Diseksi lanjutan nodus limfa berbanding diseksi standard bagi pesakit kanser pundi kencing yang menjalani pembuangan pundi kencing

Soalan ulasan

Apabila membuang seluruh pundi kencing bagi kanser pundi kencing, bagaimana pengeluaran nodus limfa dari satu kawasan besar (pembedahan nodus limfa lanjutan) berbanding dengan hanya pengeluaran nodus limfa dari kawasan yang lebih kecil (pembedahan nodus limfa standard)?

Latar belakang

Orang dengan kanser pundi kencing yang teruk dan merebak ke dalam lapisan otot yang dalam (tetapi bukan di luar pundi kencing) sering menjalani operasi untuk mengeluarkan keseluruhan pundi kencing. Sebahagian daripada operasi ini, pakar bedah mengeluarkan nodus limfa di bahagian badan terebut, yang merupakan sebahagian penting sistem imun. Secara tradisional, hanya nodus limfa yang berdekatan dengan pundi kencing dan saluran darah utama dapat dikeluarkan. Ini dipanggil deseksi nodus limfa standard yang membuang nodus limfa setinggi di mana saluran darah utama untuk pelvis dan kaki berpecah. Sesetengah orang berpendapat mengeluarkan nodus limfa lebih jauh dari pundi kencing adalah lebih baik dalam menghapuskan kanser. Ini dipanggil diseksi nodus limfa lanjutan. Ia mengeluarkan nodus limfa setinggi paras salur darah besar yang membekalkan bahagian bawah usus. Kami tidak tahu sama ada ini sebenarnya membantu orang hidup lebih lama dan tidak mati akibat kanser pundi kencing dan bagaimanakah kesan-kesan yang tidak diingini dapat dibandingkan.

Ciri-ciri kajian

Kami hanya memasukkan kajian-kajian yang mana orang berpeluang mendapat pembedahan nodus limfa standard atau lanjutan yang dilaporkan di dalam kesusasteraan sehingga 29 April 2019.

Keputusan utama

Kami mendapati hanya satu kajian yang menjawab soalan ulasan kami. Kajian ini dilakukan di 16 hospital besar di Jerman dan mermasukkan 401 lelaki dan wanita dengan kanser pundi kencing.

Kami mendapati bahawa pembedahan nodus limfa lanjutan boleh membuat seseorang kurang cenderung untuk mati atas apa-apa sebab atau mati akibat kanser pundi kencing dari masa ke masa, walaupun keyakinan kami terhadap hasil ini adalah terhad.

Kami tidak pasti sama ada diseksi nodus lanjutan boleh menyebabkan kesan tidak diingini yang lebih serius berbanding diseksi nodus limfa standard.

Kami juga tidak pasti sama ada diseksi nodus lanjutan boleh menjadikan kanser tidak mungkin berulang dan menyebabkan risiko kesan sampingan tidak serius yang sama apabila dibandingkan dengan diseksi nodus limfa standard.

Kepastian bukti

Kepastian bukti penemuan-penemuan ini adalah rendah atau sangat rendah, bermaksud hasil sebenar mungkin sangat berbeza dari apa yang didapati di dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information
Share/Save