Mesej utama
- Penerokaan penuh sama ada wujud perbezaan antara wanita dan lelaki migran dalam cara mereka mengakses, memahami, menilai dan menggunakan maklumat kesihatan tidak dapat dilakukan, terutamanya disebabkan oleh terdapat sangat sedikit penyelidikan dengan lelaki migran.
- Tiga kajian dijalankan dengan wanita migran menunjukkan bahawa peranan jantina tertentu dalam komuniti dan budaya berbeza boleh mempengaruhi cara maklumat kesihatan diakses, difahami dan digunakan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Matlamat utama kami adalah untuk mengetahui sama ada terdapat perbezaan dalam cara pendatang (iaitu setelah berpindah untuk tinggal di negara asing) wanita dan lelaki mengakses, memahami, menilai dan menggunakan maklumat kesihatan . Untuk membantu kami memahami bukti, kami menggunakan pendekatan yang dikenali 'rangka kerja paling sesuai' dan model yang dikenali sebagai 'pemprosesan maklumat celik kesihatan'. Empat langkah pemprosesan maklumat kesihatan - keupayaan untuk mengakses, memahami, menilai dan menggunakan maklumat kesihatan - adalah apa yang kami takrifkan sebagai 'celik kesihatan' seseorang.
Apakah yang kami lakukan?
Kami berminat dalam kajian kualitatif (seperti kajian di mana orang berkongsi pendapat dan perspektif mereka tentang topik kesihatan tertentu melalui temu bual atau perbincangan kumpulan). Kami menjalankan satu lagi ulasan bersama ini untuk mengetahui keberkesanan intervensi berbeza untuk meningkatkan celik kesihatan wanita dan lelaki migran. Kami kemudiannya menyepadukan penemuan ulasan itu dengan yang ini untuk menjelaskan sejauh mana faktor khusus jantina dan migrasi boleh memainkan peranan dalam pembangunan dan penyampaian intervensi celik kesihatan.
Untuk ulasan kualitatif ini, kami telah mencari kajian kualitatif yang berkaitan secara langsung dengan intervensi dalam ulasan keberkesanan berpaut. Kami berminat dengan kajian yang dijalankan bersama dengan kajian keberkesanan. Ini adalah kajian yang meneroka persepsi dan pendapat orang daripada latar belakang budaya berbeza mengenai topik kesihatan tertentu untuk membantu membangunkan intervensi, atau meneroka pengalaman mereka dengan intervensi yang telah mereka sertai. Kami menggunakan empat langkah model pemprosesan maklumat kesihatan (diterangkan di atas) untuk membimbing sintesis kami data ini. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kualiti kajian dan bilangan peserta.
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan 27 kajian. Sebelas kajian hanya menyertakan wanita, satu kajian hanya menyertakan lelaki, dan 15 kajian menyertakan wanita dan lelaki. Usia peserta adalah dari 26 sehingga 87. Kebanyakan kajian dijalankan di Amerika Syarikat atau Kanada dan terutamanya disertakan orang Latin/Latina/Hispanik (seperti dari Caribbean, Amerika Tengah atau Amerika Selatan). Orang kedua yang paling biasa adalah orang Asia (seperti Cina, Korea, Punjabi). Tempoh masa peserta tinggal di negara baharu itu adalah antara satu bulan hingga 38 tahun.
Tiga kajian ke atas wanita migran memberikan bukti tentang aspek yang berkaitan dengan wanita migran, yang sebahagiannya turut menunjukkan perbezaan antara wanita dan lelaki.
Berkenaan mengakses maklumat kesihatan, wanita pendatang berlatar belakang Afghanistan dan Korea dalam dua kajian lebih suka akses kepada seorang wanita daripada doktor lelaki atas sebab peribadi, seperti perasaan malu atau terhina, atau disebabkan oleh norma budaya. Penemuan lain mengenai akses ialah persepsi suami sebagai penjaga pintu; wanita berlatar belakang Afghanistan disebut bahawa dalam budaya mereka, lelaki adalah ketua rumah tangga dan pembuat keputusan dalam rumah tangga, termasuk mengenai perkara kesihatan diri yang menjejaskan wanita. Penemuan ketiga kami tentang akses ialah penguasaan bahasa Inggeris terhad wanita Afghanistan menghalang akses mereka kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan.
Mengenai pemahaman maklumat kesihatan, kami mengenal pasti tahap celik huruf yang rendah di kalangan wanita Afghanistan kerana mereka melaporkan keupayaan terhad dalam menulis dan membaca.
Kami tidak menemui sebarang bukti tentang langkah ketiga pemprosesan maklumat kesihatan - menilai maklumat kesihatan.
Berkenaan menggunakan maklumat kesihatan, wanita berlatar belakang Mexico dan Afghanistan menyatakan bahawa peranan wanita di dalam komuniti menghalang mereka daripada mengekalkan kesihatan mereka sendiri dan menjadikan diri mereka keutamaan; ini menghalang penggunaan maklumat kesihatan.
Apakah batasan bukti?
Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti sebagai sederhana. Kami mempunyai kebimbangan kecil hingga sangat kecil mengenai batasan metodologi dalam kajian, tetapi kebimbangan serius mengenai kecukupan bukti kerana bukti mengenai aspek jantina berpunca daripada hanya tiga kajian dan kajian tersebut disertakan wanita sahaja. Kami tidak dapat meneroka celik kesihatan lelaki migran disebabkan oleh kekurangan penyelidikan yang melibatkan lelaki.
Kami mencadangkan bahawa lebih banyak penyelidikan tentang celik kesihatan yang dilihat oleh pendatang lelaki dan cabaran berkaitan kesihatan mereka diperlukan, terutamanya untuk meneroka perbezaan potensi antara wanita dan lelaki. Selain itu, terdapat keperluan penyelidikan yang lebih banyak di negara berbeza dan sistem penjagaan kesihatan untuk mencipta gambaran yang lebih komprehensif tentang aspek literasi kesihatan dalam konteks migrasi.
Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?
Kami mencari kajian secara elektronik sehingga Mei 2021. Kami menjalankan carian tangan dan menghubungi pengarang kajian sehingga September 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.