Diet karbohidrat rendah atau diet karbohidrat seimbang: yang manakah lebih berkesan untuk menurunkan berat dan risiko penyakit jantung?

Mesej utama

• Kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam penurunan berat oleh orang yang mengamalkan diet pengurangan berat karbohidrat rendah (juga dikenali sebagai ‘diet karbohidrat rendah’) berbanding penurunan berat oleh orang yang mengamalkan diet penurunan berat karbohidrat seimbang sehingga dua tahun.

• Demikian juga, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua diet tersebut untuk perubahan risiko penyakit jantung, seperti tekanan darah diastolik, hemoglobin terglikosilasi (HbA1c, suatu ukuran paras gula darah dalam tempoh 2-3 bulan) dan kolesterol LDL (kolesterol 'tidak sihat') sehingga dua tahun.

• Ini berlaku dalam kalangan orang dengan dan tiada diabetes jenis 2.

Apakah diet karbohidrat rendah dan diet karbohidrat seimbang untuk penurunan berat?

Orang membelanjakan banyak wang untuk menurunkan berat menggunakan diet, produk, makanan dan buku-buku, dan debat berterusan tentang diet mana yang berkesan dan selamat. Oleh itu, menilai bukti saintifik di sebalik dakwaan yang dibuat adalah penting. Diet karbohidrat rendah ialah kategori luas diet pengurangan berat yang memanipulasi dan mengehad karbohidrat, protein dan lemak dalam diet. Tiada definisi konsisten yang meluas diterima bagi diet-diet ini dan pelbagai huraian diguna (seperti 'rendah karbohidrat, tinggi protein', 'rendah karbohidrat, tinggi lemak' atau 'sangat rendah karbohidrat').

Diet karbohidrat rendah dilaksanakan dengan pelbagai cara, tetapi ia mengehadkan bijian, bijirin dan kekacang, serta makanan lain yang mengandungi karbohidrat; seperti tenusu, kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran tertentu. Makanan-makanan ini biasanya digantikan dengan makanan yang lebih tinggi lemak dan protein; seperti daging, telur, keju, mentega, krim, minyak. Sesetengah diet karbohidrat rendah mengesyorkan memakan apabila perlu manakala yang lain mengesyor untuk mengehadkan jumlah tenaga yang dimakan.

Diet karbohidrat seimbang mengandungi jumlah karbohidrat, protein dan lemak yang lebih sederhana, selaras dengan nasihat pemakanan sihat semasa daripada pihak berkuasa kesihatan. Apabila diguna untuk mengurangkan berat, diet seimbang mengesyorkan mengehadkan jumlah tenaga yang dimakan dengan membimbing orang untuk mengurangkan saiz bahagian mereka dan memilih makanan yang lebih sihat (contohnya daging tanpa lemak dan bukan daging berlemak).

Diet pengurangan berat karbohidrat rendah dipromosi secara meluas, dipasarkan dan dikomersialkan sebagai lebih berkesan untuk penurunan berat serta lebih sihat, daripada diet pengurangan berat karbohidrat ‘seimbang’.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada diet penurunan berat badan karbohidrat rendah lebih baik untuk mengurangkan berat dan faktor risiko penyakit jantung berbanding diet penurunan berat karbohidrat seimbang dalam kalangan orang dewasa yang berlebihan berat badan atau hidup dengan obesiti.

Kami ingin tahu perkara ini untuk orang dengan dan tanpa diabetes jenis 2.

Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari enam pangkalan data elektronik dan pendaftaran kajian untuk semua kajian* yang membandingkan diet pengurangan berat karbohidrat rendah dengan diet pengurangan berat karbohidrat seimbang dalam kalangan dewasa yang berlebihan berat badan atau hidup dengan obesiti. Kajian-kajian perlu berlangsung sekurang-kurangnya tiga bulan. Kami membanding dan merumuskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti gabungan, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

*Kajian ialah di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan. Ini adalah cara terbaik untuk pastikan kumpulan peserta yang serupa.

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui 61 kajian melibatkan 6925 orang dengan berat badan berlebihan atau hidup dengan obesiti. Kajian terbesar adalah dalam kalangan 419 orang dan yang paling kecil adalah dalam kalangan 20 orang. Semua kajian kecuali satu telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi di seluruh dunia, dan hampir separuh telah dijalankan di AS (26). Kebanyakan kajian (36) dijalankan dalam kalangan orang tanpa penyakit jantung atau faktor risiko. Kebanyakan orang (5118 orang) tiada diabetes jenis 2. Purata berat permulaan mereka adalah 95kg. Kebanyakan kajian (37) berlangsung selama enam bulan atau kurang; dan kajian paling lama (6) berlangsung selama dua tahun.

Keputusan utama

Diet penurunan berat karbohidrat rendah mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam penurunan berat untuk jangka pendek (kajian yang berlangsung 3 hingga 8.5 bulan) dan jangka panjang (kajian yang berlangsung selama satu hingga dua tahun) berbanding diet penurunan berat karbohidrat seimbang dalam kalangan orang dengan dan tanpa diabetes jenis 2. Dalam jangka pendek, purata perbezaan dalam penurunan berat adalah kira-kira 1kg dan dalam jangka panjang, perbezaan purata adalah kurang daripada 1kg.

Didapati berat menurun dengan kedua-dua diet dalam beberapa kajian. Jumlah purata penurunan berat sangat berbeza dengan kedua-dua diet merentasi kajian iaitu kurang daripada 1kg dalam beberapa kajian hingga 12kg dalam kajian-kajian jangka pendek dan jangka panjang.

Demikian juga, diet penurunan berat karbohidrat rendah mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tekanan darah diastolik, hemoglobin terglikosilasi (HbA1c) dan kolesterol LDL (kolesterol 'tidak sihat') sehingga dua tahun.

Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kesan yang tidak diingini yang dilapor oleh peserta kerana sangat sedikit kajian melaporkannya.

Apa batasan bukti tersebut?

Kami sederhana yakin dengan bukti tersebut. Keyakinan kami diturunkan terutama kerana kebimbangan tentang cara beberapa kajian dijalankan, termasuk kebanyakan kajian tidak melaporkan semua keputusan mereka. Penyelidikan lanjutan mungkin mengubah keputusan ini.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disuntiing oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information