Senaman berbanding pembersihan saluran pernafasan untuk orang yang mengalami fibrosis sista

Soalan ulasan

Bolehkah senaman menggantikan kaedah pembersihan saluran pernafasan yang lain untuk penghidap fibrosis sista (CF)?

Latar belakang

Fibrosis sista menjejaskan banyak sistem dalam badan, terutamanya sistem pernafasan. Ia menyebabkan pengumpulan lendir tebal dan melekit di dalam paru-paru yang menyebabkan kerengsaan dan kerosakan pada lapisan saluran pernafasan. Rawatan fibrosis sista melibatkan fisioterapi dada, juga dipanggil pembersihan saluran pernafasan, yang menggunakan pelbagai peranti atau teknik untuk membuang lendir ini. Terdapat pandangan bahawa senaman mungkin mempunyai kesan yang sama. Bersenam menyebabkan seseorang mengambil isipadu dan kedalaman nafas yang berbeza. Ini membawa kepada perubahan daya dan tekanan dalam saluran pernafasan yang mengeluarkan rembesan dari paru-paru. Kami membandingkan kesan pada fungsi paru-paru akibat senaman berbanding teknik-teknik lain untuk melihat sama ada senaman adalah alternatif yang sesuai untuk penghidap fibrosis sista. Kami ingin menjawab soalan ulasan kami agar berpotensi mengurangkan beban rawatan mereka.

Tarikh pencarian

Bukti terkini adalah sehingga 15 Februari 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kesusasteraan untuk kajian di mana penghidap fibrosis sista menerima sekurang-kurangnya dua sesi rawatan senaman atau teknik pembersihan saluran pernafasan yang lain, dan melaporkan empat kajian termasuk 86 penghidap fibrosis sista dalam ulasan. Orang dalam kajian itu berumur antara 7 dan 41 tahun dan mempunyai tahap keparahan penyakit yang berbeza-beza. Tiga kajian memasukkan orang yang sihat secara klinikal dan satu kajian memasukkan orang yang dimasukkan ke hospital untuk jangkitan saluran pernafasan. Kajian itu berlangsung antara empat hari dan enam bulan dan membandingkan senaman (secara bersendirian atau digabungkan dengan teknik pembersihan saluran pernafasan lain) dengan teknik lain. Dua kajian membandingkan senaman dengan penyaliran postural dan perkusi (PD&P), satu kajian membandingkan senaman dengan teknik pernafasan kitaran aktif (ACBT) dan satu kajian membandingkan senaman dengan tekanan ekspirasi positif dalam air (uPEP), juga dikenali sebagai PEP gelembung. Tiga kajian menerima sokongan kewangan daripada badan pembiayaan seperti Amanah Fibrosis Sista (Cystic Fibrosis Trust), Yayasan Buffalo (Buffalo Foundation) dan Majlis Kebangsaan Romania (Romanian National Council) untuk Penyelidikan Saintifik dalam Pendidikan Tinggi.

Keputusan utama

Kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menyimpulkan sama ada senaman boleh menggantikan kaedah lain untuk pembersihan saluran pernafasan. Kami tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan bahawa senaman adalah sama ada lebih baik atau lebih teruk daripada kaedah lain untuk meningkatkan fungsi paru-paru atau membersihkan lendir dari saluran pernafasan, walaupun bersenam telah meningkatkan keupayaan senaman orang, dan ia adalah pilihan rawatan dalam satu kajian. Tiada kajian yang melaporkan sebarang kesan negatif akibat terapi senaman. Tiada kajian menilai kualiti hidup atau keperluan untuk rawatan antibiotik tambahan. Satu kajian menunjukkan bahawa senaman sahaja kurang berkesan untuk membersihkan kahak berbanding teknik pernafasan kitaran aktif (ACBT).

Senaman banding ACBT

Satu kajian (18 peserta) mendapati bahawa ukuran fungsi paru-paru (sehingga 30 minit) meningkat buat sementara waktu dalam kumpulan senaman sahaja, selain daripada itu, tiada perbezaan antara ACBT atau kumpulan senaman. Tiada kejadian buruk dilaporkan, dan tidak pasti sama ada ACBT dianggap lebih berkesan atau lebih disukai. Kumpulan senaman menghasilkan kurang kahak daripada kumpulan ACBT. Kajian itu tidak melaporkan kapasiti senaman, kualiti hidup, pematuhan terhadap rawatan pilihan, kemasukan ke hospital dan keperluan untuk antibiotik tambahan.

Senaman dengan penyaliran postural dan perkusi (PD&P) berbanding PD&P sahaja

Dua kajian (55 peserta) membandingkan senaman dengan PD&P kepada PD&P sahaja. Pada dua minggu, satu kajian menggambarkan peningkatan yang lebih besar dalam fungsi paru-paru dengan PD&P sahaja, manakala pada enam bulan, kajian kedua melaporkan peningkatan yang lebih besar dengan gabungan senaman serta PD&P (tetapi tidak memberikan data untuk kumpulan PD&P). Satu kajian melaporkan tiada kesan sampingan sama sekali, dan juga melaporkan tiada perbezaan antara kumpulan dalam kapasiti senaman (kadar kerja maksimum), jumlah kahak atau purata tempoh masa yang dihabiskan di hospital. Sebaliknya, kajian kedua melaporkan lagi kurang kemasukan ke hospital kerana keterukan dalam kumpula gabungan senaman serta PD&P. Tiada kajian melaporkan tentang kualiti hidup, keutamaan dan keperluan untuk antibiotik.

Senaman banding tekanan ekspirasi positif dalam air (uPEP

Satu kajian (13 peserta) membandingkan senaman dengan uPEP (juga dikenali sebagai PEP gelembung). Tiada kejadian buruk direkodkan dalam mana-mana kumpulan dan penyiasat melaporkan bahawa mereka yang mengambil bahagian berpendapat bahawa, walaupun senaman lebih memenatkan, ia juga lebih menyeronokkan daripada PEP gelembung. Kami mendapati tiada perbezaan dalam jumlah berat kahak yang dikumpul semasa sesi rawatan. Kajian itu tidak melaporkan fungsi paru-paru, kualiti hidup, pematuhan terhadap rawatan pilihan, keperluan untuk antibiotik tambahan atau kemasukan ke hospital.

Kepastian tentang bukti

Secara keseluruhan, kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana keempat-empat kajian hanya mempunyai segelintir peserta dan dua kajian hanya membentangkan hasil sebagai laporan ringkas yang diberikan pada persidangan.

Kami tidak berpendapat bahawa pengetahuan peserta dan orang yang mengukur hasil tentang rawatan mana yang diterima oleh peserta dapat mempengaruhi keputusan hasil seperti fungsi paru-paru dan berat kahak. Kami tidak berpendapat bahawa pembiayaan kajian-kajian ini mempengaruhi tafsiran keputusan dalam ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information