Strategi yang pelbagai untuk mencegah penyakit altitud tinggi

Latar belakang

Istilah penyakit altitud tinggi (HAI) digunakan untuk menggambarkan beberapa perkara yang berlaku pada otak dan paru-paru apabila seseorang mendaki pada ketinggian melebihi 2500 meter (kira-kira 8200 kaki). Setiap individu bertindak balas terhadap ketinggian yang tinggi dengan cara yang berbeza dan mengalami gejala yang pelbagai. Gejala-gejala ini termasuk sakit kepala, mual, muntah dan keletihan yang berkaitan dengan HAI, yang sering dipanggil sebagai penyakit gunung akut. Mengantuk, kekeliruan atau pengsan boleh berlaku apabila bahagian otak terjejas (edema serebral altitud tinggi atau HACE), dan batuk atau sesak nafas pula jika paru-paru yang terjejas (edema paru-paru altitud tinggi atau HAPE). Beberapa strategi yang berbeza telah digunakan untuk mencegah HAI. Dalam kajian ini, kami menilai bukti dari percubaan rawak terkawal tentang sama ada kaedah yang pelbagai dapat mencegah terjadinya penyakit altitud tinggi, dengan menumpukan kepada pendekatan yang bukan menggunakan ubatan, herba dan juga makanan tambahan semulajadi.

Ciri-ciri ulasan

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2019. Kami telah menyertakan 20 kajian rawak terkawal yang melibatkan 1406 peserta. Kajian-kajian ini meneliti pelbagai pendekatan untuk pencegahan HAI. Pendekatan ini termasuk strategi untuk menyesuaikan diri dengan altitud yang tinggi dengan meniru pendakian yang cepat dengan mengurangkan tahap oksigen di udara semasa peserta bernafas, dan produk herba atau vitamin yang tersedia tanpa preskripsi.

Para peserta berumur antara 17 dan 65 tahun. Hanya satu kajian yang melibatkan orang yang berisiko tinggi untuk mengalami HAI kerana sejarah mendapat HAI. Empat kajian menyediakan intervensi antara satu hingga tiga hari sebelum membuat pendakian (20% daripada kajian tersebut), dan lapan kajian antara empat hingga 30 hari sebelum pendakian (40% daripada kajian tersebut). Peserta dalam semua kajian ini mencapai altitud akhir antara 3500 dan 5500 meter di atas paras laut. Kebanyakan daripada kajian tidak menyediakan maklumat yang jelas mengenai bagaimana mereka dibiayai (55% daripada kajian). Tiga puluh kajian tambahan telah diklasifikasikan sebagai sedang dalam proses (14 kajian), atau menunggu klasifikasi (16 kajian), dan mereka akan dipertimbangkan dalam versi akan datang dari tiga kajian ini mengikut kesesuaian.

Keputusan utama

Bukti tentang manfaat dari pelbagai strategi adalah tidak meyakinkan, dan juga bercanggah antara kajian-kajian yang terlibat.

Dalam tiga kajian yang membandingkan tahap oksigen yang normal dengan tahap oksigen yang rendah sebagai cara penyesuaian sebelum pergi ke altitud yang tinggi, kami mendapati tiadanya perbezaan dalam risiko mengalami penyakit gunung akut (3 percubaan, 140 peserta, bukti berkualiti rendah). Kejadian buruk tidak dilaporkan, begitu juga edema serebral altitud tinggi (HACE) atau edema paru-paru altitud tinggi (HAPE).

Ginkgo biloba dibandingkan dengan mengambil plasebo tidak aktif dalam tujuh kajian (523 peserta) untuk kajian penyakit gunung akut. Tiada perbezaan antara ginkgo biloba dan plasebo dari segi risiko mendapat HACE (3 kajian, 371 peserta), atau risiko untuk mengalami gejala kebas atau rasa mencucuk, yang sering disebut sebagai 'pin dan jarum', sebagai kesan sampingan rawatan (2 kajian, 352 peserta). Tiada kejadian HAPE dilaporkan (3 kajian, 371 peserta).

Ginkgo biloba dibandingkan dengan acetazolamide, iaitu ubat yang digunakan untuk mencegah penyakit gunung akut, dalam empat kajian (397 peserta). Penemuan antara kajian adalah berbeza, dan tidak ada kesimpulan yang boleh dibuat. Acetazolamide meningkatkan risiko mengalami gejala ‘pin dan jarum’ dalam dua kajian (354 peserta). TIada kejadian HAPE atau HACE yang dilaporkan. Secara keseluruhannya, maklumat yang terhad mengenai keselamatan pelbagai intervensi bermakna keselamatan mereka tetap tidak jelas.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah. Kami tidak dapat memperoleh laporan teks penuh mengenai beberapa kajian yang telah kami kenal pasti, yang mana telah membatasi bilangan kajian yang terlibat dalam ulasan ini. Kebanyakan daripada kajian-kajian tersebut mempunyai bilangan peserta yang kecil; dan untuk beberapa hasil lagi hanya sedikit kejadian berlaku maka penemuan tersebut adalah tidak pasti. Penyelidikan tambahan diperlukan untuk menjelaskan keberkesanan dan keselamatan pelbagai strategi untuk mengurangkan HAI.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

Tools
Information
Share/Save