Adakah program senaman anggota atas berfungsi untuk pematangan fistula arteriovena pada orang yang mengalami kegagalan buah pinggang?

Apakah isunya?

Fistula arteriovena (AVF) ialah sambungan khas yang dibuat antara arteri dan vena, yang mewujudkan saluran darah yang kuat yang kemudiannya boleh diakses berulang kali semasa rawatan hemodialisis. Sebaik sahaja dibuat, ia biasanya mengambil masa selama enam hingga lapan minggu untuk berkembang (atau matang) sebelum ia boleh digunakan. Kematangan mengakibatkan vena yang bercantum menjadi lebih besar dan dindingnya menjadi lebih tebal dan kuat akibat aliran darah yang meningkat. Program senaman boleh manambahbaik masa yang diambil untuk mematangkan kedua-dua AVF dan fungsinya, walau bagaimanapun, jenis program senaman dan bila program senaman harus dijalankan (sebelum atau selepas pewujudan AVF) masih tidak jelas.

Apakah yang telah pengulas lakukan?

Pengulas mencari literatur untuk mendapatkan kajian yang menerangkan penggunaan senaman anggota untuk pada pematangan AVF pada orang yang mengalami kegagalan buah pinggang. Pengulas mengumpul maklumat daripada kajian-kajian dan menggabungkannya untuk mengenalpasti sama ada intervensi tersebut membantu. Pengulas meneliti kualiti intervensi tersebut untuk menilai sejauh mana mereka yakin bahawa kesan yang mereka perhatikan boleh dipercayai.

Apakah yang telah pengulas temui?

Pengulas menjumpai sembilan kajian yang melibatkan seramai 579 pesakit; dua kajian melihat kepada pelakuan senaman sebelum AVF dibuat, dan tujuh kajian melihat kepada pelakuan senaman selepas kewujudan AVF. Malangnya, hanya tujuh kajian yang melibatkan pelakuan senaman selepas kewujudan AVF boleh dianalisis. Jenis program senaman yang digunakan ialah isotonik (senaman yang meletakkan jumlah berat yang tetap pada otot anda semasa menggerakkan sendi anda) dan isometrik (penguncupan otot tanpa sebarang pergerakan pada sendi sekeliling).

Senaman isotonik boleh meningkatkan kematangan ultrasound berbanding tanpa intervensi, manakala senaman isometrik boleh meningkatkan kedua-dua kematangan ultrasound dan klinikal berbanding dengan senaman isotonik. Senaman isometrik juga boleh meningkatkan saiz vena dan aliran darah arteri berbanding senaman isotonik. Tiada kajian yang disertakan melaporkan kejadian buruk.

Keyakinan adalah rendah terhadap maklumat tentang kesan intervensi kerana beberapa kajian adalah kecil dan jenis intervensi yang berbeza-beza.

Kesimpulan

Penemuan oleh pengulas ini mencadangkan bahawa bukti penyelidikan semasa yang memeriksa program senaman anggota atas adalah berkualiti rendah, disebabkan oleh kepelbagaian dalam jenis intervensi yang digunakan dan bilangan keseluruhan peserta yang sedikit.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Ahmad Filza (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information