Ubat-ubatan untuk merawat individu dengan demensia vaskular dan gangguan kognitif vaskular lain

Soalan ulasan

Apakah bukti untuk inhibitor kolinesterase (ubat-ubatan yang digunakan untuk meningkatkan ingatan dan pemikiran pada individu yang mempunyai demensia), apabila digunakan pada individu yang mempunyai vaskular demensia?

Latar belakang

Demensia vaskular (atau gangguan kognitif vaskular) ialah istilah yang digunakan apabila seseorang mempunyai masalah dengan ingatan dan pemikiran yang disebabkan oleh gangguan bekalan darah. Terdapat sedikit rawatan ubat untuk demensia vaskular.

Dalam ulasan ini, kami telah menilai tiga jenis ubat daripada keluarga inhibitor kolinesterase, iaitu donepezil, rivastigmine, dan galantamine. Ubat-ubatan ini banyak digunakan dalam demensia Alzheimer tetapi ia juga mungkin bermanfaat kepada individu dengan demensia vaskular. Ulasan sebelumnya mengenai ubat inhibitor kolinesterase tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh untuk individu dengan demensia vaskular.

Tujuan ulasan

Kami ingin mengetahui sama ada inhibitor kolinesterase bermanfaat untuk individu dengan demensia vaskular. Kami berminat dalam keberkesanan ubat-ubatan ini terhadap ingatan, pemikiran, dan fungsi harian. Kami ingin mengetahui sebarang bahaya yang berkaitan dengan ubat-ubatan ini.

Memandangkan masa telah berlalu sejak ulasan sebelumnya, kami ingin memperbaruinya dengan mencari kajian baru. Kami telah menggabungkan tiga ulasan sebelum ini mengenai donepezil, rivastigmine dan galantamine menjadi satu ulasan.

Apa yang kami lakukan

Kami mencari kajian-kajian yang menerangkan keberkesanan donepezil, rivastigmine dan galantamine untuk individu dengan demensia vaskular. Kami telah mencari pangkalan data kajian saintifik serta berhubung dengan pengeluar ubat dan pakar-pakar dalam bidang demensia vaskular. Carian kami adalah terkini sehingga 19 Ogos 2020.

Untuk dimasukkan dalam ulasan kami, kajian-kajian perlu menetapkan individu dengan vaskular demensia secara rawak kepada rawatan dengan inhibitor kolinesterase, atau pil dummy (plasebo) dan membandingkan kedua-dua kumpulan. Kajian yang membandingkan satu inhibitor kolinesterase dengan yang lain juga dimasukkan. Kami menggabungkan semua hasil kajian untuk setiap ubat untuk menganggar keberkesanan dan kemungkinan ubat-ubat tersebut menyebabkan kesan sampingan. Kami juga menilai sebaik mana kajian dilakukan dan sejauh mana keputusannya dapat dipercayai.

Kami tidak ada mencari kajian yang membandingkan inhibitor kolinesterase yang berbeza antara satu sama lain. Untuk melihat sama ada ubat inhibitor kolinesterase yang berbeza akan memberikan kesan yang berbeza, kami menggunakan teknik dipanggil sebagai meta-analisis rangkaian, yang dapat memberikan idea tentang prestasi ubat-ubatan jika dibandingkan sesama mereka.

Apa yang telah kami temui

Kami menemui 8 kajian termasuk sejumlah 4373 individu dengan demensia vaskular (atau gangguan kognitif vaskular). Kajian tersebut telah menguji ubat donepezil dengan dua dos berbeza (5mg dan 10mg sehari), antara satu sama lain serta terhadap plasebo. Rivastigmine dan galantamine telah diuji hanya dengan plasebo. Rivastigmine tersedia sebagai ubat tampalan kulit, tetapi kajiannya hanya diuji dalam versi pil. Semua lapan kajian menilai peserta apabila mereka baru mula menerima ubat atau plasebo dan sekali lagi selepas enam bulan. Ujian berlainan telah digunakan untuk menilai keberkesanan. Semua kajian menyertakan ujian ingatan, pemikiran dan melaporkan kesan-kesan sampingan.

Individu yang menerima donepezil atau galantamine mempunyai skor yang lebih baik dalam ujian ingatan dan pemikiran berbanding dengan individu yang menerima plasebo, namun manfaatnya adalah sederhana dan mungkin tidak cukup besar untuk dilihat dalam kehidupan seharian. Tidak ada bukti yang menunjukkan perbezaan untuk rivastigmine, tetapi bukti ini adalah kurang pasti, dan dos yang diterima oleh sebahagian peserta mungkin terlalu rendah untuk menunjukkan kesan. Kami menjumpai bukti bahawa apabila dibandingkan dengan plasebo, kesan-kesan sampingan seperti mual dan cirit-birit, adalah lebih kerap berlaku dalam individu yang menerima donepezil 10mg dan galantamine, tetapi mungkin bukan donepezil 5mg. Kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang kesan-kesan sampingan rivastigmine daripada kajian-kajian tersebut.

Tidak ada kajian demensia vaskular yang membandingkan inhibitor kolinesterase yang berbeza antara satu sama lain. Menggunakan maklumat dari kajian-kajian individu, kami membuat penilaian secara tidak langsung tentang prestasi ubat-ubatan jika diuji secara langsung. Keputusan menunjukkan bahawa donepezil 10 mg mempunyai kesan terbesar pada ingatan dan pemikiran, tetapi menyebabkan lebih banyak kesan sampingan berbanding donepezil 5 mg atau galantamine.

Terdapat hanya sedikit kajian untuk setiap ubat. Kepastian keputusan adalah berbeza antara ubat dan hasil kajian, dari berkepastian tinggi hingga sangat rendah. Kajian-kajian menunjukkan hanya terdapat sedikit faedah; namun, sekiranya tiada rawatan yang lain, individu yang menderita dengan demensia mungkin ingin mempertimbangkan penggunaan ubat-ubatan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save