Latar belakang
Terapi penggantian nikotin (NRT) merupakan ubatan sedia ada sebagai tampalan kepada kulit, gula-gula getah, semburan hidung dan oral, inhaler, lozeng dan tablet yang menghantar nikotin ke otak. Tujuan NRT adalah untuk mengganti nikotin yang terdapat di dalam rokok, supaya keinginan untuk merokok dikurangkan dan mereka boleh berhenti merokok sama sekali. Kami tahu bahawa NRT meningkatkan peluang seseorang untuk berhenti merokok, dan orang menggunakannya untuk berhenti merokok. Ulasan ini melihat pelbagai cara menggunakan NRT untuk berhenti merokok. dan cara mana paling berkesan untuk berhenti merokok untuk enam bulan atau lebih lama.
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini memasukkan 63 kajian dengan 41,509 peserta. Semua kajian dijalankan dalam kalangan orang yang ingin berhenti merokok, dan kebanyakannya dijalankan dalam kalangan dewasa. Orang-orang yang menyertai kajian-kajian tersebut biasanya merokok sekurang-kurangnya 15 batang rokok sehari pada permulaan kajian. Kajian-kajian berlangsung untuk sekurang-kurangnya enam bulan. Bukti ini adalah terkini sehingga April 2018.
Keputusan utama
Menggunakan tampalan nikotin bersama sejenis lagi NRT (seperti gula-gula getah atau lozeng) membolehkan 15% ke 36% lebih cenderung untuk berjaya berhenti merokok, berbanding dengan penggunaan sejenis NRT sahaja. Orang juga lebih cenderung untuk berjaya berhenti merokok jika mereka menggunakan tampalan nikoti dos lebih tinggi (mengandungi nikotin 25mg (dipakai selama 16 jam) atau 21 mg (dipakai selama 24 jam) berbanding 15 mg (dipakai selama 16 jam) atau 14 mg nikotin (dipakai selama 24 jam)) atau gula-gula getah nikotin dos lebih tinggi (mengandungi 4 mg nikotin berbanding 2 mg nikotin). Menggunakan NRT sehari sebelum hari berhenti merokok dan sehari selepas hari berhenti merokok mungkin membantu lebih ramai orang untuk berhenti berbanding hanya menggunakannya selepas berhenti merokok, namun lebih bukti diperlukan untuk mengukuhkan kesimpulan ini. Walau bagaimanapun, orang yang merokok mempunyai peluang yang sama untuk berjaya berhenti merokok sama ada mereka menggunakan tampalan nikotin atau NRT jenis lain seperti gula-gula getah, lozeng atau semburan hidung.
Kami juga melihat berapa lama NRT patut digunakan, sama ada NRT patut digunakan secara berjadual atau apabila dikehendaki, dan sama ada lebih ramai orang berhenti merokok apabila NRT diberi percuma berbanding jika mereka perlu membayar untuknya. Walau bagaimanapun, penyelidikan lanjut diperlukan untuk menjawab soalan-soalan tersebut.
Kebanyakan kajian tidak melihat aspek keselamatan. Apabila kajian-kajian melihat aspek keselamatan, sangat sedikit orang yang mengalami kesan negatif NRT. Bukti daripada ulasan lain menunjukkan NRT adalah ubatan yang selamat.
Kualiti bukti
Terdapat bukti kepastian tinggi bahawa NRT gabungan adalah lebih berkesan daripada sejenis NRT, bahawa gula-gula getah nikotin lebih tinggi adalah lebih berkesan berbanding gula-gula getah berdos lebih rendah, dan tiada perbezaan di antara pelbagai jenis NRT (seperti gula-gula getah atau lozeng). Ini bermakna penyelidikan masa depan tidak mungkin mengubah kesimpulan kami. Ini adalah kerana bukti kami adalah berdasarkan jumlah peserta yang banyak, dan kajian-kajian tersebut dijalankan dengan baik. Walau bagaimanapun, kualiti bukti adalah sederhana, rendah atau sangat rendah untuk semua soalan lain yang kami kaji. Ini bermakna penemuan kami mungkin berubah apabila penyelidikan yang lebih baharu dijalankan. Dalam kebanyakan kes ini adalah kerana bilangan kajian tidah mencukupi,reka bentuk kajian sedia ada bermasalah, dan kajian-kajian tersebut terlalu kecil. Kami menilai semua bukti mengenai keselamatan pelbagai keadah penggunaan NRT sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah, kerana kebanyakan kajian tersebut tidak melaporkan keselamatan penggunaannya.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.