Apakah cara terbaik menggunakan terapi penggantian nikotin untuk berhenti merokok?

Mesej utama

Menggunakan gabungan tampalan nikotin bersama dengan jenis terapi gantian nikotin (NRT) lain (seperti gulu-gula getah atau lozeng) lebih berkemungkinan membantu orang berhenti merokok berbanding jika mereka menggunakan satu jenis NRT sahaja. Kami juga mendapati orang yang merokok berpeluang yang sama untuk berjaya berhenti merokok sama ada mereka menggunakan tampalan nikotin atau NRT jenis lain seperti gula-gula getah, lozeng atau semburan hidung.

Lebih banyak kajian berkualiti tinggi tentang pelbagai dos tampalan NRT, tempoh penggunaan NRT, jenis NRT bertindak pantas dan penggunaan NRT sebelum hari berhenti diperlukan untuk mengetahui rawatan yang paling berkesan bagi membantu orang berhenti merokok. Kajian-kajian ini harus melaporkan hasil keselamatan dan penarikan diri akibat rawatan.

Apakah terapi penggantian nikotin?

Terapi penggantian nikotin (NRT) adalah ubat yang menyampaikan nikotin ke otak. Ia boleh didapati sebagai tampalan di kulit, gula-gula getah, semburan hidung dan mulut, penyedut, lozeng dan tablet. Tujuan NRT adalah untuk mengganti nikotin yang terdapat di dalam rokok, supaya keinginan untuk merokok dikurangkan dan mereka boleh berhenti merokok sama sekali. Kami tahu NRT memperbaik peluang seseorang untuk berhenti merokok, dan orang menggunakannya untuk berhenti merokok.

Apa yang kami ingin tahu?

NRT boleh diambil dalam pelbagai bentuk, dan dos yang berbeza untuk tempoh masa yang berbeza-beza. Sesetengah orang mula menggunakan NRT sebelum mereka berhenti, manakala orang lain menunggu sehingga hari berhenti. Ulasan ini melihat kepada pelbagai bentuk, dos, tempoh dan jadual NRT yang diguna untuk membantu orang berhenti merokok, agar kami dapat memahami lebih baik yang mana antaranya paling berkesan untuk membantu orang berhenti merokok selama enam bulan atau lebih lama. Kami juga ingin tahu jika sebarang rawatan ini dikaitkan dengan jantung (berkaitan dengan jantung) atau kesan tidak diingini yang serius, dan jika sesiapa berhenti mengambil bahagian dalam kajian akibat rawatan NRT yang dinasihatkan untuk diguna.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat penggunaan NRT untuk membantu orang berhenti merokok dan yang menyusul orang selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Apa yang kami temui

Kami mendapati 68 kajian yang telah selesai dijalankan dalam kalangan 43,327 peserta. Kebanyakan peserta adalah orang dewasa yang ingin berhenti merokok.

Keputusan utama

Orang yang merokok berpeluang yang sama untuk berjaya berhenti merokok sama ada mereka menggunakan tampalan nikotin atau NRT jenis lain seperti gula-gula getah, lozeng atau semburan hidung. Menggunakan tampalan nikotin bersama sejenis lagi NRT (seperti gula-gula getah atau lozeng) membolehkan 17% hingga 37% lebih cenderung untuk berjaya berhenti merokok, berbanding penggunaan sejenis NRT sahaja.

Orang yang menggunakan tampalan nikotin dos lebih tinggi (tampalan 25 mg yang dipakai selama 16 jam, atau tampalan 21 mg yang dipakai selama 24 jam) lebih berkemungkinan untuk berhenti merokok berbanding mereka yang menggunakan tampalan dos yang lebih rendah (tampalan 15 mg yang dipakai selama 16 jam atau 14 mg yang dipakai selama 24 jam). Walau bagaimanapun, tiada sebarang bukti jelas untuk mencadangkan orang yang menggunakan tampalan 42 mg atau 44 mg lebih berkemungkinan untuk berhenti daripada orang yang menggunakan tampalan 21 mg atau 22 mg (24 jam).

Menggunakan NRT sehari sebelum hari berhenti merokok dan sehari selepas hari berhenti merokok mungkin membantu lebih ramai orang untuk berhenti berbanding hanya menggunakannya selepas berhenti merokok, namun lebih bukti diperlukan untuk mengukuhkan kesimpulan ini.

Kami juga melihat berapa lama NRT patut digunakan, sama ada NRT patut diguna secara berjadual atau apabila dikehendaki, dan sama ada lebih ramai orang berhenti merokok apabila NRT diberi percuma berbanding jika mereka perlu membayar untuknya. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk menjawab soalan-soalan tersebut.

Kebanyakan kajian tidak melihat keselamatan NRT. Apabila kajian-kajian melihat aspek keselamatan, mereka mendapati sangat sedikit orang yang mengalami kesan negatif NRT.

Sejauh mana keputusan ini boleh dipercayai?

Terdapat bukti kepastian tinggi bahawa:

- kombinasi NRT berfungsi lebih baik daripada satu bentuk NRT; dan 
- tiada perbezaan kesan antara pelbagai jenis NRT (seperti gula-gula getah atau tampalan).

Ini bermakna penyelidikan masa depan tidak mungkin mengubah kesimpulan kami. Ini kerana bukti adalah berdasarkan ramai peserta dan kajian-kajian dijalankan dengan baik.

Walau bagaimanapun, kepastian bukti adalah sederhana, rendah atau sangat rendah untuk semua soalan lain yang kami pertimbangkan. Ini bermakna penemuan kami mungkin berubah apabila penyelidikan baru dijalankan. Dalam kebanyakan kes ini adalah kerana bilangan kajian tidak mencukupi,reka bentuk kajian sedia ada bermasalah, dan kajian-kajian tersebut terlalu kecil.

Dari segi keselamatan pelbagai cara menggunakan NRT, kami menilai bukti untuk hasil ini sebagai kepastian rendah atau sangat rendah kerana banyak kajian tidak melaporkan tentang keselamatan. Kajian-kajian besar dalam ulasan berasingan menunjukkan bukti kepastian tinggi NRT selamat digunakan untuk berhenti merokok.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga hingga April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information