pinggang yang ditransplan dan mengurangkan jumlah virus BK dalam darah untuk 1 tahun. Keyakinan kami terhadap kesan intervensi lain adalah rendah, kebanyakannya membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap kehilangan buah pinggang yang dipindahkan, jumlah virus BK dalam darah, dan penyakit buah pinggang baharu yang dikaitkan dengan virus BK. Kesan sampingan kurang dilaporkan.
Apakah itu virus BK?
Virus BK mempunyai gejala seperti selesema biasa dan kebanyakan orang dijangkiti semasa zaman kanak-kanak. Sebaik sahaja seseorang itu mendapat jangkitan virus BK, virus itu akan kekal di dalam badan sepanjang hayat mereka dan biasanya kekal tidak aktif (seperti sedang tidur). Ia biasanya tidak menyebabkan masalah; walau bagaimanapun, bagi orang yang sistem imunnya (mekanisme badan untuk melawan sebarang benda asing) tidak berfungsi dengan baik, virus itu boleh bangun. Orang yang telah menerima pemindahan buah pinggang kerana kegagalan buah pinggang (keadaan di mana buah pinggang tidak lagi fungsi dengan baik untuk memastikan seseorang hidup) perlu mengambil ubat yang kuat untuk menghalang badan mereka daripada cuba melawan (atau menolak) buah pinggang baharu tersebut. Ubat-ubatan ini melemahkan sistem imun (imunosupresan), dan virus BK boleh sekali lagi menjadi aktif dan boleh menjejaskan buah pinggang baharu.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu jika intervensi yang bertujuan untuk mencegah jangkitan virus BK atau intervensi yang bertujuan untuk merawat jangkitan virus BK membantu mencegah kehilangan buah pinggang yang dipindahkan, mengurangkan jumlah virus BK dalam darah (viraemia), dan mencegah penyakit buah pinggang yang berkaitan dengan virus BK. Kami juga ingin tahu jika intervensi -intevensi tersebut berkait dengan sebarang kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari semua kajian yang melihat manfaat dan mudarat intervensi yang bertujuan sama ada mencegah atau merawat jangkitan virus BK. Kami membanding dan merumus keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 12 kajian melibatkan 2669 orang dengan pemindahan buah pinggang. Enam kajian dijalankan di pusat tunggal, dan enam adalah kajian di berbilang pusat; 2 daripadanya adalah kajian antarabangsa. Umur mereka yang mengambil bahagian adalah antara 44 hingga 57 tahun. Tempoh susulan adalah dalam julat 3 bulan hingga 5 tahun. Semua kajian menyertakan orang dengan pemindahan buah pinggang, dan 3 kajian menyertakan orang dengan tanda-tanda viraemia BK. Intervensi termasuk pemantauan yang sangat rapi (saringan intensif) untuk virus BK dalam darah dan kencing diikuti dengan perubahan awal kepada imunosupresan jika dikesan, menukar dos atau jenis imunosupresan yang digunakan sebaik sahaja virus BK dikesan, dan antibiotik (fluoroquinolones) untuk mencegah dan merawat BK viraemia.
Saringan intensif untuk jangkitan virus BK dikuti dengan pengurangan awal dos imunosupresan menghalang kehilangan buah pinggang yang dipindahkan dan mengurangkan amaun virus BK dalam darah pada 1 tahun. Kesan intervensi-intervensi lain adalah berbeza, dengan kebanyakannya membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kehilangan buah pinggang yang dipindahkan, viraemia BK dan penyakit buah pinggang yang dikaitkan dengan virus BK. Kesan sampingan kurang dilaporkan.
Apakah batasan bukti?
Kami yakin saringan intensif virus BK mencegah kehilangan buah pinggang yang dipindahkan dan membantu mengurangkan amaun virus BK dalam darah. Keyakinan kami terhadap hasil intervensi lain adalah rendah hingga sangat rendah kerana bilangan kajian yang kecil (setiap perbandingan) dan saiz kajian-kajian yang kecil. Tidak semua kajian memberi data untuk hasil yang kami minati atau dilapor dengan cara yang kami tidak dapat analisis.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 5 September 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Univesiti Manipal Malaysia).